Wednesday, December 29, 2010

Penyakit Zaman Kini

Sebenarnya di Malaysia ni golongan ustaz-ustazah memainkan peranan yang besar sebagai councillor. Pada tahun 50an hingga 70an dulu setiap masalah mereka rujuk pada orang-orang alim, seperti jika anak kecil menagis tak berhenti atau demam minta orang alim di kampung menjampi dan bagi air jampi. Begitu juga jika ada masalah lain-lain seperti masalah keluarga atau masalah masyarakat orang-orang alimlah yang menjadi tempat rujuk.

Walaupun telah lama ada khidmat psiakitris di hospital-hospital atau klinik-klinik persendirian tapi ramai pula yang mengaitkan mereka dengan orang-orang yang mengalami sakit jiwa yang teruk atau traumatik. Sedar tak sedar golongan orang yang alim dalam bidang agama ini telah memainkan peranan menyelesaikan masalah rumahtangga dan keluarga atau mengurangkan keresahan jiwa seseorang. Tambah-tambah lagi sudah ramai ustaz-ustaz dan penceramah bebas yang berpendidikan tinggi yang boleh beri nasihat dari segi muamalah, munakahah ie undang-undang keluarga seperti nikah cerai, hak-hak harta dan pesaka dan sebagainya.

Sebaliknya pula orang ramai patut juga belajar sedikit sebanyak dari orang-orang alim ni, jangan harap 100% dari mereka, diri kita sendiri kena jugak berusaha. Ada juga berlaku, bila mak bapak meninggal dunia, boleh dia pergi jumpa ustaz......ustaz boleh tolong baca Quran untuk arwah mak/bapak saya....berapa banyak ustaz nak pun saya boleh bayar... atau telefon ustaz, mintak datang rumah dia sebab nak buat tahlil arwah mak/ayah dia. Bila ustaz datang buat tahlil, dia buat relax aje duduk di luar rumah sambil hisap rokok!

Atau seorang isteri yang selalu kena zalim dek tok laki dia, janganlah asyik mintak air jampi ustaz atau ustazah aje, atau berdiam diri saja ,belajarlah sikit dari ustaz-ustazah tu tentang hak-hak seorang isteri dan jangan biarkan diri jadi punch bag suami. Kena jugak tahu sedikit sebanyak undang-undang keluarga dan tahu menggunakan saluran yang ada , hospital ( mengesahkan dia kena te tok laki )balai polis ( buat repot kat tok serjan ), mahkamah syariah - pegi buat aduan, bagi tok laki kecut perut sikit!

Pernah suatu masa, seorang penceramah bebas terjaga pukul 3 pagi sebab seorang wanita menalifon menangis teresak-esak sebab tok laki dio tak kelik rumah. Okaaaaayy....kalau tok laki tak kelik gak , sembahyang lah banyak-banyak, bermuhasabah sikit sebanyak mungkin itu ujian Tuhan, mohon doa biar suami ingat nak balik rumah. Tok guru bukan magic man yang boleh sihir......pling! tok laki pun tercokoh depe pitu.......

Wallahu a'lam!

Sunday, December 26, 2010

Hidup Di Alam Fantasi

Ramai di antara kita yang hidup dalam keluh kesah, walaupun semua benda yang kita hendak dah dapat, status tinggi, rumah besar, kereta besar, pitih belanar - pendek kata sampai ke anak cucu makan tak habis. Kita jarang mencari dimana silapnya, sebab kita rasa kita dah betul. Kalau hati tak tenang, harta banyak pun tiada makna sebab jiwa telah jatuh sakit!

Ada orang yang berpegang pada cara hidup yang biasa dilalui dan enggan melepaskannya, umpama hidup di alam fantasi, sentiasa gembira, berpoya-poya dan tak ambil kisah tentang hidup sebenar. Mungkin hidup berpoya-poya tidak sesuai sepanjang masa, misalnya apabila seseorang itu dah berumur, apakah perlu dia bersibai di shopping mall setiap hari atau pergi clubbing sampai anak dah masuk sekolah menengah, seolah-olah mengajar anak bahawa kegembiraan itu adalah lepak-lepak atau berkelabing!

Ada juga yang mementingkan kecantikan dan kemudaan kerana menyangka cantik dan muda itulah kebahagian hidup sebenar. Jadi berlakulah pelbagai peristiwa yang tak sanggup kita lihat bila mak dan anak sama-sama pakai baju berkemban dalam majlis perkahwinan si anak daranya. Tak percaya? Bukalah majalah-majalah tempatan yang ada dijual di Malaysia ni!

Ramai juga yang masih berpegang dengan status yang ada pada mereka dan enggan bertolak ansur walau dalam apa keadaan pun! pernah berlaku satu peristiwa yang kelakar di Kota Mekah, di mana seorang kenamaan telah jatuh sakit , bila dipanggil nama dia tanpa title dia naik berang - bila dia kena angkat dengan stretcher, he refused to lie down, petugas Tabung Haji terpaksa mengangkat stretcher bele-bele dia duduk cokoh !

Ada juga di antara kita yang menyangka kita lebih mulia dari orang lain, ia terjadi pada seseorang , apabila ada seorang tua yang agak kotor datang memberinya duit sedekah sebanyak satu riyal, dia pun terus naik loktang - main nak bagi sedekah aje, tak tengok dah orang macam mana! Tak habis di situ, ada pula seseorang lain yang keluar dari Masjidil Haram seorang Habshi datang offer dia minum air zamzam yang dibawa dalam jug ( selalunya kalau kita minum kita akan bagi 1 riyal ). Nak bagi orang minum tu tengoklah sikit, gelas berlendir dan entah mulut siapa yang minum.....

Nak dijadikan teladan, sampai di hotel dia dapat sakit tekak, tak dapat telan air liur, apatah lagi nak makan minum. Menagislah dia tersiksa dan kawan-kawannya nasihatkan dia supaya istighfar banyak-banyak pada Allah ( di atas ke egoannya itu ). Pada malam itu dia bermimpi bertemu semula dengan orang Habshi tadi yang masih lagi offer dia minum, apabila dia minum tiba-tiba dia terjaga dan sakit tekaknya sudah pulih seperti sedia kala!

Apa yang baik datang dari Allah dan yang buruk adalah dari kejahilan kita sendiri.

Friday, December 17, 2010

Bawaklah Beristighfar Bebanyak.......

Dulu-dulu pernah dengar orang kata, apa nak jadi jadilah, saya tak akan maafkan dia sampai mati, biar berselesai di akhirat! Amboii.. korehnyo hati, maka akibatnya berlakulah permusuhan dan bermasam muka yang berpanjangan . Bagi orang yang hyper sensitif pulak, perkara kecik sekelumit tu dah jadi macam besar gunung.

Drama pendek macam tu banyak berlaku dalam masyarakat kita. Kadang kala anak cucu tak ingat atau tak berapa tahu apa benda yang direbutkan oleh tok nenek mereka dulu, tapi oleh kerana mereka dah bermusuh, maka anak cucu pun terus memusuhi seseorang itu. Ada kalanya dua-dua pihak keras kepala, ada pulak satu pihak dah tunjuk tanda-tanda mintak maaf dan nak berbaik-baik, tapi satu pihak lagi tetap tidak berganjak dengan pendiriannya, sekali salah, tetap salah! Rugi benar manusia yang tidak pemaaf ni, dalam hati depa tu penuh dengan dendam kesumat dan kebencian!

Ada lagi dialog yang lebih hebat dalam drama pendek ni... pantang datuk nenek aku......atau keturunan aku orang baik-baik...... dan sebagainya. Bila dah keluar dialog begini dah tak boleh bawak berunding lagi. Ada yang mengaku depa keturunan panglima, ada juga yang mengaku dia dari keturunan Bukit Siguntang! kelakarlah pulak...

Aloh lah....kalau ada salah dan silap sesikit tu sap sap sui ajelah, forgive and forget, jangan nak bawak sampai ke mati pulak- nanti tak larat nak kendong!

Tuesday, December 14, 2010

Pokok Nyok!

Alkisah ada sebatang pokok kelapa @ nyior @ nyok yang ditanam dihujung pagar dan apabila dia besar dan tinggi batang dia melentok ke dalam pagar jiran. Oleh kerana pokok kelapa ni berbuah lebat, maka seriaulah jiran sebelah, takut buah nyior jatuh menghempap kereta dia atau kepala dia sekeluarga. Tapi mujur jugak selama 13 tahun tak pernah sekali buah nyor tu jatuh dalam pagar jiran, kata tuan empunya pokok tu, dan menambah lagi, adalah sekali tu jatuh kat laman orang sebelah...

Jadi, kes pokok nyok ni dah agak berlarutan beberapa lama terutamanya bila ia dah tinggi dan nampak very threatening kalau dipandang dari rumah jiran. Tambahan lagi tanah jiran lebih 5 kaki rendah dari tanah tuan pokok nyok , bila angin bertiup kuat, melentok liuklah pokok tu seakan-akan nak tumbang ke dalam pagar orang sebelah tu! Jiran pun mengadu pada beberapa orang jiran lain yang dirasakan boleh menyampaikan hal ni pada tuan pokok nyok, sebab usaha dia untuk menyelesaikan sendiri selama ni dah beberapa kali tergagal !

Semua orang tak berani nak masuk campur sebab tuan pokok nyor tu sangat bijak orangnya. Semua hujah orang boleh dipatahnya dengan mudah, umpamanya, asyik sibuk pokok orang , daun pokok krismas dia yang kering tu berjelubu masuk ke laman kita sampai tak larat nak sapu. Lagi pulak duluuuu ( cerita dah dekat 20 tahun masih diulang tayang ) dahan pokok pelam jiran yang besar tu selama hari ni masuk ke dalam pagar dia............pot...pet....pot..pet...................................( dengan kata lain tak boleh nak dimaafkan hal daun pelam yang masuk kat pagar tuan nyok tadi, walau pun pokok pelam tu dah lama ditebang ! )

Lagi pulak, sambung tuan pokok nyok tu, apalah salah pokok nyok dia dok tang tu, bukan kacau sapa pun, saja buat busuk hati kat orang! lagi pulak sebenarnya dia takut water filter yang dia baru pasang tu dihempap buah kelapa........apa salah pokok nyok tu? Kan pokok nyok tu dah berpuluh tahun dok kat situ, yang dia mai pasang water filter ( yang besar macam torpedo ) tu kat situ buat ape? Pi lah pasang tang lain ( akak oii.. tang tulah letaknya kepala main pipe dia!)

Oleh kerana semua hujah telah dipatahkan maka, jiran yang ramai-ramai tu pakat-pakat nak.....jeng..jeng...jeng... buat majlis timbang tara. Bila difikir-fikir balik semua orang tak layak jadi penimbang tara, sama ada terlalu muda ( tak qualified ), atau sama tua dengan tuan pokok nyok tu ( who are u to tell me what to do ! )......jadi nampak gayanya kena pinjam Hakim Besar Malaya untuk jadi penimbang tara.........

Sunday, December 12, 2010

Jangan Dok Berebut Harta!

Pagi tadi bila buka channel 119 ( rancangan Tanyalah Ustaz setiap hari pukul 7 - 8 pagi ) , Ustaz Fauzi memberi tazkirah mengenai pembahagian harta pusaka. Dah lama saya tunggu tajuk ni, dan tajuk-tajuk lain yang dapat memberi maklumat khas tentang pelbagai hukum syariah. Jadi, tak adalah lagi cerita orang berkapak berparang rebut tanah atau kebun pesaka. Atau bila orang dengar hukum Islam nak dilaksanakan, terus buat meraban kata habis tangan orang nak kena potong!

Ada di kalangan yang saya kenal, suami dia seorang anak angkat seorang yang berada, tapi bila bapa angkatnya meninggal dunia, dia terus dipinggirkan dan segala kemudahan yang dia dapat selama ini ditarik balik. Seseorang ini hidup susah juga selepas tu, sebab dia seorang saja yang bekerja sedangkan suami dia tinggal sehelai sepinggang! Tapi ada juga seseorang lain yang juga anak angkat, tapi bila bapa angkat meninggal dunia, dia mendapat sejumlah wang yang besar sebab bapa angkat meninggalkan wasiat untuknya.

Ramai juga di antara kita yang tak jelas dengan pembahagian harta pusaka, tapi sebenarnya masalah ini boleh di atasi bila kita pergi ke pejabat agama atau mahkamah syariah atau bertanya pada orang-orang ada otoriti dalam hal ini. Sekurang-kurangnya kita tahu juga asas pembahagian pusaka dengan sifir yang paling asas. Takdelah bila tok mati pak sedara jadi orang kaya baru!

- Anak lelaki dapat dua bahagian anak perempuan satu bahagian, tapi nak bagi sama rata pun boleh dengan syarat ada persetujuan dari waris lelaki.
- Anak angkat boleh dapat harta dengan jalan hibah ( pemberian ) atau wasiat ( tak melebihi 1/3 bahagian ).
- Ibu bapa yang masih hidup dapat bahagian harta anaknya yang meninggal.

Biasanya anak-anak yatim, anak angkat dan ibubapa selalu jadi golongan yang teraniaya dan terabai sebab mereka dari golongan yang lemah dan yang bukan waris ( anak angkat ).

Urusan pesaka ni sebenarnya much-much more complex and it need in depth study. UIA ada menyediakan kursus peringkat sijil untuk orang awam ( Certificate In Law ) yang mencakupi pelbagai bidang syariah . Ada banyak lagi tempat-tempat lain yang offer pengajian yang sedemikian yang saya tak tahu. Soooo.......bak kata jangan dok mengaji tajwid aje, banyak lagi bidang lain yang ade.........

Friday, December 10, 2010

Deme Dah Kaye!..........Bah 2

Sejak lebih memahami kehidupan dunia aka bila umur dah meningkat tinggi , baru terasa insaf sebab masa muda-muda dulu tak prihatin dan tak faham pun masalah ahli keluarga terutamanya yang dekat seperti sepupu .

Bila pandang ke belakang 30 tahun dulu, terasa alangkah bebalnya diri bila sepupu sendiri yang hanya suri rumah, suami pegawai pangkat rendah yang berat tanggungan mereka memelihara 9 orang anak. Tak pernah pun saya unjuk hulur pada mereka sebab ingatkan mereka senang ( sebab tak pernah dengar keluhan mereka ). Begitu jugak ada beberapa ahli keluarga lain, ada yang ibu tunggal, ada yang balu.

Bila balik kampung, mak ada juga suruh hulurkan duit sedikit sebanyak pada sianu-sianu atau pun beri kain batik pada sedara mara yang susah, tapi macam tukul dengan pahat, bila mak sebut, barulah menghulur . Bila umur meningkat, barulah saya faham bahawa mereka tu sangat perlukan pertolongan walaupun sedikit. Sekarang ni walaupun sepupu tu dah hidup senang, anak dah besar panjang dan dah bekerja, saya tetap bagi angpau bila bertemu denganya to make up for masa bodoh saya dulu!

Begitu juga sedara mara yang masuk Felda ( Felda Keratong ) , masa mula-mula dulu ( tahun 70an ) kehidupan mereka agak sempit sebab tiada pekerjaan tetap dan kampung mereka ( Kg Aur ) musnah kena banjir besar , tapi kini deme dah kaye raye weh. Ada juga yang jadi peneroka tu yang pandai pulak berusaha lebih, ramai juga yang jadi tokey, ada rumah besar, kereta besar, bini bes..... ! . Alhamdulillah!

Baru-baru ni salah seorang dari sepupu telah meninggal dunia, saya sungguh sedih dan risau bagaimana balunya nak meneruskan hidup. Sepupu-sepupu yang lain ( juga peneroka dan duduk sekelompok pulak tu )beritau.....balu dapat rm 10,000 khairat kematian, tidak termasuk pendapatan bulanan yang tetap. Kembang jugak hidung saya bila tahu mereka tu dah berduit, dah senang ! Rupa- rupanya dah lama depa tu senang, tapi tak pernah tunjuk. Macam jugak masa mereka susah dulu, tak pernah merungut! Yang saya nampak yang berumah besar dan kereta besar tu aje yang senang!

Saya tetap akan berpesan pada anak-anak supaya lebih perihatin jika ada ahli keluarga yang susah. Masa dulu mak tak terangkan kesusahan depa tu, jadi saya tak faham tara mana susahnya mereka. Mungkin dia harap saya boleh faham sendiri, rupa-rupanya anak dia tu ada sikit bengap , bah!

Wednesday, December 8, 2010

Deme Dah Kaye!

Bila balik kampung pemandangan seperti di bawah ni biasa saya nampak, terutamanya sepanjang-panjang jalan dari Pekan menuju ke Rompin. Kebanyakan rumah dibuat dari papan , kita panggil rumah papan, tidak kurang juga rumah batu, ikut kemampuan masing-masing.






Akhir-akhir ni banyak betul rumah batu yang besar-besar, 3 - 4 tingkat yang sedang dalam pembinaan. Wah, dah kaya rupanya depa ni, nampakanya dah berjaya rancangan kerajaan dan kemakmuran Malaysia dah menular ke kampung-kampung. Alhamdulillah!



Tapi kenapa pulak rumah depa tak bertingkap? Dan rumah-rumah dalam pembinaan sebegini cukup banyak di sepanjang jalan






Inilah rupa rumah yang dah siap, mak oiiii besarnya.........




kalau yang di atas tu tak cukup besar, ada lagi yang lebih besar



dah jadi macam kompleks perumahan dah.....



macam bandar baru pulak! Jangan terkejut, itu bukan rumah kediaman manusia tapi mahligai burung walit atau burung layang-layang!

Pernah makan sup sarang burung? ia dikatakan sangat berkhasiat dan sangat popular di kalangan masyarakat Cina. Harga sarang burung sangat mahal sebab susah dapat, maklumlah burung walit bersarang dalam gua di tepi laut, gua pula berada dalam gunung yang tinggi dan curam!

Burung-burung ini kini telah berpindah ke atas darat bagi kawasan-kawasan yang ada pantai. Rumah-rumah dibina besar dan tinggi serta tidak bertingkap dan keadaannya gelap dan dalam bangunan itu dipasang rakaman kicauan burung seolah-olah macam dalam gua di tepi pantai! Katanya dalam bangunan itu dipasang air- con supaya udaranya sejuk macam natural habitat burung-burung walit tu!

Jadi kita boleh nampak rumah-rumah kampung diselang selikan dengan rumah burung yang sentiasa bunyi rakaman kicauan burung . Diharap tok wakil tengok-tengok sikit perkembangan terbaru ni, kalau tak silap tanah orang kampung punya, rumah burung pulak tokey Singapura atau Taiwan punye! Dan dok bela burung ribu-ribu ekor tepi rumah orang kampung tu, kalau kena selesema burung, kira macam mana? ada insurans ke tuan tanah yang menyewakan tanahnya tu?

Sunday, December 5, 2010

Jangan Tertipu!

Ada seorang sahabat yang meminjamkan duitnya pada seorang lain, dia bertanya samada boleh atau tidak dia mengenakan interest. Setahu saya interest itu haram. Tapi dia kata dia tak mengenakan interest yang tinggi, lagi pulak kalau bagi pinjam saja macam tu apa halnya pulak?

Saya pun tak berani nak elaborate lebih-lebih, takut salah berdosa pulak. Jadi setelah saya consult seseorang yang berautoriti dalam bidang ini, barulah saya berani mengkabarkan duduk perkara sebenar dalam hal ini. Sesungguhnya pinjam berserta interest itu adalah haram dan ia adalah sistem riba' dari amalan jahiliyyah dan juga amalan Yahudi . Ia adalah satu penindasan terhadap orang yang susah yang perlukan pertolongan.

Walau pun beri pinjam takde interest, tapi ada syarat-syaratnya seperti ada surat perjanjian atau cagaran ( kalau melibatkan jumlah yang banyak). Kalau jumlah yang kecil aje , harap pada percaya atau pun be prepared to lose the money! Kita boleh buat pilihan - nak bagi ke tak nak bagi!

Termasuk juga dalam riba' ialah jika kita mengambil kesempatan ke atas orang yang kita beri pinjam wang itu dari segi mental atau fizikal contohnya seperti mengerah dia buat pelbagai perkara untuk kepentingan diri sipemberi pinjam wang tadi.

Sebaliknya beri pinjaman untuk perniagaan adalah halal. Seseorang yang ada modal boleh meminjamkan wangnya kepada orang tiada modal untuk berniaga. Dalam hal ini dia boleh menetapkan berapa banyak keuntungan yang dia mahukan sebagai pulangan contohnya 50/50 atau 70/30. Itu hak dia sebab dia yang membiayai sepenuhnya perniagaan tersebut dan rakannya hanya menjalankannya sahaja.

Kalau sekiranya modal yang dilaburkan kurang daripada modal yang ada pada peniaga, maka peniaga itu berhak menentukan peratusan yang akan dibagi pada yang meminjamkan modal itu. Sebagai contoh, peniaga itu menetapkan ia akan bayar balik dengan 10% atau 15% atau berapa saja yang dia fikir munasabah. Dan dalam semua keadaan yang melabur wang dalam perniagaan kena menanggung risiko jika perniagaan itu rugi, dia tak boleh mintak ganti wang yang dilaburkan itu! Konsep asalnya untung sesama untung dan rugi sesama rugi. WaAllahu a'lam!

Kalau perniagaan yang tak munasabah seperti melabur emas di Timbuktu atau berniaga tapi benda yang diniagakan itu tak ada atau tak jelas, tiba-tiba janji keuntungannya melimpah ruah, kalau rugi, tak dapeklah sesapo menolong eh!

Friday, December 3, 2010

Curiga, Curiga, Curiga!

Masa dulu-dulu mak selalu pesan, jangan suka mengongkong suami, sebab kata beliau orang lelaki panjang akal. Kalau dia nak tipu bini senang aje, dia kata nak pegi kedai beli rokok kejap, dia boleh aje pegi akad nikah lepas tu balik rumah buat muka selamba. Beliau nasihatkan seorang ahli keluarga yang langsung tak bagi can kat laki dia, dia tetap curiga,curiga dan curiga!

Pernah berlaku pada seorang makcik, lepas aje suami dia meninggal dunia dia pun meraung sekuat-kuat hatinya, orang ingat dia sedih sebab tak boleh terima hakikat suami dah tiada, jadi ramailah yang menasihatkan dia supaya sabar. Nak sabar macam mana, ni hah.... dia pun tunjuk surat yang dia jumpa dalam poket suaminya. Rupa-rupanya surat bini muda dia minta elaun bulanan! dia punya geram dia kata macam nak gali kubur suami dia, nak tanya betul-betul, bila dia kawin lain sebab setiap malam dia ada di rumah. Petang-petang balik ofis dok pi berkesah lau ayam!

Seorang kawan menceritakan hal jirannya , bila dapat tahu suami dia nak kawin lain, dia pun dengan senang hati membenarkan. Isteri pun offer nak pergi meminang dan nak mengendalikan majlis perkahwinan dengan syarat bawa balik isteri muda tuh! Apa lagi encik suami naik tocang tak terkira, gembira bukan main. Selang beberapa hari kemudian, orang keliling pun bertanya kabar....

Guano mu Mamat, napok rusing bena....dapat bini mudo gak bakponya go rusing tuh?
Bini mudo gaponyo? cegha habih doh....
Hah? cegha? bakpo?
Bakpo gaponyo, Mek Senoh mari dok tengoh sie male, sapa tok buleh nok buat gapo!

Bila dengar cerita tu I gelak macam nak rak, dengan tukang cerita sekali gelak sampai berair mata. Ganjil tapi benar!

Tuesday, November 30, 2010

P..........Harum Sundal Malammm.....


Mengapa ramai dari orang kita yang curiga dengan bau wangi? Ada yang mengaitkan harum bau bunga dengan hant.....u. Saya suka bunga-bunga klasik yang bau harum, seperti melor, mawar dan bunga cempaka dan menanam pokok-pokok ini di keliling rumah. Ada seseorang dua yang datang bertanya saya kenapa tanam pokok yang wangi begini. Mereka kata baunya sangat meng- eerie-kan.



Pokok kenanga yang berbunga sepanjang tahun.....bau harum yang menyeramkan?


Saya rasa ada sebab mengapa ramai yang kaitkan bau harum bunga dengan hant.. mungkin kerana masa dulu-dulu ada wayang gambar cerita pontiana...k lakonan Dato Maria Menado. Pontianak tu pulak cantik dan wangi atau diikuti dengan wangi-wangian. Jadi mungkin kerana itu ia kekal hingga ke hari ini, ie bau wangi dikaitkan dengan pon......ti....

Jiran saya DZ suka tanam pokok bunga, she really got a nice garden that she tends everyday from 7 to 11 in the morning . Dia ada pokok bunga sundal malam yang ditanamnya diluar pagar. Yang kata sundal malam ni, memanglah sesuai dengan namanya, iaitu waktu siang langsung tak berbau, tapi bila waktu maghrib mulalah dia berbau semerbak hingga ke malam. Ada seorang dua rakan yang datang ke rumah saya hampir maghrib, terbau bunga yang harum -- terus naik kecut ( maklumlah waktu maghrib.....) Dia ingat ada sesuatu......yang hadir berhampiran rumah saya. Saya pun tunjukkan pokok jiran saya tu.........bunga tulah yang wangi tuh.....

Tambahan pula di abad 20 ni ada lagi cerita pon..ti...yang juga dilakonkan oleh seorang yang jelita yang juga dikaitkan dengan bunga yang harum..........

Pada waktu kematian di kampung saya selalunya dinyalakan setanggi atau kemenyan yang wangi , guna untuk menutup bau yang kurang elok atau bau wangi boleh jadi terapi bagi yang sedang bersedih. Ramai juga yang takut dengan bau setanggi sebab dah dikaitkan dengan orang mati, pada hal di negara-negara Islam lain selain di Asia Tenggara rumah kediaman mereka sangat mewah dengan bau setanggi dan minyak atar setiap hari.

Ada juga yang tak suka ada setanggi ketika waktu kematian, tak tahu sebab apa. Pernah ada kematian dan beberapa orang kami menawarkan pada tuan rumah supaya dinyalakan setanggi, kemenyan atau lain-lain wangian ( boleh pilih ) tapi ada jiran-jiran lain tak membenarkannya. Mungkin lain padang lain belalangnya......

Saturday, November 27, 2010

Dapatkah Kita Menahan?.....Bah 2

Banyak berlaku dalam masyarakat kita keadaan tamak haloba yang tak dapat dibendung. Walau pun ia melibatkan perkara yang kecil saja tapi perbuatan begini membawa kesan negatif pada diri dan masyarakat kita.

Suatu masa diadakan majlis sambutan hari guru peringkat sekolah, dua buah sekolah yang berjiran sebelah menyebelah pagar berpakat mengadakan jamuan bersama. Oleh kerana sekolah A habis dulu majlis, semua guru turun makan. Sudah tentulah hidangan atas meja tu begitu banyak kerana jamuan tu digabungkan. Jadi guru-guru sekolah A tadi, bila dah kenyang makan, adalah di antara mereka membungkus makanan sebanyak-banyak yang mungkin ( kalau boleh tak payah masak untuk lunch and dinner sekali ). Jadi bila guru-guru dari sekolah B turun makanan dah tinggal sikit, mereka pun meradang , makan tak ingat orang belakang. Dalam hal ni tak tau sapa yang salah. Masing -masing salah menyalah, hingga ada yang marah pada tokey kantin sebab tak kontrol makanan!

Keadaan yang tak dapat menahan perasaan ini juga dapat dilihat bila ada jamuan buffet. Ada yang melambakkan segala jenis makanan hingga membukit tinggi macam nak pecah pinggan, lepas tu daaah tak habis, buang begitu saja makanan yang lebih tu! kesian makanan dan kesian orang-orang di negara-negara miskin yang tak cukup makanan!

Pernah berlaku pada seorang ahli keluarga saya di kampung pada tahun 60an dulu ketika mengadakan kenduri kahwin anaknya beliau telah menumbangkan seekor lembu yang gemuk. Setelah lembu tumbang, banyaklah yang mengambil daging mentah bawa balik ke rumah masing-masing ( mungkin tiada kawalan pada masa itu), dan selepas daging dimasak, ramai pula petugas-petugas yang membawa bekas untuk bawa balik gulai yang masak ( sebelum kenduri bermula). Jadi lembu seekor tu dah tinggal 3/4 sahaja. Saya dah tak ingat sama ada cukup atau tidak makanan untuk tetamu. Mungkin orang yang datang lambat makan nasi dengan kuah dan acar saja!

Sebenarnya perkara begini masih berlaku di kalangan masyarakat kita hingga ke hari ini. Tapau menapau tidak terkira!

Kalau tuan rumah bagi, lainlah............tapi jangan buat tamak pulak!

Thursday, November 25, 2010

Dapatkah Kita Menahan?

Kenapa agaknya bila melihat cermin kita akan berpuas hati, ......not bad, eh? sangka kita. Tapi mungkin juga ada orang bila merenung dalam cermin akan rasa sedih..... kenapalah muka aku tak lawa macam sesetengah orang. Setelah berpuluh tahun mengadap cermin sebenarnya kita tak perasan pun wajah kita sudah banyak berubah......iaitu makin lama makin nampak matang aka lebih mengikut umur kita.

Bukan wajah saja yang berubah, kulit pun berubah, suara pun berubah apa lagi rambut , dari hitam sudah ada keputih-putihan. Tak kira lagi tenaga fizikal kita sudah begitu merosot. Ada orang boleh menerima hakikat dan ada yang tak boleh menerimanya atau cuba menafikanya. Kulit boleh ditarik jadi tegang, rambut boleh diwarnakan hitam, perang, silver atau gold tapi suara tak dapat diubah. Tapi bila kita bercakap dalam telefon, orang boleh tahu ianya adalah suara kanak-kanak atau orang muda atau orang dewasa.

Pernah lama dulu seorang jemaah haji wanita merungut kerana kecewa tak dapat mengangkat begnya yang berat tanpa pertolongan orang. Dengan kesalnya dia berkata masa buat haji beberapa tahun dulu, takde masalah baginya angkat beg berat lagi pada tu!

Saya pun dulu bila buat tawaf dan saie begitu laju, seolah-olahnya doa belum habis baca dah habis satu pusingan tawaf atau saie. Bila dah meningkat umur jalan perlahan siap dengan sakit kaki ( sebab badan pun makin berat ). Dan pada satu ketika, berasa sangat malu dengan Allah......yelah..apa taknya masa kuat dan bertenaga, buat ibadat cakduh aje bila kemudaan dah ditarik balik barulah faham bahawa masa terus berjalan meninggalkan kita...

Jadi kalau nak touch up gambar tu agak-agaklah sikit, kalau umur 60 tahun janganlah touch up jadi macam orang berumur 25 tahun! Nya sik jadik, bah!

So, why don't we grow old gracefully?

Tuesday, November 23, 2010

Raye Di Rumbia




Rumbia Resort, Paka terdiri dari 100 buah banglo dan semi-d terletak di sebelah kanan jalan jika kita datang dari Kemaman. Banglo dan semi - d terdiri dari tiga buah bilik tidur, bilik utama katil queen size with bathroom attached dan dua bilik lagi twin beds with shared bathroom .Lengkap dengan living room, dining, kitchen- fridge, cooker, iron dan tv astro. Juga sarapan pagi komplimentari pihak pengurusan bagi para pelanggan.








Setiap rumah dihias dengan hiasan dalaman yang berbeza.






Setelah kenduri daging kurban, kami dibawa naik speed boat menysusur muara sungai Paka hingga ke barzakh antara sungai dan laut. Ajaib kuasa Allah, walaupun muara sungai dan laut bertaut, tapi air sungai tetap tawar dan air laut tetap masin!



The bond between father and daughter




Syariffah ( Mem Sahab ) far back, Rumbia Chef aka kaptan kapal , Kaz, dan Aziz Ibn Ibrahim. Bagi pelanggan Rumbia yang suka bersnokerling, ada pakej ke Pulau Tenggol siap dengan bekalan makanan for day trip.



Pada mulanya drebar nak bawa kami ke Kuala Dungun, oleh kerana hari hujan dan ada ombak kecil, tak jadi nak merentas laut, jadi kami singgah di jeti Paka pekena kopi panas di gerai



Sarapan pagi terakhir kami di Rumbia, roti canai, tosei dan capati dengan kari ikan, dall dan chutney speciality Rumbia breakfast .


My favourite ever, rice porridge with all the condiments










Dan lain-lainnya termasuk makann berat, nasi lemak, mi goring, nasi goring dsbnya




Last but not least, some tips from a successful businessman to ..err........retiree.......

Sunday, November 21, 2010

Takbir Bergema Di Rumbia




Pada pagi Eidul Adha yang ketiga di Rumbia Resort , Paka, bergema takbir bilamana 2 ekor lembu dikorbankan sempena dengan Hari Raya Korban. Sejak 3 tahun lalu acara korban dijalankan untuk kaki tangan seramai 80 orang dan ahli keluarga mereka, juga untuk pelanggan setia Rumbia.


Korban dimulakan pada pagi raya ketiga


Kerja-kerja melapah dimulakan



Dengan sekejap masa hampir siap lembu dilapah



Kaki lembu siap untuk dipotong




Tulang-tulang untuk buat sup








Daging yang elok untuk dibahagi-bahagikan.....






Bahagian kaki dibakar dulu sebelum dibuat sup







Umbut pisang awak jadi bahan campuran gulai daging tetel



Chef dan sous chef mencampurkan umbut dalam gulai daging





Tadaa...gulai daging campur umbut pisang!




Taukey Rumbia ................ Masak apa tu?








Daging bakar cicah air asam, gulai campur umbut pisang, sup tulang dan kaki, acar nenas dan nasi daging juga nasi putih telah siap terhidang.




Majlis dimulakan dengan doa selamat dan pembahagian daging korban dan diakhiri dengan jamuan makan tengahari untuk semua pekerja Rumbia dan ahli keluarga mereka serta para jemputan yang lain.

Semoga murah rezeki Tuan Haji Toyyib bin Haji Ali serta keluarga!










Sunday, November 14, 2010

Makang Kepok Tepi Pata!

Balik kampung dok makan, minum, makan, minum, sembang, sembang dan sembang, bila petang pergi makan angin di pantai . Saya mengucapkan ribuan terima kasih pada Majlis Daerah Rompin kerana telah menjaga kebersihan pantai, menyediakan jogging trek dan menjadikan pantai tempat penduduk tempatan menikmati angin petang dan keindahan alam bersama ahli keluarga.



Lepak di gerai keropok lekor dulu, menikmati minum petang sambil menghirup udara segar


Pemandangan laut yang indah di waktu petang. Lepas makan kepok elok bersiar-siar di tepi pandai supaya minyak keropok tak beku dalam salur jantung!





Tak cukup berjalan, boleh berjogging di trek yang disediakan di kawasan pantai


Tapi kena ambil perhatian amaran Majlis Daerah......jangan main terjun aje dalam laut tu!


Pada keesokan harinya kami pergi ke Mersing Johor, yang kira-kira satu jam perjalanan dari Rompin. Tujuan saya nak tunjuk pada anak bongsu pemandangan Pulau Tioman dari Masjid Jamek Mersing yang terletak di atas bukit. Tapi malangnya, laut berkabus, tak nampak Pulau Tioman ( kalau tidak, sampai aje di atas bukit, tekejuk besor tiba-tiba Pulau Tioman tertebeng depang mate )


Oleh kerana tak dapat lihat Pulau Tioman, kami berpatah balik dan singgah di Pantai Air Papan , Mersing.


Dari Pantai Air Papan, kami dapat menikmati pemandangan pulau-pulau kecil di kelilingnya



Kejuk ga jugaklah bila nampak pemandangan ni...



.........ditambah pulak dengan yang ini........



........dan...........yang ini........

Tapi berbeza pulak dengan Pantai Penyabung dan Teluk Gorek ( juga di Mersing ) yang begitu indah dan bersih. Hairan juga kenapa Pantai Air Papan terbiar, dengan rumputnya yang tidak di potong...... kesian gerai-gerai kecil yang jual keropok goreng, pisang dan ubi goreng, yang jual air kelapa macam duduk dalam semak aje sebab rumput begitu panjang dan ekstra serabut!
( Lihat Voices in my head - My Travel Journal --Teluk Gorek Jan 2009 )

Friday, November 12, 2010

Lama Berjalan Macam-Macam Pengalaman

Bila balik kampung takde kerja melainkan makan,tidur,lepak,sembang sampai hampir pagi dengan me "rewind" cerita lama gi mari gi mari.

Terkenang masa di KB, masa tu anak-anak kecik-kecik lagi, kawan-kawan beri nasihat kena kelih sokmo anak lelaki dan anak puen kita bila agak-agak hampir baligh, kena tanya dan kena ajar cara mandi wajib. Kena lihat perkembangan anak-anak, jangan biar mereka membesar bersendirian. (Alhamdulillah, silibus mata pelajaran Pendidikan Islam mencakup semua aspek kehidupan ), jadi anak-anak mungkin tak malu lagi jika kita bukak cerita.

Pesan mereka lagi, kalau kita tak sihat biasakan anak-anak menjaga kita, urut, picit, teman kita. Jadi bila besar, anak lelaki tak malu dan tak kekok nak mendekati kita, memicit-micit atau menyuapkan makanan atau lain-lain ( to the extend ada yang memandikan emak atau tok kerana takde orang lain yang boleh membantu ). Banyak juga anak lelaki yang jenguk mak dari pintu sebab malu nak mendekati mak yang terlantar sakit!

Kadang-kadang I went overboard menyakat anak-anak, suruh baca Al Fatihah, mak nak dengar, mana tahu kalau mak mati, baca Fatihah tak betul mak tak dapat pahala. Mereka pun bukan main baca dengan sepenuh hati, kadang-kadang ada yang menangis takut mak mati. Bila depa dah besar sikit dan dah cerdik mereka geram bila mak menyakat depa!

Tapi nasihat yang paling berharga ialah, bila anak-anak gadis dah membesar, seorang kawan beri nasihat yang benar-benar ikhlas. Anak you dah besar, jangan terlalu memilih bakal suami anak. Jangan jadi macam sesetengah ahli keluarganya , ramai yang tak kahwin hingga ada yang berumur 50 tahun dan ada yang tak kahwin seumur hidup. Masa mereka muda-muda, ada kawan yang serious nak kan mereka, tapi mak bapak tak boleh terima dengan macam-macam alasan, tak setaraf, kerja tak menjain masa depan, peghak sangat sehinggakan tiada seorang pun yang good enough for their daughters!

Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih pada sahabat-sahabat saya di KB, Alor Star dan Kuching yang begitu ikhlas mengajar dan menasihat saya tentang hidup. Allah jua yang membalas segala kebaikan Che' Nun, Neni, Che' Nah dan lain-lain!

Tuesday, November 9, 2010

Penyakit Yang Tak Nampak

According to the Disease Burden Study conducted in 2004 ( using 2000 data ), that took into account both mortality and morbidity, the eight leading diseases ranked from highest to the lowest are ischaemic heart disease, followed by mental illness, cerebrovascular disease/stroke, road traffic injuries, cancers, asthma and chronic obstructive pulmonary diseases, diabetes mellitius and certain infectious diseases such as dengue and HIV/AIDS - NST August 31, 2010.

Sungguh menakutkan tentang penyakit mental berada di ranking yang kedua , kerana walaupun ia satu penyakit, tapi yang empunya badan tak tahu yang ia sakit. Lain-lain penyakit kita boleh kaitkan dengan umur dan tubuh badan seseorang, misalnya sakit jantung, darah tinggi dan diabetes dikaitkan bila umur meningkat dan tubuh badan saiz dugong ( walaupun tidak semua begitu ). Canser dan asthma selalu juga dikatakan sebab keturunan , denggi dikaitkan dengan nyamuk, HIV/AIDS pula dikaitkan dengan dadah dan gaya hidup bebas dan jangkitan.

Pernah suatu masa apabila wabak H1N1 melanda Malaysia, ramai yang rasa gerun sebab kematian berlaku sekelip mata. Tapi ramai yang tak gerun pada denggi, sebab tak nampak nyamuk yang gigit dan tak tahu pun nyamuk tu aedes ke bukan dan denggi pula tidak berjangkit. Seorang kawan yang anaknya demam teruk , bila pergi hospital doktor sahkan dia kena denggi. Dengan begitu leganya dia beritau saya mujurlah anak dia kena denggi ( masih boleh diselamatkan ) bukan H1N1. Padahal kami berdua dan orang lain sedar denggi juga membunuh!

Pelbagai cara disarankan untuk mengelakkan seseorang dari mendapat penyakit yang mudharat, seperti mengamalkan pemakanan yang sihat dan cara hidup yang sihat. Tapi penyakit mental jarang dibincangkan. Kita hanya nampak orang gila sahaja yang berpenyakit mental, tapi bagaimana dengan orang yang nampak normal, tiba-tiba mereka membunuh kerana mendengar bisikan atau nampak tulisan yang menyuruh mereka membunuh. Ia tiada kaitan dengan gaya hidup atau pemakanan seseorang.

Bagaimanakah kita menangani orang yang menampakkan ciri-ciri tidak normal di kalangan kita, adakah dibiarkan begitu sahaja, tolerate dengan perangai mereka atau suruh mereka pergi hospital. Ini yang bahayanya, kita boleh hilang sedara dan kawan kalau kita sebut perkataan psychiatrist pada mereka! WaLlahu a'lam....

Sunday, November 7, 2010

Semua Orang Akan Mengalami........

Masa mak saya sakit enam tahun dulu, seorang sahabat datang menziarah, dia beritahu saya dah ada tanda-tanda...... Kening dah turun, telinga dah turun, dahi dah tegang, tulang belakang dah rapat ke tilam. Saya tak ambil kisah sangat walaupun mak sakit tapi masih segar dan boleh bercakap, boleh makan sikit-sikit. Saya tak faham dan tak nampak pun apa-apa perubahan pada mak.Tapi beberapa minggu kemudian beliau sakit teruk dan saya menghantarnya ke klinik komuniti ( kerajaan ) di kampung saya ( pusat kesihatan ini ada sick bay dan ada ward kecemasan dan wad bersalin ).

Doktor memberitahu mak saya sepatutnya dihantar ke Kuantan masuk icu sebab jantungnya dah lemah, tapi oleh kerana beliau dan berumur 84 tahun perjalanan jauh mungkin memudaratkan beliau, dan minta saya sain surat kebenaran supaya mak saya dirawat di klinik itu . Saya memberitahu doktor jika mak saya dah tiada harapan beritahu saya sebab saya tak ada pengalaman dan tak tahu. Kami baca Quran tak putus-putus dengan bergilir-gilir ( dengan doa dan harapan mak cepat sembuh ). Kalau tahu mak dah dekat nak mati dah tentu kami baca terus menerus 24 jam dan tak tidur!

Setelah lima hari dimonitor dan bertong-tong oksijen habis doktor pun memberitahu saya mak boleh dibawa pulang ke rumah. Dengan bengapnya saya kata, mak saya dah ok ke? . Doktor memandang muka saya tepat-tepat tanpa berkata ........ ada senyum sikit di tepi bibir. Lepas mak mati baru faham bila doktor dah suruh bawak balik tu maknanya dah takda harapan hidup lagi. Mungkin doktor tu kata saya bodoh, takkanlah sampai nak kena kata mak you dah nak .........baru nak faham.......

Balik ke rumah mak macam tidur, saya ingat dia berihat, kami adik beradik pun senang hati. Empat jam kemudian mak nazak, kami adik beradik dan anak-anak kami pun masing-masing bacakan surah Yasin, menitiskan air ke tepi lidahnya , membisikkan Laa ilaha illAllah di telinga dan mengadap beliau sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir. InnaliLLahi wainna Ilaihi rojiuun!. Bila semua sedara mara sampai, saya mintak supaya mak dikebumikan selepas Isya' ( meninggal pada pukul 6 petang ). Masa mak hidup dia menyegerakan urusan menanam mayat -- ayah, bapa saudara, adik yang meninggal di rumah.

Tukang mandi jenazah datang sebelum maghrib, buat segala persiapan, selepas sembahyang Maghrib mereka pun memandi dan mengkafan mayat dan selepas Isya' jemaah lelaki balik dari masjid terus sembahyangkan dan bawa mayat ke kubur dan di simpan pada malam itu juga.

Itulah tanggungjawab yang saya kena hadapi sebagai anak tua ( kini dah jadi orang yang tertua dalam keluarga ). Pak sedara, mak sedara semua dah tiada, tinggal sepupu-sepupu sahaja yang tua-tua dah tak larat, yang muda jauh dari kampung. Rupa-rupanya kita ni, masa muda, ada masalah, sakit mati, orang tua atau orang yang lebih tua yang uruskan , tapi sampai masa kita dah jadi yang tertua.............kena kuat dan berani!

Thursday, November 4, 2010

Awas! Tok Jib Bawa Senarai....

Tahniah BN kerana menang PRK Galas dan Batu Sapi.

Di harapkan lepas ni Tok Jib kena spring cleaning kabinet beliau, supaya segala sawang-sawang yang melekat di dinding dan di siling dibersihkan. Jangan lupa jugak kena vakum bawah carpet, takut anai-anai makan lantai atau ada semut api yang buat rumah kat situ. Takut juga mana tahu ada seekor dua kala jengking yang merayap bawah meja, atau dalam laci, kalau terkena sengat, boleh pengsan!

Kerusi meja yang dah lama dan dah ada nilai antik elok aje dihantar ke museum, supaya keindahannya jadi tontonan umum dan boleh diapresiasi oleh orang ramai terutamanya peminat barang-barang antik.

Semoga kabinet baru DSN lebih ceria dan dapat memberi nafas baru, perjuangan baru, azam dan cita-cita baru, sokongan baru dan segala-galanya baru...........dan senarai baru yang ditunggu-tunggu tuh!

Tuesday, November 2, 2010

Harta Atau Nyawa?

Bertanya pada War pagi tadi, ada ke keluarga War yang terlibat dengan musibah letusan Gunung Merapi, dia kata tiada saudara mara di Jawa, semua ahli keluarganya di Sumatera.

Ramai yang mati di Pulau Mentawai, kak

Kena sunami War, nak lari ke mana.

Tulah kak, bila ada musibah, ramai je yang tak nak pindah, mereka rela mati dalam rumah sendiri.

Katanya ramai yang beranggapan pada mati tengah lari biar mati di rumah, dengan harapan bencana tak menimpa mereka di rumah. Orang kampung susah nak pindah kak, lembu kerbau nak bawak macam mana dalam keadaan kelam kabut, sedangkan lembu kerbau dan tanah tulah harta mereka. Kalau dah hilang semua bagaimana nak teruskan hidup, dah susah bertambah susah. Katanya orang berada lain , mereka boleh tinggalkan rumah lari sehelai sepinggang sebab harta mereka ada dalam bank!

Adakah dengan kata lain kalau punca pendapatan hilang, mereka rela mati? Entahlah, tak berani nak buat andaian, sebab kita tidak berada dalam situasi yang sedemikian!

Dia menguatkan cerita, ada juga yang lari meninggalkan rumah dan mati di tengah jalan kerana merempuh banjir, bila banjir surut, didapati rumah mereka tak pun terkena banjir! Kira-kira mati percuma aje mereka tu! lari dari tempat yang selamat ( rumah ) pergi mati di tempat bencana.

Wa bo komen maa......

Friday, October 29, 2010

Pilihanraya Kecil Banyak Kali Lagi ...

Orang suka bila ada pilihan raya , tak kira besar atau kecil. Kawasan yang tak pernah diambil peduli oleh wakil-wakil mereka akan berubah wajah. Kalau dulu ramai orang kampung yang tak kenal wakil rakyat mereka , bila tiba pilihan raya - budak atas dukung mak pun kenal.......mak.. tu tok wakil kitee.........( terkejut badak mak budak tu, sebab anak dia kenal wakil rakyat! )

Masa nak mengundi, mintak apa pun boleh - nak supermarket, nak hospital, nak wifi, nak padang golf, nak hiway kat kampung....boleh, semua boleh! Bior bebenor pakcik oi.......Buat ape tak mintak kilang besar atau perusahaan ape-ape yang patut, ada juga peluang pekerjaan kat kampung. Kalau orang dah tak menganggur , ada kerja tetap dan dah banyak pitih, tok wakil datang 5 tahun sekali pun takpe. Tapi, awas-awas kalau orang lain potong jalan, jangan pulak berpeluh sejuk tok wakil!

Pendek kata, musim mengundi, rakyat setempat akan makmur - kedai makan, rumah sewa, kerja-kerja sambilan, pasang banner, itu ,ini , sewa mikrofon, cetak t-shirt, dapat makan free dan boleh pulak berjumpa dan berjabat salam dengan orang besar-besar. Pendek kata sepanjang masa kempen, macam hari rayalah jugak! Sebab tu ada jugak yang dajal mintak doa bagi wakil rakyat dia mati, sebab nak dapat free wifi kat kampung dia! ( dok baik awe buat doa lagu tuh! )

Setelah habis mengundi, maka senyap sunyilah kampung tu seperti sedia kala. Tinggallah segala sampah sarap bersepahan atau janji-janji( ? ) manis. Diharapkan semoga kampung yang di ceruk-ceruk hulu akan berubah wajah dengan kepimpinan tok wakil yang baru yang lebih amanah dan yang lebih berusaha dan yang lebih sayangkan kampungnya dan yang tak pentingkan statusnya dan yang lebih baik dari yang sebelumnya....dan......dan......

Hingga berjumpa dilain pilihanraya tak kira kecik ke besar !

Thursday, October 21, 2010

Buat Repot Polis...................

Buat polis repot, lepas tu buat ape pulak?

Beberapa tahun dulu, saya pergi ke Giant Taman Permata Ulu Kelang, waktu hari bekerja , saya dapati ramai remaja lelaki dan perempuan merayau-rayau dipersekitaran kawasan membeli belah tu. Mereka jual kalendar untuk mengutip derma anak-anak yatim. Dan takde sapa yang sudi membeli ( mungkin ada seorang dua yang bersimpati ). Sepatutnya mereka berada di sekolah sedang belajar.....adakah mereka tak bersekolah?

Apa yang memeranjatkan saya ialah, datang seorang dewasa ( lelaki ) , memarahi budak-budak tu, sebab kalendar yang dijual tak laku dan dia mengarahkan remaja-remaja tu supaya ( agaknya ) lebih agresif lagi menjual supaya cepat laku.

Jadi saya pun kasihankan budak-budak tu, dan saya fikir tentu mereka telah diexploit dengan buat kerja-kerja begitu, atau mungkin ada penipuan yang berselindung di belakang persatuan anak-anak yatim, jadi saya pun pergi buat repot polis. Tak tahu pulak nak repot kena bayar! nasib baik ada duit! ( kalau nak repot beg tangan kena ragut dan duit takde sesen dalam tangan, macam mana? )

Aktiviti menjual-jual kalendar ni banyak berlaku, terutamanya di akhir-akhir tahun. Bagi saya kalau nak minta derma, janganlah dipertanggungkan ke atas budak-budak tu, banyak cara lain lagi yang boleh dibuat, pihak pengurusan perlu bekerja dengan lebih kuat, pintar, untuk mendapatkan sumber kewangan! Wallahu a'lam!

Persoalannya apakah kesan dari repot polis tu? adakah kita kena pegi buat follow up pulak..... atau mereka akan tanya -- jadi, apa awak nak buat, nak saman rumah anak-anak yatim tu ke?....... atau mereka akan pergi menyiasat ke tempat tu........eh, depa boleh kata kalau ada 1000 repot satu hari takkanlah kami nak siasat semua!

...............................tak tahu apa.......tahu repot aje!..................................

Monday, October 18, 2010

Bawaklah Beristighfar Bebanyak.......

Ada sebuah blog yang membicarakan fasal pakaian pengantin perempuan yang mendedah aurat, dan saya dengan celuparnya buat komen menyalahkan ibubapa pengantin sebab tak larang anaknya pakai baju yang tak Islamik tu! Dan malam tadi saya mimpi diri sendiri ( yang dah down the hill ni ) nak pergi majlis usrah di surau, tapi pakai baju bustier. Terkejut badaklah kita, bila tercelik mata rupanya dah subuh gajah!

Teringat peristiwa seorang ahli keluarga menceritakan pada saya setahun dua yang lalu,
Tau dak, anak sianu tu pegi akad nikah pakai baju ketang kedada ( berkemban )
Eh, biasalah akak, orang sekarang, pas tu tutup pulak dengan kain lace tak berlining.
Dak aih, takdak lace....
Eh, takkanlah berkemban gantung pulak?
Iya, akak terkejut besar....ya Allah akak doa tang tu jugak janganlah cucu-cicit akak pakai lagu tu
Eh, mak ayah dia tak larang ke?
Tak taulah, kalau larang mesti anak tak pakai lagu tu!
Nenek dia tak kata apa?
Mana berani , takut menantu tarik muka!

Yang menyebabkan ahli keluarga saya tu malu sangat bukan apa, majlis tu dijalankan pada hari Jumaat, dalam masjid pulak. Oleh kerana upacara akad nikah habis lambat sikit , orang-orang yang datang awal untuk solat Jumaat bertembung dengan rombongan pengantin!

Juru nikah tak sound ke ?
Tak taulah.......

Berlainan pulak peristiwa yang berlaku di Johor Baru banyak tahun dulu, rombongan pengantin bawak banyak dulang hantaran yang salah duanya ialah senaskhah alQuran dan sedulang lagi sepasang kasut yang diarak masuk ke dalam rumah pengantin perempuan. Bila juru nikah nampak kasut yang begemerlapan di atas dulang dia pun memberitahu tuan rumah supaya keluarkan dulang kasut dari tempat hamparan. Walaupun juru nikah tak komen apa-apa, kita kenalah faham takkanlah alQuran diletakkan sama sebaris dengan kasut!

Lagi pulak apa sibuk-sibuk nak hantar Quran tu, salah-salah handle dapat dosa pulak kita. Zaman nabi dulu memang ada mahar dengan Quran, tapi bukan kitabnya, ia adalah hafazan Quran itu sendiri! Wallahu aklam!

Semoga Allah jauhkan saya dan kita semua dari bahana kejahilan. Aamin......

Saturday, October 16, 2010

Masyarakat Berperangai Jahiliyyah

Bibi Ayesya seorang wanita Afghanistan berumur 17 tahun telah disiksa dengan cara dipotong hidung dan telinga dan dibiarkan mati. Paling mengejutkan ialah, suaminya sendiri yang melakukannya dan dibantu oleh saudara lelakinya.

Rupa-rupanya Bibi Ayesya telah diserah oleh keluarganya sebagai ganti rugi/ denda kerana kesalahan ahli keluarga lelakinya. Adat ' Baad ' atau bayar ganti rugi yang diamalkan telah menyebabkan Bibi dipaksa kahwin ketika berumur 12 tahun dengan seorang pejuang Taliban. Malangnya walaupun berkahwin tarafnya lebih dari hamba, dia disiksa oleh suaminya dan seluruh ahli keluarga.

Ketika dia dipaksa tidur dalam kandang binatang ternakan, Bibi cuba melarikan diri tetapi dapat ditangkap oleh orang-orang kampung dan dia dijatuhkan hukuman pancung hidung dan telinga dan dibiarkan mati. Bibi merangkak dengan kesakitan ke rumah bapa saudaranya minta tolong, tapi bapa saudaranya enggan membantu. Ada ahli keluarga lain yang bersimpati telah menghantarnya ke pusat perubatan tentera Amerika ( di Afghanistan ) . Akhirnya Bibi Ayesya telah dihantar ke hospital di California untuk rawatan lanjut bagi memperbaiki hidungnya yang telah terputus itu.

Perempuan dibuat seperti barang , boleh dijual dan dicagar. Kaum lelaki tidak menghormati wanita, menzalimi mereka, menghukum sesuka hati mengikut adat yang dilakukan turun temurun. Sungguh tidak Islamik!. Dalam Islam ada hukum qisas dan adat baad bukan hukum qisas. Ia semacam adat jahiliyah dimana lelaki berkuasa penuh, perempuan berada ditaraf hamba.

Alhamdulillah lelaki Malaysia tidak bersikap male chauvinistic dan tak bersikap buta hukum, kalau taaak...........dah tentu kena mandraam, kena fuh kiri fuh kanan habis jadi bengap semua! Wanita Malaysia tidak dilahirkan untuk menderita dan tersiksa seperti sesetengah wanita Afghan ( ikut suku kaum ) dan Paki ( spt dalam kes banjir besar melanda Pakistan ). Pemimpin-pemimpin wanita kita giat memperjuangkan hak dan kepentingan wanita. Keep it up!
Sesiapa yang kena dera tu , jangan pulak mendiamkan diri, Malaysia ada undang-undang yang melindungi wanita.

Takdok gamba weh, dok panda nok upload! rujuk NST atau TNY Times

Wednesday, October 13, 2010

SAWADIKAaaaa (p)........Bah 2

Oleh kerana kami menyewa kereta sebanyak rm170 dari pukul 8 pagi sampai pukul 8 malam, kami gunakan masa dengan sepenuhnya. Mula-mula ke Kanchanaburi kemudian ke Ayuthia menyusuri sepanjang sungai Chao Phraya , ke floating market , sedar tak sedar dah lewat dan kami belum sembahyang lagi. Walaupun terjumpa 2 buah masjid, tapi kami ingat boleh sampai ke Bangkok awal sikit.

Kami makin menggelabah bila Abisert ( pemandu ) memberitahu jem teruk di Bangkok dan mungkin akan terlewat. Kami takut tak sempat sembahyang zohor/asar, jadi kami beitahu dia kalau jumpa masjid kami nak berhenti sembahyang ( sebab waktu maghrib masuk pukul 6.30 petang ). Dia kata ok, dan menalipon kawannya sana sini dan terdengar perkataan SULAU disebut beberapa kali. Akhirnya dia bawa kami ke airport lama ie Don Muang , di sana ada surau katanya. Kami gembira bukan main, dia pun gembira dan terus membawa kami mencari-cari surau dalam airport yang kini menjadi lapangan internal flight.




Gembira tak terkira kami dan bersyukur walaupun berada di negara bukan Islam, tapi ada ruang untuk orang-orang Islam beribadat.


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah! Maasyaa Allah.......sinar Islam memancar di seluruh pelusuk dunia.

Siap pula dengan tempat wudhu'


Setelah menunaikan solat zohor/asar, kami dibawa balik ke hotel, tukar pakaian dan terus pula ke destinasi seterusnya iaitu ke Bangkok Siam Niramit Show. Tiba di sana hampir pukul 8 malam dan pertunjukan akan dimulakan, di sinilah tugas Abisert sebagai pemandu pelancong berakhir . Abisert begitu memahami tentang kepentingan orang Islam untuk bersembahyang. Dia ada ramai kawan Islam yang disebutnya Selam, ada yang bernama Yusuf, bapanya seorang imam. Dia tahu tentang sembahyang harian, puasa, sembahyang terawih dan hari raya dan lain-lain.

Tiba waktu berangkat pulang ke KL, kami bersembahyang di surau di lapangan terbang Suvarnabhumi. Suraunya sungguh cantik dan bersih. Ketika kami masuk ke situ didapati ramai jemaah haji dari selatan Siam yang menunggu untuk terbang ke Mekah. Dengan tidak disangka-sangka kemi bertemu dengan Mr Aruwah Yama, presiden Bangkok International Airport Muslim Group. Beliau datang menemui kami ( pada awalnya dio kecek Sie' dengan kami ), tapi bila mengetahui kami orang Malaysia, beliau begitu gembira. Rupa-rupanya dia mempunyai ramai kenalan di Malaysia dan anak beliau, seorang hafiz sedang belajar di UIA Gombak.

Kami dapat mengetahui cerita tentang surau di airport, dan bagaimana dia telah berusaha untuk mendapatkan surau itu dan dengan pertolongan bapa saudaranya yang dulu seorang timbalan menteri pengangkutan. Permohonan untuk mendapatkan surau diluluskan, bukan satu, bukan dua tapi ada tiga surau di Suvarnabhumi International . Allahu akbar!


Dari jauh dah nampak signboard terpampang

Beberapa orang jemaah yang akan berangkat ke Mekah pada penerbangan malam itu, berihat di surau

You don't need hp during praying, right?




Inilah senarai imam-imam sembahyang Jumaat setiap minggu. Di bawah sekali nama Mr Aruwah Yama sebagai pegawai di situ, beliau seorang siam berketurunan melayu, boleh kecek Kelate dan juga bahasa Inggeris. Beliau juga ada business sampingan antaranya bidang perhotelan dan pelancongan!

Zaman Kanak-Kanak.....5

  Bila balik Rompin ramai-ramai takde  program lain melainkan pagi nak makan apa, tengah hari makan kat mana, petang minum kat mana, malam m...