Thursday, April 29, 2010

Mimpi Seram

Dulu-dulu saya kerap mendapat mimpi yang seram-seram dan berulang-ulang pula, seperti saya sedang berada di suatu tempat, dan tempat itu dipenuhi dengan mayat-mayat. Mula-mula rasa takut tapi lama kelamaan dah tak kisah. Ada juga tidur tak bermimpi, tapi tak seronok pulak, jadi saya kerap minta doa dapat mimpi yang baik-baik.

Masa di kampung dulu ada sebuah tokong Cina di deretan kedai-kedai lama, jadi semasa kecil saya kerap lalu lalang depan tokong tu. Pada suatu hari saya teringin nak masuk tengok dalam tokong , nak lihat dari dekat rupa tokong yang merah menyala yang dikelilingi oleh colok-colok yang berasap dan buah limau diletakkan di atas dulang berkaki. Bila malam tiba saya bermimpi tokong datang ke rumah dan saya ketakutan hinggalah tersedar dari tidur berpeluh-peluh. Selepas tu saya akan mengelak dari melalui depan tokong!

Arwah ayah memang melarang kami bermain-main di kawasan penyembahan, sebab maklumlah benda-benda yang sesat dan syirik sangat disukai oleh assyayaatiin. Tapi sebagai kanak-kanak perasaan ingin tahu sangat kuat, dan tidak dapat memikirkan buruk baik sesuatu. Ghoyak doh, lare' doh, tapi tok denga...................

Sekarang ini tempat penyembahan sebegitu dibuat berasingan dan agak jauh dari tempat orang lalu lalang.

Friday, April 23, 2010

Bisik Benggali

Kami baru saja menziarah Amir ( 6 tahun ) cucu saudara jiran kami di wad kanak-kanak. Semasa kami sampai lebih kurang pukul 6 petang Amir baru terjaga dari tidur ( pembedahan dilakukan pada pukul 8 pagi untuk membuang tonsil dan ketumbuhan dalam hidung yang menyebabkan dia sukar bernafas). Alhamdulillah pembedahan berjaya. Bila terjaga Amir begitu lapar dan nak makan segera maklumlah telah berpuasa sejak pukul 8 malam sebelumnya.

Makanan yang disediakan ialah bubur nasi kosong bersama dengan sup kosong. Apabila ibunya menyuap nasi, dahinya berkerut. Setelah beberapa suap, Amir tak puas hati, lalu......mana asam pedas?.........Hai, sejak bila pulak Amir makan asam pedas ni?.........Mana asam pedas? nasi ni takde rasalah, Amir nak asam pedas! He was hungry and furious, rupanya bubur tu takde flavour!

Kadangkala ada di antara kita yang menziarah orang sakit, suka buat mulut celupar bagi komen yang tak boleh diterima. Kata-kata seperti - kawan saya pernah dapat semput macam ni, tapi tak berapa lama lepas tu dia pun mati. Atau, kaki patah macam ni,mesti cacat seumur hidup. Sabar aje lah....

Ada juga di masa-masa yang lain terjumpa orang yang suka berbisik Benggali,........asyik beli ikan jaket aje, tak jemu ke dia tu? Atau sidia tu baru aje kena tinggal dik laki, tulah cerewet sangat.....Berbisik dengan jiran-jiran sekuat-kuatnya, habis satu taman perumahan boleh dengar!

Aduhai..........................

Tuesday, April 20, 2010

Kejutan Budaya

Masa mula-mula kami anak beranak berpindah ke Kelantan ( 1986 - 1990 ), berlaku jugaklah kejutan budaya, ie budaya makan. Semua makanan rasa manis, karipap , ketupat, pulut panggang dan lain-lain, tidak termasuk kuih yang manis-manis seperti jala mas, bunga tanjung dan tahi itik, memang manis semanis-manisnya. Walau pun terlalu manis ada cara memakannya, bunga tanjung misalnya, digigit sikit-sikit, barulah timbul kesedapanya. Jangan pula bubuh 2,3 biji dalam mulut, kunyah dan telan sekali, sudah tentulah berpinar bijik mata!

Sekiranya makan roti canai, kena awal-awal beritau tak mau gula, kalau tidak mesti dibubuh sesudu besar gula pasir di tengah-tengah kuah dal atau kari. Tapi makanan lain seperti nasi kerabu, nasi dagang dan nasi berlauk, memang sedap dan menjadi kegemaran kami serumah.

Makan pagi hujung minggu memang kaw-kaw punya, apa taknya nasi berlauk atau nasi kerabu sebungkus sorang ( macam makan tengahari) ditambah pula dengan satey, sabagai tambahan. Tak kira lagi makan tengahari, minum petang dan makan malam, semuanya yang sedap-sedap, ayam percik, ikan percik, kuzi ayam,kuzi kambing, sup tulang, kerutuk daging dan lain-lain. Kalau diteruskan makan begini sampai ke tua, tak tau nak katalah! ( jika tak eksesais! ).

Setelah setahun dua di KB ipar duai dari Yan datang menziarah kami. Depa komplen kata karipap dan ketupat manis. I pun beriya-iyalah mempertahankannya..... taklah, tak manis, sedang elok aje karipap ni.

Masalah timbul pula bila kami berpindah ke Alor Setar. Anak-anak dan emaknya sekali tak berapa dapat menyesuaikan diri dengan breakfast tanpa nasi berlauk, nasi kerabu dan nasi dagang. Mintak nasi berlauk, tapi yang ada nasi lemak. Bila tiba musim panas, depa ajak balik duduk Kota Baru, jadi kenalah kami beritau...........KB tu bukan kampung kita, ayah bertukar ke Alor Setar, rumah yang kita duduk dulu pun orang lain dah ganti.

Wednesday, April 14, 2010

Tabik datok, anak cucu tumpang.............




Masa kecil kerap juga bermain di hutan kemunting yang tidak jauh dari rumah. Pokok kemunting adalah pokok renek dan sangat rendang dan akan berbunga ( warna pink ) dan berbuah sepanjang tahun. Setiap pagi waktu hujung minggu atau cuti sekolah ramai-ramai pergi cari buah kemunting.




Kadang kala ada juga yang beser nak terkencing , nak balik rumah ( walau pun tak jauh ) takut ditinggalkan kawan-kawan, lama-lama lebuh di sebalik pokok aje. Ada di antara kami yang bagi petua, kena tabik dulu kat tok nenek baru kencing, maka sipaloi pun buka mentera.......tabik datok,anak cucu tumpang kencing...!

Saya dah tak ingat lagi kat mana puok demo tu basuh kencing sebab air takde di kawasan tu, nak kata beristinjak, tak reti lagi , tak tau dan masing-masing tak faham lagi sebab masa tu baru darjah dua atau darjah tiga.

Budak-budak sekarang beruntung, ilmu sudah meluas, tenaga pengajar ramai, ustaz ustazah yang balik dari Mesir , Syria, Jordan, Mekah , Madinah dan lain-lain negara Islam berkenjah. Ada di antara mereka ini jadi guru Kafa di sekolah-sekolah ( mungkin sementara dapat kerja lain ). Pelajar-pelajar sekolah dapat menimba ilmu dan tidak ada lagi yang buta Quran, tak reti sembahyang atau tak tahu bab thoharah. Cuma kesian ustaz ustazah sebab guru kafa tak sama kedudukan dengan guru-guru yang mengajar mata pelajaran lain di sekolah-sekolah.

Kalau dari kecil ( sekolah rendah ) dah diasuh oleh ustaz ustazah yang hebat-hebat, takdelah lagi orang Malaysia ni dok percaya kerajaan dilangit, atau pakat-pakat minum air ludah tok guru atau percaya pada orang-orang yang mengaku boleh bercakap dengan Tuhan atau ..........

Sunday, April 11, 2010

Late Bloomers

My friend who is also my neighbour held a kenduri to celebrate her birthday, her grandson's birthday, her 30th wedding anniversary and most of all to celebrate her youngest daughter's success in the SPM. The star of the majlis was of course her grandson Zuhair who is two years old. when asked ... makan apa? ... he said makan cake. Sapa beli cake? Mama beli. Sedap tak? Sedap!... birthday yang ke berapa? .....he said dua..... and showed his two fingers. I was amazed, at 2 years old he can speak properly. Actually, I already forgot at what age children start to speak.

My other friend D N told me that children talk at various ages, her youngest grandson started talking when he is three and a half years old, and he speaks pelat sikit whereas the rest of her grandchildren talk much earlier. So I guess I'm a bit left out when come to small kids. The last time I had a baby was 27 years ago!

So parents out there do not worry if your children start walking or talking a bit late, it is quite normal. I remember some of my friends' children are late bloomers, some talk pelat until they go to school, some children cannot cordinate their hands, like they can't catch balls, but you will be surprise many of them did well in school and in life!

Wednesday, April 7, 2010

Scandalous!

Ibubapa dulu tidak membenarkan anak-anak mereka mendengar percakapan orang tua-tua terutamanya kalau ada tetamu di rumah. Jadi masa kami kecik-kecik tak pernah didedahkan dengan lepat ketupat melalui mulut orang tua sendiri. Anehnya bila kita dewasa, pandai aje bergosip, macam diajar-ajar aje!

Pernah suatu hari A berlari termengah-mengah waktu malam dan mengetuk pintu rumah kami .......... Mak Teh, Mak Teh, tolong saya!
Kenapa engkau ni? ............ Ada orang kejar saya...
Mak pun buka pintu dapur dan A pun terjah masuk terus menyorok di belakang pintu.
Tak berapa lama kemudian....... Mak Teh, Mak Teh.........
Hah, kenapa kamu ..S.. ?.
Ada tak orang lari kat sini kejap tadi? .........Tak dak.....pergi cari tempat lain..
Kedua-dua mereka adalah sanak saudara kami dan rapat dengan mak dan ayah.

Rupa-rupanya, setelah saya masuk sekolah menengah baru tahu cerita sebenar. Lelaki yang datang menyorok di belakang pintu dapur kami ialah duda kepada H. Dia datang ke kampung untuk melihat bekas isterinya yang juga sudah berkahwin dengan S, tapi cara dia datang tu kurang elok, iaitu dengan mengendap di waktu malam! ayah pun suruh dia balik ke kampung asalnya semula pada malam tu jugak. Kalau tunggu esok mesti kena belasah oleh si S!

Kalau sekarang cerita sebegitu akan menjadi skandal yang besar dan jadi bahan gosip, tetapi kerana mak dan ayah rahsiakannya, maka takde orang kampung yang tahu, cuma saya yang tahu, itu pun setelah beberapa tahun kemudian. Yang kena kejar tu pun dah meninggal kerana penyakit malaria dalam tahun 70an dulu!

Sunday, April 4, 2010

Jangan terpedaya dengan bisikan-bisikan ..........

Bagaimana kalau ada seseorang yang bersyak wasangka terhadap jirannya yang berumur hampir 80 tahun? dia mengesyaki orang tua sebelah rumahnya ada memelihara benda ghaib yang cuba hendak mengacau kehidupannya anak beranak ( walau pun disangkal oleh suaminya sendiri).

Jadi untuk melindungi dirinya anak beranak, dia memanggil seseorang yang pandai menjampi air untuk dijirus di sekeliling rumahnya supaya mereka tak diganggu. Selain air jampi, dia juga menaburkan garam di setiap gril tingkap dan pintu, sehingga berkarat habis besi-besi jerejak itu. Dia membayar ratusan ringgit setiap bulan untuk mendapatkan khidmat air jampi itu. Terakhir sekali dia minta dibuatkan air Yasin untuk dimopkan di lantai sebagai usaha untuk menyekat kemasukan perkara-perkara buruk ke dalam rumahnya ( diharap bukan surah Yasin yang dibaca oleh sipolan tu! ).

Kita sukar percaya perkara khurafat ini berlaku di abad 21 ini. Tetapi ramai lagi mangsa lain yang terpedaya . Seorang yang saya pernah jumpa berpuluh tahun dulu pernah menggaji seorang penasihat yang dibenarkan tinggal di rumahnya. Oleh kerana suaminya sentiasa berasa lemah dan badanya kian hari kian kurus, sipenasihat inilah yang membuat segala ubat-ubatan, tangkal , jampi dsbnya, konon katanya sisuami itu terkena buatan orang. Banyak juga dia berhabis wang ringgit dan barang-barang kemas. Selang beberapa tahun kemudian kami mendengar berita suaminya mati kena strok akibat diabetes!

Sepatutnya kita yang mengenali seseorang yang berada dalam perangkap ( kejahilan? ) atau tipudaya syaitan tolong menasihati mereka. Tapi siapakah kita? mereka tak akan mendengar nasihat orang biasa, mereka tidak pula pergi bertanya kabar pada orang-orang alim. Yang mereka yakin sekali ialah orang yang rapat di sisi mereka sahaja!

Zaman Kanak-Kanak.....5

  Bila balik Rompin ramai-ramai takde  program lain melainkan pagi nak makan apa, tengah hari makan kat mana, petang minum kat mana, malam m...