Tuesday, May 25, 2010

Wooo......mandi hujan!

Bulan 12 cuti sekolah dan juga musim hujan di pantai timur. Dulu-dulu punya dulu musim tengkujuh adalah musim susah dapat ikan segar kerana nelayan tak dapat turun ke laut. Jadi diet pada bulan December ialah telur, sadin, ikan kering, keropok kering, ubi kayu. Ayam pun kerap kena sembelih menggantikan ikan.

Paling seronok sebab dapat mandi hujan. Ramai-ramai main hujan sampai kecut kaki tangan baru berhenti. Pada musim hujan semua tanah rendah dan lekuk serta tempat-tempat yang beralur akan dipenuhi air. Tidak dalam dan tidak berarus, jadi tidak merbahaya. Yang menkjubkan kami waktu itu ialah, bila ada air adalah ikan, sepat , puyu dan keli. Masa tu kami tak faham dari mana datangnya ikan yang kecik-kecik tu. Ramai-ramai tangkap ikan bubuh dalam balang untuk dipelihara.

Kanak-kanak sekarang takde peluang nak mandi-mandi hujan macam tu, mesti mak bapak marah. Tambahan di KL , hujan berasid dan boleh memudaratkan. Bila hujan sikit.......masuk..masuk.. jangan main hujan nanti demam! nak main nakal-nakal sikit semua tak boleh, akhirnya dari kecik sampai tua melangut depat tv, computer, play station aje!

Nakal budak dulu-dulu, panjat pokok, mandi sungai, main games buatan sendiri, konda kondi, lompat galah, batu selimban. Tapi ada juga yang jadi kutu embun, lepak-lepak main gitar, dah kira nakal habih ghenglah tu. Nakal budak-budak sekarang racing motor, bawak kereta mak bapak secara curi-curi, lepak kedai mamak pekena teh tarik dan roti canai!

Pendek kata zaman berubah, cara hidup juga berubah. Orang lama rasa masa kanak-kanak mereka penuh makna dan penuh adventure. Jenerasi kini rasa mereka lebih beruntung kerana dapat mengembara ke alam maya dengan hanya memetik jari!

Friday, May 21, 2010

Sound System Malfunction

Sambung lagi kisah telinga tak dengar , arwah ibu mertua pernah menceritakan pengalamannya yang tiba-tiba menjadi kurang pendengaran . Katanya itulah pengalaman paling pahit yang dilalui. Bila pekak dunia rasa sempit katanya, bila orang bercakap kita tak boleh dengar menyebabkan rasa nak marah pada semua orang. Alhamdulillah pendengaran beliau pulih kembali setelah beberapa bulan kemudian( kesan sampingan ubat yang dimakan ).

Seorang ahli keluarga menjadi kurang pendengaran apabila berumur lebih 60 tahun. Setiap hari berbalah dengan anak gadisnya sampai dah tak tau nak buat apa budak tu. Bila dia bercakap perlahan / normal mak dia tak dengar, bila dia cakap kuat sikit mak dia pun merajuk dan kecil hati. Katanya anak dia cakap menengking dan nak marah kat dia. Kenalah banyak bersabar wahai Che' Mek oi!

I pernah juga jadi pekak selama satu hari, bila turun dari kapal terbang tiba-tiba hilang pendengaran. Bukan main menggelabah..... ai, takkanlah aku jadi pekak pulak, dengan tiba-tiba pulak tu. Menggelisah, miserable dan ada juga rasa jengkel. Rupa-rupanya hilang pendengaran seolah-olah macam hilang penglihatan. Semua dah jadi tak betul!

Tuesday, May 18, 2010

Kena Tipu Hidup-Hidup!

Lebih kurang sepuluh tahun dulu seseorang yang kami kenali didatangi oleh salesman, dia tak jual apa pun tapi bagi kertas untuk digores. Apabila digores kertas tu, keluar gambar kereta Proton Wira. Sipenjual tu begitu teruja, melompat-lompat dia......waa..lu manyak untung dapat ini Ploton Wira.

Eh, macam mana I boleh dapat itu Proton Wira?
Lu sudah gores, sudah keluar itu gambar proton , kira you dapatlah ini lucky draw. Manyak lucky la lu!
nanti esok itu kereta kasi hantar sama lu. Tapi kena bayar 2 ribu ringgit untuk proses pendaftaran dan pembayaran road tax.
Seseorang ni pun begitu teruja, hampir nak dibayar duit 2 ribu tu, tapi nasib baik kawan-kawan dia menahannya.

Baru-baru ni ada pulak seseorang yang kami kenal, menggores kertas dan keluar nombor pula. Jadi salesman ni ajak dia pergi ofis jumpa dengan bos untuk menuntut hadiah yang dia sepatut dapat. Seperti biasa salesman tu terlompat-lompat dengan penuh teruja, ........you manyak untung dapat hadiah besar. Bila check dalam senarai, nombor yang dia dapat tu membolehkan dia dapat sebiji kereta Honda CRV.

Semua orang gembira, lebih-lebih lagi si salesman tu, .....wa....nanti boleh belanje sama saya.....kemudian bos pun keluar menemui seseorang ini beritahu kena bayar 9 ribu ringgit untuk mengeluarkan kereta dari kilang, bayaran insurans dan road tax, serta kos pengiklanan.Dua hari lagi kereta akan dihantar terus ke rumah, dan duit yang 9 ribu tu akan dipulangkan balik. Kalau tak percaya catatkan nombor siri duit tu.

Kalau kita fikir lamaaaaaaa sikit, mana ada orang jumpa kita tengah jalan, atau di pasaraya atau salesman yang terpontang panting merayau dari rumah ke rumah menjual kad untuk digores, kemudian boleh dapat hadiah yang kaw-kaw. Gila apa orang yang nak bagi hadiah tu!

Serupa juga invest 1 ratus ringgit dapat pulangan 13 ribu, meniaga apa tu?

Saturday, May 15, 2010

Mono Sound System

Akibat accident berpuluh tahun dahulu tulang telinga dalam ( inner ear ) suami saya telah retak, menyebabkan tahi telinga menyerap masuk ke dalam tulang. Doktor ambil keputusan untuk membuat pembedahan , jika tidak lama kelamaan ditakuti mendapat meningitis.

Pembedahan telah dilakukan beberapa tahun lepas dan mengambil masa lebih 10 jam. Dalam pada itu doktor pakar memberi amaran, otot muka mungkin akan turun/collapse serta merta jika terkena urat muka. Alhamdulillah, muka maintain hensem, tapi telinga pulak pekak sebelah sebab gegendang telinga terpaksa dibuang.

Yang kelakarnya ialah jiran sebelah pun ada kecederaan pendengaran juga sebab beliau bekas general dalam pasukan semboyan ie bahagian meriam. DZ mengingatkan kami bila bercakap dengan suaminya kena kuat sikit, sebab suara perlahan tak sampai ke telinganya. Maklumlah asyik berdentum dentam bunyi meriam, telinga gajah pun boleh pecah.

Sejak akhir-akhir ini DZ pula mendapat kecederaan pendengaran kerana dalam satu sesi latihan menembak beliau tak mengenakan penutup telinga dengan betul. Pernah DZ memberitau kalau dengar dia dengan suaminya bercakap kuat, jangan terkejut dan jangan ingat mereka bergaduh pulak. Dua-dua sekarang menggunakan mono sound system.

Semalam, saya terkejut apabila mendengar satu bunyi ditepi kepala belah kiri. Rupa-rupanya bunyi jam meja...tik, tok, tik, tok....... Eh kenapa selama ni tak dengar pun bunyi jam nih.

SEBAB SELAMA NI...jam berada di sebelah kanan telinga........

Baru terkejut badak bahawa sendiri sudah ada sound problem.

Tahi telinga banyak ke?

Dah tua ke?

Monday, May 10, 2010

Miskin Tegar

Kita mungkin tak sedar ada lagi golongan yang miskin tegar di negara kita. Hidup mereka tidak ada perubahan sejak kecil hingga mereka dewasa akhirnya tua. Bayangkan seseorang yang kami kenal, semasa kanak-kanak lagi beliau dan kakaknya sudah pandai mencari rezeki untuk menolong ibubapa mereka yang susah. Caranya ialah mereka berkerja dengan sesiapa yang memerlukan tenaga tulang empat kerat mereka.

Adik perempuannya bekerja membasuh kain, menggiling rempah dan lain-lain kerja rumah apabila diperlukan Dengan kata lain rezekinya tidak tetap, ada kerja adalah upah. Abang pula buat kerja apa saja, pergi kedai , sapu longkang, tarah rumput dan juga tolong memasak. Hingga kini, abang berumur 52 tahun, tidak berkahwin sebab tak mampu sementelahan lagi sebelah kakinya cacat dan tak dapat berjalan dengan betul.

Akhirnya mereka dua beradik menjadi pembantu sambilan di rumah sebuah keluarga yang bersimpati dengan mereka, selama mana diperlukan. Mereka akhirnya menjadi begitu rapat sehingga dianggap sebagai keluarga sendiri , diberi pertolongan sedikit sebanyak yang boleh. Yang lain-lain atas ehsan saudara mara dan orang-orang yang bersimpati nasib mereka.

Ada ramai orang yang miskin tegar di negara kita. Agaknya apakah perancangan khas yang kerajaan buat untuk membantu golongan ini, selain dari duit zakat setahun sekali dan duit welfare ( mereka bukan orang malas yang mengharap duit free, mereka boleh buat kerja ).

Semoga mereka mendapat limpahan dari kekayaan dan kemajuan negara!

Thursday, May 6, 2010

Freeeeaaaaak.....!!

Ada di antara kita yang terjadi melobih dalam sesuatu perkara, samada dari segi menjaga kesihatan, makanan, kecantikan, kebersihan atau lain-lain. Akibat dari itu seseorang boleh jatuh sakit secara tidak disedari ( secara psikologi ), dan mereka jadi dah macam tak berapa normal dah dari pandangan mata orang di sekeliling.

Apa taknya, kalau yang menjaga kecantikan dan nak maintain berat badan supaya sentiasa ( menurun? ) sampai saiz zero tu, makan bersukat, bertimbang, seperti dua biji kacang, sehelai daun sawi, setengah sudu nasi dan segigitan buah papaya atau epal. lepas tu setiap jam timbang berat badan. Gilo ko apo?

Ada orang yang menjaga kebersihan rumah mereka secara melampau. lantai rumah dilap setiap sejam, menggunakan segala macam ubat pencuci, ubat penyembur, pewangi sampai rumah dah berbau macam kilang pembuat bahan pencuci. Dah tak makan guna pinggan mangkuk lagi, sebab ia kena dicuci dan membasuh pinggan mangkuk, membasahkan sink dan disekitarnya, nanti kena lap segala benda tu sekering-keringnya untuk nampak spick and span. Akhirnya makan dalam paper plate, lepas makan buang!

Pernah tengok pil vitamin satu lemari? Semua vitamin dan ubat-ubatan sampingan , seperti herba yang berbentuk cecair, berkapsul atau berbiji atau berserbuk dibeli di serata tempat, di farmasi, dari jualan direct selling dan lain-lain..Pendek kata kalau ada orang rekomen atau diiklan, terus beli.

Kalau kita sedang mengalami benda-benda yang tidak normal begini, mintalah nasihat ahli keluarga dan rakan-rakan or we need to hire a psychiatrist at once!

Monday, May 3, 2010

Pertembungan Dialek

Pernah satu hari saya dan anak sulung hendak pergi Tanjung (Penang ) dengan menaiki bas dari Alor Setar. Tidak ada bas yang terus masuk Pulau Pinang masa tu, kena ambil bas Alor Setar - Butterworth. Sampai di Butterworth naik feri terus ke seberang ke Pulau Pinang.

Semasa dalam bas kelindan pun mula menjual tiket......... Bagan dua kak?
Tak, bukan Bagan -Butterworth.
Dia tersenyum, sama kak........ya.. Bagan dua.

Kami dua beranak pun gelabah jugak sebab bas tulis Alor Setar - Butterworth, kenapa Bagan pulak? Akhirnya kami sampai diButterworth aka Bagan! Barulah lega.

Semasa di Alor Setar, beli barang selalu dapat mahal sikit, sebab tak cakap Aloq Setaq. Bukan mudah nak tiru telor Kedah, ianya mengambil masa yang lama. Itu pun tak berapa menjadi.

Lain pula di Kota Baru, pelajar-pelajar saya kerap membetulkan jika saya salah  sebut

- buke lagu tu cikgu.... keno kato lagu ni.......

Sebab tu mudah menjadi telor Kelate, lebih-lebih lagi kerana saya orang Pantai Timur, lagi cepat dapat kecek Kelate! Bagi suami pulak lain cerita, susah nak tukar Kedah speak dia tu. Pernah dia berhubung dengan Bank Pertanian di Petani, Siam tentang satu lawatan kerja. Dengan susah payah dia bercakap standard Malay takut orang Siam tak faham bahasa Kedah) bila habis penerangan, orang Petani pun kata...

Cek, boleh kecek Kelate ko, kito dok pehe...

Suami saya pun kena kecek Kelate dengan tak menjadinya, habis staf dia di KB tergelak.........( cakap kuat pulak tu, talian talipon tak berapa elok )

Di Sarawak, mereka menggunakan B. Melayu standard bila bercakap dengan orang luar. Tapi kalau kita bergaul mesra dengan kawan-kawan di sana mudah juga kita nak menguasai bahasa Sarawak. Tapi bagi anak-anak, takde masalah sebab di sekolah mereka ada ramai kawan dan proses asimilasi cepat berlaku.

Zaman Kanak-Kanak.....5

  Bila balik Rompin ramai-ramai takde  program lain melainkan pagi nak makan apa, tengah hari makan kat mana, petang minum kat mana, malam m...