Sunday, April 29, 2012

Orang Pencen.....




 Ada juga orang.........

Apabila dekat nak pencen ramai yang menggelabah, dok fikir tak tau nak buat apa kalau pencen - tentu membosankan. Ramai jugak yang tak boleh terima yang dia dah nak pencen - ada yang menangis di hari terakhir di pejabat ada yang dah tak lalu makan berbulan-bulan sebelum pencen, hingga badan  jadi kurus kering. Kalau suami orang besar, isteri mula melobi sana sini nak suruh laki dapat extention. Tapi sekarang dah tak perlu dah, sebab pencen 60 tahun - takkan tak puas lagi jadi bos, ada p.a. , ada drebar, pegi sana sini semua 1st class dan lain-lain perks - kalau masih tak nak lepas segala kemudahan tu, memang selfishlah......

Hoi, bagi canlah orang lain naik pulak!!!

Ada juga setelah pencen, tiap-tiap hari keluar makan kat kedai ( buat excuse nak keluar rumah ). Paling kelakar bila R pencen, tiap-tiap hari turun town ( pegi KL ), dia tak drive sendiri tapi naik bas - merayau-rayau di KL dah penat baru balik! Tak taulah berapa lama dia buat begitu! kalau cepat terima hakikat, cepatlah dia berhenti merayau-rayau sambil window shopping tu!

Ada jugak orang yang in denial sampai ke mati. Hari-hari dok nganga, mati akai tak tau nak buat apa! Tengok tv habis siaran, tengok cd selagi ada cerita sebab rasa ketinggalan selama ni - dok dalam alam khayalan ciptaan manusia. Lama-lama jadi macam daun kering......


Bagi yang tak  in denial tu, inilah masanya membetul-betulkan dan menambah-nambah amalan . Kalau tak sekarang , bila lagi?


Friday, April 27, 2012

Buruk Sangka......



....atau suul dzon boleh membawa mala petaka pada seseorang.

Yep, beberapa minggu yang lalu saya buat meroyan bila kucing merosakkan rumput dengan meninggalkan t#@hinya setiap hari.

ALKISAHNYA saya dah berburuk sangka dengan Kak M kerana saya nampak dia memberi makan kucing yang mula-mulanya seekor saja kemudian bertambah berekor-ekor dan  saya memang nampak yang berekor-ekor tu datang membuang di laman saya.

JADI....setiap hari saya mengomel mengapa Kak M ni beri makan kucing-kucing tu, dari seekor dah bertambah banyak pulak dan rumah saya berbau busuk. Suami pun tolong buang tahi kucing dan menyabarkan saya supaya sabar, sabar, sabar.....

PADA SUATU HARI saya tengah-tengah rajin trim pokok, tiba-tiba terpijak tahi kucing. Apalagi naik loktang lah kita ni....

TATKALA TU nampak pulak Kak M tengah menyiram pokok bunga. Dalam hati tetap ingat pesanan suami suruh sabar, sabar, sabar ....

TAPI.......dah tak boleh sabar lagi , tak sempat bagi salam dah, terus terjah!

Kak M.....Kak M bagi makan kucing-kucing ni ke?
Memang dah lama Kak M bagi makan kucing ni ( yang belang )
Kalau dok bagi makan, lagi banyak kucing datang makan .. lepas tu dok berak merata...kat laman saya pun kena
Kucing yang mana satu? Timah nampak ke?
Tu yang besar, kelabu tu! yang kuning tu pun ada jugak...
Tu bukan kucing Kak M kucing Kak M yang belang tu je...
( errr.....ye ke ? dah terkantoi.....)
Yang ramai-ramai tu kucing sapa?
Kucing orang lain, orang tu memang banyak bela kucing.....berpuluh-puluh ekor

( Ya Allah ampunkan kejahatanku - rupanya selama ni dok tembak salah target )

Lepas tu minta maaflah kita ni bertalu-talu hinggakan Kak M yang hampir merajuk tadi tak jadi nak merajuk!

OKAAAYYYY.......LEPAS NI ADA SATU MISSION LAGI YANG  BELUM SELESAI.......

kena pergi jumpa orang gaji tuan kucing tu beritahu ( dengan mulut yang manis - maklumlah baru lepas terkantoi ) tolong jangan lepas kucing-kucing tu keluar rumah , kalau TAK.......SAYA BAGI TAU MAJIKAN KAMU , YANG KAMU TAK BUAT KOJE!

Alhamdulillah selepas drama dua episod itu selesai, laman saya segar semula!












Wednesday, April 25, 2012

Tak Perihatin




Masa dulu-dulu ( tahun 50an, 60an, 70an ) ramai kanak-kanak takut tengok orang tua - terutama yang tinggal bersendirian. Macam-macam telahan yang dibuat, ada kata orang tua tu bela hantu, dan lebih teruk ada yang kata orang tua tu hantu, maklumlah keadaan mereka ada yang tak terurus, rambut putih menggerbang ( entah-entah sikat pun dah patah, minyak rambut pun takde )dan badan pulak bongkok. Mereka pun jarang nak menegur sapa kanak-kanak - mungkin ibu bapa kanak-kanak itu pun tak pernah ambil tahu hal mereka.

Banyak juga kita dengar cerita-cerita seram mengenai mereka oleh budak-budak kampung, konon kata setiap waktu maghrib mereka nampak lembaga putih dalam rumah melalui pintu rumah yang sedikit terbuka ( pada halnya orang tua tu pakai telekong sembahyang ) - tapi ada jugak ibubapa yang dengar cakap anak-anak mereka lalu menghebahkan pulak pada orang lain. Maka kian kesunyian orang-orang tua yang hidup bersendirian tu .

Kini baru kita sedar bahawa orang tua lelaki atau perempuan yang tinggal bersendirian adalah mereka yang terpinggir. Mungkin mereka takde sanak saudara, bila tua terpaksa hidup bersendirian , makan pakai mereka harap jiran kiri kanan yang membantu atau pun dapat bantuan Kebajikan Masyarakat. Kadang-kadang tu entah makan ke entah tidak.

Sedih jugak memikirkan nasib mereka, sudah tua dan tiada siapa peduli. Ada juga yang ada anak pinak tapi  anak pun hidup susah  - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, anak-anak pulak ramai, jadi mereka tak dapat menolong ibubapa. Kalau menolong pun hanya dengan kederat mereka saja, wang ringgit  tak dapat nak dihulurkan. Dalam keadaan kesusahan itu masing-masing terpaksa bawak diri sendiri.

Saya rasa sekarang dah takde lagi orang yang hidup terpinggir begitu, maklumlah negara dah maju dan kaya - sedikit sebanyak ada jugak tertumpah pada rakyat jelata.Yang  berpeluang mendapat kekayaan tu ( jangan main bedal untuk sendiri dan suku sakat je ), bagilah sikit pada mereka yang doif merasa  tempiasnya. Asyik bagi kain batik, kain pelikat dan telekong sembahyang je.....Beras , gula, teh, kopi, susu , tepung, minyak dan sabun basuh baju tu nak guna hari-hari maaa..... dan kena beli!














Monday, April 23, 2012

Jagalah Anak Dara Tu.....

Betapa gembira bila anak dara depa dapat gewe dan dah berura-ura nak kena risik . Lega hati mak ayah, maklumlah bela lembu sekandang lagi mudah dari bela anak dara seorang. Lembu dok dalam kandang  tak pi mana dah!

Pada hari yang ditetapkan pihak lelaki nak datang merisik tu, tiba-tiba ibu anak dara dapat panggilan pada pukul 10 pagi, mengatakan pihak lelaki akan datang merisik dan terus melangsungkan pertunangan. Maka menggelabahlah mama ( papa wat relaks jah! ) bila mendengar berita tu, yang mengatakan rombongan akan sampai ke rumahnya pada pukul 2.30 petang seramai  20 orang - dengan pesanan kalau nak masak jangan yang lemak-lemak sebab mak sedang uzur tak boleh makan yang berlemak!

Macam nak raklah buat persiapan dan jamuan kecil untuk menyambut kedatangan mereka.Kalut tapi gembira, sebab pihak lelaki kata mereka akan bawak 2 bentuk cincin, satu cincin merisik satu lagi cincin tunang. Terlampau kalut dan terlampau suntuk masa tak sempat nak jemput @ tak sempat nak beritau ibu bapa dan sanak saudara mereka .

Alkisah setelah selesai majlis yang ringkas , the mama ( al dada dok fuh, fuh  menghembus rokok je..) pun berceritalah pada jiran rapat dekat-dekat rumah, bakal ibu mertua anaknya akan masuk  hospital untuk rawatan lanjut . Lepas ni katanya anak daranya akan ke KL pergi menjaga bakal mertuanya di hospital.

Semua jiran pun terkejut - aik? belum kahwin dah kena jalankan tanggung jawab? Walhal anak pinak dia begitu ramai kenapa pulak anak dara orang diambil untuk menjaga ibu mereka?

Semua jiran mendoakan kebahagiaan sigadis, semoga  dapat jodoh yang baik dan berkekalan dan semoga mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat! Amin!


Friday, April 20, 2012

To Quote WHM 6840......






Kalau dari muda dulu dah mula kurangkan makan, alangkah baiknya. Takdelah nak buat balah dengan BMI ( body mass index ) aka terlebih lemak dalam badan dan takdelah sakit hati kat doktor asyik suruh turunkan berat badan sampai ke tahap yang ideal . Bukannya I nak pakai bikini! BMI ni pun too much jugak, takkanlah nak bagi kurus sampai macam kerepek. Kurus sesikit dah le , like less 2  or 3 kg pun dah ok ( I think ).


Tapi tidaklah terlambat lagi nak  membetulkan kerosakan fizikal , macam kata WHM 6840 - alignment lari selepas 30 tahun!

Pendek kata makanan utama perlu di modify sikit, ie dari makan nasi dengan macam-macam lauk sampai penuh pinggan, boleh jugak kita gantikan makan  capati dengan  kari ikan,  kari daging atau dal atau dalca. Boleh jugak sedikit sebanyak mengurangkan makanan yang berminyak dan berlemak tepu.








Capati ni I tempah dari kawan baik @jiran - Zarina -  pandai buat capati - order banyak-banyak boleh simpan dalam freezer. Bila nak makan baru keluarkan dan panaskan sekejap di atas kuali, dan dia akan jadi lembut balik.








Kari daging  - kurangkan lemak dengan menggantikan kuahnya dengan susu rendah lemak . Kalau nak tambah santan  boleh jugak - sikit je, bagi ada rasa lemak yang tepu that we can't/refuse to go without!

Selamat makan capatilah pulak!


Tuesday, April 17, 2012

Kecek Agah!




Oooo, you asal dari Rompin ye? eh, tu tempat udang galah!

Baru-baru ni balik kampung,  siap sedia dengan kotak foam yang besar......ramai yang nakkan udang galah.


Rupanya kena book dulu awal-awal, tak boleh main terjah aje! Masa mak ada dulu, maklah yang pesan kat orang tu, kat orang ni nakkan udang galah . Ada je sedare mare yang akan bawak datang nanti - dan harganya rock bottom maaa..


Sebenarnya  tak perasan pun Rompin tempat orang cari udang galah , semenjak bekeluarga sendiri tak pernah pergi beli udang galah sebab, suami tak berapa gemor dan anak-anak pulak bila makan udang galah, habis bengkak mulut, hidung merah, dan mata jadi berair . Jadi tak kisah sangat kat udang galah tu!

First time pegi beli kat tempat penjual udang galah.........


 I pun sakit hati, udang galah ape ni? ada besar jari kelingking! Masa kecik dulu kerap makan udang galah, tapi tak pernah tengok yang kenit macam ni  (dulu udang galah banyak dan takde harga ) , kalau yang kecik-kecik macam ni depa lepas semula ke dalam sungai.








 Menyiang udang galah kena berhati-hati, hujung kepala udang kena potong sikit dan keluarkan tahi udang di kepalanya. Tahi udang hitam dan berada dalam pundi-pundi . Kalau tak buang nanti ada yang termakan tahi udang!






My mum used to cook udang galah  masak kicap . Masa tahun 60 an - 80 an dulu udang galah masih murah, jadi  makan udang dulu baru makan nasi! As for me, tak makan isi udang tapi makan kepala udang galah yang besar yang penuh berotak tu!

( Otak udang dan kepok goreng bawak bekal kolesterol di hari tua! )















Saturday, April 14, 2012

Ketahui Hak Sendiri

M memeluk Islam sejak berumur 15 tahun dan menghabiskan masa selama 5 tahun mengaji pondok di Kota Bharu untuk mendalami Islam. Kini sudah 15 tahun tinggal  di Johor bekerja sebagai buruh dengan pendapatan rm 6 sejam. Oleh kerana beliau tiada kelulusan dia tak dapat diserapkan sebagai pekerja tetap di syarikat tempat ia bekerja. Mempunyai seorang isteri dan 4 orang anak dan tinggal di rumah sewa sebanyak rm 300 sebulan.

Pada minggu lepas, dia singgah ke rumah setelah menghantar isteri dan anak bongsunya balik ke Perak kerana ibu mertua dapat stroke dan mati sebelah badan. Katanya tiada anak lain yang dapat menjaga ibu itu sebab masing-masing tinggal jauh dan ada yang tinggal berdekatan tapi beranak kecil.

Selama 15 tahun dia singgah ke rumah kami pada bulan puasa  untuk mengharapkan  sedikit sebanyak haknya sebagai asnaf. Kali ini setelah berbual panjang dengannya mengenai diri dan ahli keluarganya - tergerak hati untuk bertanya bagaimana ia menampung pendapatannya. Inilah kali pertama saya bertanya dengan detail tentang jerih peritnya hidup bekeluarga dan membesarkan anak-anak dengan pendapatan yang begitu kecil.

Akhir sekali ( selepas 15 tahun ) baru teringat suruh dia pergi mendaftar di Pejabat Kebajikan Masyarakat . Dia macam tak percaya ada bantuan sebegitu, tapi saya suruh dia cuba memohon sebab dia bergaji kecil dan tanggungan ramai, Dan juga saya cadangkan dia pergi mendaftar di  pusat zakat  atau Baitul Mal -   mungkin dia akan diberi pertimbangan untuk menerima wang zakat sebab ia termasuk dalam golongan berpendapatan rendah .

Saya berdoa semoga dia mendapat bantuan tetap dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga dapat agihan wang zakat sebab tanggungannya semakin berat bila anak-anak makin membesar!






Thursday, April 12, 2012

Jangan Kufur Nikmat!








Apabila bekalan air terputus selama lebih dua hari, beberapa orang jiran kehabisan air tangki , terpaksa minta penghantaran air ke kawasan kami. Rumah-rumah yang dah jadi empty nest masih boleh bertahan sebab air tangki masih ada. Semua orang menggelabah sebab tak tahu bila bekalan air disambung semula.

Terputus bekalan air kali ini tidak bernotis, jadi ramai yang tak bersedia. Saya perasan setiap kali ada hujan ribut yang kuat, bekalan air akan terputus. Pada halnya kalau hujan turun dengan begitu lebat, mengapa pulak kekeringan air?

Kali ini  berbagai kabar angin didengar, ada kata kolam air telah kering. Maka kami semua naik hairan bin ajaib, sebab sekarang bukan musim kemarau, macam mana kolam boleh kering. Mula sakit hati kita sema nih, dok buat ape sampai kolam kering tak sedar?

Datang pula kabar angin  lain, pekerja-pekerja paip air tak dapat kesan dimanakah berlaku kerosakan, pendek kata jenuh mereka mencari punca, tak dapat-dapat .Jangan buat tak jumpa cari kerap-kerap sangat nanti orang ingat masa takde kerosakan dok saje dok buak keje!

Walau bagaimana pun , bekalan terputus kali ini sangat menakutkan saya - mana tahu satu hari nanti bekalan air benar-benar putus dalam jangka masa yang panjang? Kalau lori air datang pun berapa banyak sangat air yang boleh disimpan?







Bagus jugak simpan air sikit-sikit macam ni, boleh buat basuh tangan atau basuh benda-benda kecik seperti sudu, senduk, gelas atau piring kecil .



 Kali ini saya sungguh insaf dan mula belajar berjimat dengan air , kalau habis air tangki, bantuan air  tak datang lagi atau tak datang-datang - berat benar tu!

 - Ketika ambil wudu' tadah air yang mengalir itu dengan baldi - boleh diguna  untuk siram pokok atau basuh bilik mandi.
- Ketika membasuh pinggan , tadah air dalam besen untuk membilas pinggan -  taklah air paip tu mengalir terus menerus.

Walaupun cara di atas tu nampak kecil aje, tapi bolehlah sedikit sebanyak menjimatkan air! Saya harap dapat teruskan cara ini sampai bila-bila , bukan masa darurat aje!

( Basuh kereta pegi hantar kat kedai - biarlah habis air kat kedai tu! hahahaha! )

Memang tabiat manusia tak pernah nak menghargai kesenangan yang ada - bila nikmat dah tiada barulah pakat-pakat putih mata .



Saturday, April 7, 2012

Nona Ros





Masa kecik -kecik dulu paling tak suka bila tengok kueh ni..... 







Nama kampungnya ialah beronok, nama glamour pulak Nona Ros.


Setiap bulan puasa arwah mak suka buat juadah dari sagu - pengat sagu, kueh beronok , katanya menyejukkan tekak sebab ia lembut dan menyegarkan .

My sister went overboard - phobia kat kueh Nona Ros. Pernah masa balik kampung dulu- dulu ( 20- 30 tahun dulu ) dia selalu komplen .......Mak Su Nah suka jual kueh beronok kat kantin dia ( kantin ofis tempat my sister kerja ) , aku tak suka betul tengok kueh tu, kenapalah dorang  suka sangat makan kueh beronok !

...eh engkau ni, biarlah orang nak makan yang kau susah tu bakpe...

Tulah, hari-hari jual kueh beronok, laku pulak tu....

I rest my case!

Beberapa tahun lalu dia buat kueh beronok untuk dihantar pada Mak Cik Gayah (  Tok Guru Quran tempat dia bertalaqqi ). Dia kata Mak Cik Gayah suka Nona Ros.

Suatu hari bila kami berbual di telefon, seperti biasa sembang macam-macam cerita yang benar dan yang merapu, ambik pakej TM Net boleh bergayut lama-lama......

Paling terperanjat bila adik tiba-tiba buat pengakuan,

Long , ingat tak dulu aku benci sangat tengok kuih beronok ? Tak taulah , le ni  aku suka pulak....Patutlah mak dulu suka makan rupanya memang betul dia lembut dan menyejukkan tekak.....

Jadi, sekarang ni engkau selalu buat kueh Nona Ros tu ?

Ada jugak , bila dah buat tu, bagi jugak  kat jiran...

Ahha.......( ke dah tua macam mak dulu? )

Thursday, April 5, 2012

Jatuh Terhempap















Apabila seseorang dengan ikhlas hati memberi sesuatu pada jirannya  tetapi jirannya memaklumkan juadah yang dia hantar tu dah basi. Terkejut habislah dia dengan tak percayanya sekali, lalu  menelefon kawannya yang seorang lagi yang jugak diberi juadah tadi.

I nak tanya you sikit, betul ke kueh yang I hantar petang semalam tu dah basi

uk...akk......( tergamam )......!

You tau tak, Kak S kata kueh  tu dah basi? pada halnya my husband makan kueh tu sampai malam, takde pun basi?.  Mungkin kak S tak tau , santan jadi pekat sebab I kukus kueh  sekali dengan santan. Lama I kukus...takkan basi pulak! ( in denial lah nampak gayanya akak tu )

I dapat kueh tu pukul 5 petang,  masa maid you hantar tengahari I takde, pergi kenduri kawin. Kak S dapat lagi lewat  sebab dia pun tak balik lagi masa tu.....

Macam mana boleh basi sedangkan my husband makan berkali-kali, sampai malam makan lagi....

( dah naik seriau sebab kawannya dah emo habis ) I ingat tak basi kut.....(  dok fikir macam mana tak nak bagi kawan dia jatuh terhempap )

Tapi dia kata basi, sebab tu I tak puas hati!

Bukan basi terus, tapi santan tu perat sikit ( kurang segar ) , mungkin deria rasa Kak S sensitif , cepat terbau santan tu, maklumlah orang tua....Bukan sebab you salah masak ke apa, mungkin masa you beli santan tu  dah  dimesin  awal - awal lagi...............

Mungkinlah.....

Barulah suara dia agak kendur....

Fuh, keluar jugak peluh sejuk kawan tadi tu!




Monday, April 2, 2012

Bawak Bersabar Akak Oiii......










Kalau orang ditimpa musibah tak kira besar kecil, kita akan menasihati mereka supaya sabar. Orang yang ditimpa musibah tu pun kadang-kadang ada yang naik angin jugak, you tak kena you bolehlah kata, sabar, sabar ......kalau you yang kena barulah tahu!

Kebelakangan ini memang kesabaran saya pun dah begitu nipis macam kulit bawang - bila ada kucing datang buat kawasan rumah  saya jadi jamban dia! Sememangnya dulu kucing-kucing bertuah tu takde pun singgah kat laman ni, kalau ada lalu lalang je.  Adalah jugak sekali dua ditinggalkan buah tangan, tapi pandai dia melepas di tempat yang tersorok -  kalau terjumpa pun najis tu dah kering.

Dulu kalau jiran mengamuk kucing berak kat laman dia, saya pun kata, eleh....kucing berak pun buat kepoh, buang je lah! Kucing tu bukannya reti bahasa nak marah-marah kat dia!

Okaay.......di tahun yang ke 15 saya di sini , sejak sebulan lalu sangaaaat kerap kucing atau kucing-kucing yang berkeliaran datang beri hadiah kat saya , dan tempat yang dia pilih tu pulak - the prime lawn! Mula-mula adalah sabar jugak, tapi bila dah melarat-larat macam ni  -  c#ni%ma @c#&^%9!!!!!

Suatu hari bila Din datang mesin rumput , saya tanya macam mana nak buat dengan kucing-kucing yang mengotorkan laman.
Biasa kak kucing berak merata-rata macam ni.....cuba kak bubuh air dalam botol dekat tempat tu, nanti lama-lama dia tak datang lagi!

Tapi kucing-kucing tu main psywar dengan saya, dia tak ke laman  depan tapi ke laman sisi pulak. Sekarang ni kat laman belakang tempat saya lepak-lepak tu pulak ditalanya!

Dan kucing ni pulak pandai membalas budi, dia tak mengotorkan laman orang yang bagi dia makan, jadi dia pilih laman orang lain pulak sebagai jamban dia!





Beginilah rupanya rumput yang dah dibuat jamban tu.......and there are many more patches like this around my house!


ps. Surat saman nak hantar kat mana ni? kat kucing tu ke kat orang yang bagi makan kucing- kucing yang berkeliaran tu?

Adat Berjual Beli

  Pengalaman manis saya dan keluarga duduk di Kota Baru selama lima tahun, lebih 30 tahun dulu tetap tersemat di hati... Paling best bila pe...