Thursday, March 31, 2011

Musang Berbulu Ayam

Seluruh kampung bersimpati kepada seorang isteri yang sentiasa didera suami, tapi siisteri tu takde langsung nak buat sesuatu untuk mempertahankan dirinya. Dah berapa kali abang-abang dia tunggu green light nak membelasah adik iparnya, tapi diberi red light memanjang, sampai abang-abang give up! si suami tu rupa-rupanya orang yang sangat lembut hati dan romantis, suka memelihara dan memanjakan kucing hinggakan mendukung kucing tu macam anak dia.Itulah sebabnya isteri menjadi sejuk hati walaupun lebam di muka masih belum hilang.

Wanita selalu tertipu dengan musang berbulu ayam, mana taknya nampak di luar bukan main jentelmen , rupa-rupanya marang kerapu, marang kepunden! Ada juga yang muka hansome, tapi ego bukan main tinggi, dengan isteri tak pernah bagi muka , bila cakap asyik menghina isteri, semua tak kena, dia aje yang pandai. Pernah satu ketika, seorang isteri yang bijak buat rancangan nak buat loktang tahap gila bila laki dia memperlekehkan dia. Dia ambil parang buat-buat nak tetak laki dia, sampai lari lintang pukang, baru dia tau laki dia tu penakut!

Jadi adakah seseorang tu nak terus bersabar kena dera atau buat sesuatu yang diluar jangkaan sehingga dia dapat melepaskan dirinya dari cengkaman atau jadi punching bag suami dia! apa-apa pun, jangan buat-buat gila lari tak berkain di keliling kampung pulak!

Tuesday, March 29, 2011

Maa Rabbuka.......

Masa sekolah rendah dulu banyak perkara-perkara semasa ( masa tu ) yang dibincangkan antara kami . Pada satu peringkat, sebok cerita fasal cerita wayang lakonan P. Ramli - dalam filem Si Bongkok. Ramailah pulak yang melakonkan watak siBongkok sesama sendiri. Kemudian bila keluar cerita Panca Delima lakonan Jins Shamsuddin , bukan main takjub kami semua dengan cerita-cerita sihir ala Hindustan tu!

Pada satu peringkat lagi bila dah belajar matapelajaran Agama Islam, masing-masing pun menghafal doa sembahyang dan puasa dalam bahasa Arab. Oleh kerana ramai antara kami yang ikut pergi ke kubur bila ada kematian, maka ramai pulak yang menghafal dialog di alam kubur apabila talqin dibacakan - MAA RABBUKAA - masing-masing punyalah menghafal tak terkira lagi........kami ingat mudah benar nak selamat di alam kubur, hanya jawab soalan maa Rabbuka..

Sejak dari kecil dah familiar dengan bacaan talqin , bila masuk tahun 80an ada yang tidak membacakan talqin ke atas mayat, lagi ramailah yang keliru.... timbullah bidaah membidaah sehingga berpecah dua orang kampung !

Pendek kata bila ada isu, depa pun berpecah dua , yang ketiga dok atas pagar tu buat derk aje! Lantak koranglah nak berbunuh ke , depa tak peduli!

Sunday, March 27, 2011

Kalau Nikmat Ditarik Balik ......

Akhir-akhir ni berlaku banyak kemusnahan akibat letusan gunung berapi, tsunami dan terkini berlaku huru hara dalam usaha menjatuhkan kerajaan di negara-negara Arab. Palestin yang sekian lama tertindas, masih terbelenggu. Pakistan , Afghanistan kacau bilau , Bangladesh kerap dapat malapetaka alam, banjir besar yang membunuh . Kebanyakan negara di Benua Afrika mundur, mismanaged , ditimpa kemarau panjang dan kebuluran , sejak berpuluh tahun dulu tak berubah hingga sekarang. Betapa rakyat menderita kesusahan yang berpanjangan.

Kalau Allah tarik balik nikmat yang diberi, walaupun sedikit sudah tentu kita akan terasa deritanya, misalnya kalau mata dikaburkan, pernafasan tersekat-sekat, termengah-mengah atau tercungap-cungap tak cukup oksijen , nauzubillah! hidup menjadi sudah tidak sempurna! Menderita tak terkira!

Atau pun kita tengah dok bermegah-megah atau tengah buat menyombong kat orang.....tiba-tiba.......

Atau tengah-tengah best tak solat tiba-tiba.........

Wednesday, March 23, 2011

Dapat Pengetahuan Dari Orang Muda

Ada orang kata , apa yang tak diajar oleh ibubapa di rumah kita akan belajarnya di luar rumah. Sebab tu lah kadang-kadang mak ayah dah ajar molek doh kat anak-anak, tapi ada juga anak-anak yang berubah perangai bila berada di luar rumah. Ada juga anak-anak yang tak dididik dengan betul di rumah, tapi mereka dapat pendidikan yang baik di sekolah atau melalui kawan-kawan.

Semasa saya mula-mula mengajar di KB pada tahun 80an dulu, banyak perkara saya belajar dengan pelajar-pelajar saya, antaranya bagaimana nak bercakap cara Kelate dengan betul, seperti sebutan Pak Ali - sebut Pok Ali - lama jugak nak menjadi tuh! Paling best kecek Kelate sebab ada lenggok sendiri dan ada farsy hurufnya pulak! ( tak boleh main tiru-tiru, kena proper coaching!)

Salah seorang pelajar , Razini , telah mengajar saya masak kuzi ala Hotel Perdana ( mak dia jadi chef kat HP masa tu dan kemudiannya menjadi chef pada salah seorang ahli keluarga Sultan Brunei ). Resepinya telah saya kembangkan pada kawan-kawan lain di seluruh Malaya. Banyak pahala Razini dapat sebab dia tak kedekut ilmu!

Paling saya tak lupa ialah, apabila seorang pelajar lelaki India Muslim ( di KL )yang telah kematian ibu, bila saya tanya siapa yang menjaga dia dan adik beradiknya, dia kata dia dan abang lelakinya tinggal dengan bapak dan kakak dengan adik perempuannya tinggal dengan mak sedara. Bila saya tanya kenapa, dia kata, tentulah sumbang membiarkan anak gadis tinggal bersama bapa bila mak mati! Saya termalu jugak bila dengar penjelasannya sebab rupa-rupanya mereka lebih perihatin tentang keselamatan anak-anak perempuan (dalam keadaan tertentu ).

Rupa-rupanya banyak benda yang kita belajar di dunia ni, tak kira dengan guru , professional, atau lain-lain hatta dengan budak-budak kanyak sekali pun!

Monday, March 21, 2011

Jangan Pandang Remeh.........

Jangan pandang remeh jika ada ahli keluarga , sanak saudara atau rakan-rakan kita berubah perangai, suka menyendiri, tak suka jumpa orang atau tiba-tiba bersikap rendah diri. Kalau sifat-sifat itu bukan sifat asal mereka, kita kenalah beri perhatian lebih pada mereka, mana tahu mungkin itu menunjukkan tanda-tanda kemurungan.

Perkara ini telah berlaku pada seseorang yang saya kenal baik sejak tahun 1970. Kami memang rapat, dan K memang seorang yang baik, peramah dan penyanyang. Selepas tahun 1980an bila saya dah berpindah randah, jarang sekali dapat bertemu dengannya, tapi tetap bertanya kabar dan berkirim salam. Pada tahun 2006 saya bertemu dengannya di satu majlis kenduri kawin, semasa bersalam, dia senyum tapi pandangannya jauh melimpasi saya. Terkilan jugak di hati....ahh K dah lupakan kita rupanya!

Baru-baru ni seorang ahli keluarga memberitahu K sedang mengalami kemurungan yang teruk , dan dia hidup dalam dunianya sendiri . Pernah pada suatu hari dia hendak pergi ke pasar di kampungnya , she ended up in Pekan Rabu Alor Setar! Dan saya teringat dulu dia seolah-olah tak mengenali saya, mungkin 5 tahun yang lepas tu dia sudah pun mengalami kemurungan, tapi tiada siapa pun yang sedar!

Saya tak tahu apakah ubat sebenar bagi orang murung, cuma kalau kita perasan antara kita ada yang berubah sikap ke arah kemurungan, kita hendaklah menolongnya dengan memberi moral support, nasihat dan kaunseling setakat yang kita boleh - dengan sepenuh-penuh hati....... ( selain dari mendorongnya berjumpa dengan pakar )

Friday, March 18, 2011

Anak Omak

Ramai orang kata , habislah kalau kahwin dengan lelaki anak mak, he is devoted to his mother not to his wife. Jadi ramai juga gadis-gadis yang gerun pada lelaki macam tu jadi suami die!

Saya ada seorang kenalan yang bersuamikan seorang yang sangat patuh pada ibunya, dia begitu frust sebab suami dia terlalu mengikut kata maknya. Apa yang bini kata semuanya diover rule dek mak mentua, nak pegi holiday jauh-jauh mak mentua kata bakpe buang duit pergi luar negara, apa salahnya kalau pergi Langkawi ke Gunung Jerai ke, lagi cantik pada London dan Paris! 'Ala kulli hal habis buang kes kalau mak mentua dah masuk campur.

Kenalan saya memberitahu dia tak payah susah-susah jaga laki dia, sebab mak mentuanya sentiasa mengawasi tindak tanduk anak kesayangannya tuh. Bila anak saudara mum in law dia kahwin lain, dia pun mengamuk pada anak lelakinya..... hang jangan dok menggatai dok pi menikoh lain, kalau mak tau hang kawin lain ka pergi mengorat pompan lain ka, jaga hang! dan macam-macam lagilah ayat-ayat maut yang dileterkan sampai naik bengong anak dia. Laa...bila pulak aku kawin lain ni, si Ripin tu yang menikah.....mak..mak....( dalam hati je tu! mana berani nak menjawab cakap mak )

Si Ripin tu anak mak jugak, tapi dia ni gangster sikit. Dia kawin nombor dua senyap-senyap, dah setahun dan dah dapat anak, baru dia bawak mak dia pergi rumah bini nombor dua dan tunjuk anak barunya tu pada maknya. Bisulah orang tua tu, takkanlah nak buat loktang pulak, cucu kecik tengah tidur dalam buaian!

Kes Ripin ni lain sikit, kalau dia buat mengelat giliran dia dengan Senah, mak dia sendiri akan telefon, bila hang nak balik ni? hang jangan buat-buat kira hari tak betul, seminggu sana dua hari sini, berdosa tau?......... Mak nii , bini chek tak bising pun ...... Hang jangan cakap banyak, hari ni hang balik mai jugak!!! mentang-mentang bini hang tak kata apa, hang buat ikut suka no?

So, not too badlah bila dapat anak omak........kan?

Wednesday, March 16, 2011

Kiamat Kecil Kiamat Besar

Tsunami yang berlaku di Acheh begitu dekat dengan kita, malah ramai orang Malaysia terkorban akibat mendapat tempias ombak besar itu. Kini tsunami di Jepun pula mengejutkan kita , dan kita dapat melihat pada fasa pertama gambar-gambar diambil dari udara . Kemudiannya gambar-gambar yang menunjukkan perincian dengan jelas bagaimana ombak kuat merempuh daratan dan memusnahkan apa sahaja yang berada di hadapannya. Ramai yang tak sempat melarikan diri dan ada yang terpaksa meninggalkan orang-orang tua mereka di tingkat atas rumah dengan harapan mereka akan terselamat.

Ini mengingatkan saya ketika gempa bumi melanda Padang Oktober 2009 dulu, ada satu keluarga yang memelihara ibu tua yang terlantar dan ahli keluarganya memutuskan untuk meninggalkan ibu di rumah dan mereka semua melarikan diri mencari tempat perlindungan. Apabila gempa habis, mereka balik ke rumah , didapati rumah mereka tidak terlibat dengan gempa dan ibu mereka masih hidup. Semua anak cucu jadi malu memandang muka ibu mereka ( told by someone from Padang ).

Tak tahu apa yang kita akan lakukan kalau kita berdepan dengan masalah begitu. Biarkan ibu yang dah tua mati dan selamatkan yang muda-muda yang masih ada harapa hidup lama, atau pun mati beramai-ramai anak beranak ? tak tahu nak cakap! Kita tak berada dalam situasi tersebut, malahan ada yang fikir semua musibah ini tak akan kena pada mereka - ia hanya kena pada orang lain!

Bagaimana kalau berlaku alHaqqah ----14. bumi serta gunung ganang diangkat ( dari tempatnya) lalu dihancurkan kedua-duanya sekali hancur....15. maka pada saat itu berlakulah hari kiamat...16.maka terbelahlah langit, maka pada saat itu ia menjadi reput dan runtuh....

Bukan pulak nak kecek Isle I'm merely quoting from surah alHaqqah.

Sunday, March 13, 2011

Jangan Buat Sombong........







.......walau pun dengan tiang telefon. Saya memang sakit hati kat tiang telefon depan rumah yang dah ketinggalan zaman iaitu tiang besi yang dah pun berkarat. Agaknya dipacak sejak zaman Jepun dulu tak berganti-ganti walaupun hampir 11 tahun masuk alaf baru!

Saya bukan nak buat balah, orang kata jangan cari balah walau pun dengan tiang telefon atau tiang lampu sebab kalau tiang telefon tu kena panah dek petir ( dah berapa kali panah dah, cuma tak keluar api aje!) ....tak dapatlah nak bergayut berejam-jam dengan keluarga di kampung!





Dahlah outdated siap berselirat dengan wayar menghala ke sana sini dan ada hiasan pokok tumpang pulak atas tu! Macam the hanging garden of Babylon!

Tuan TM Net , lawa jugak skyscaping tuan tu, bolehlah nak match dengan kita orang punya landscaping kat bawah tuh!

Friday, March 11, 2011

Hari Yang Murung





Jangan suka duduk bersendirian di tempat yang gelap , nanti bertambah risau tak menentu dan akhirnya membawa kemurungan. Kalau sedih, jangan dilayan sangat perasaan sedih atau kalau tertekan , jangan diikutkan hati. Seboleh-bolehnya lawan perasaan - dengan bersungguh-sungguh! Cahaya yang kelam-kelam macam di atas tu boleh bawa ketenangan dan boleh bawa kemurungan , semuanya atas pilihan kita.

Rupa-rupanya kalau kita banyak berinteraksi hidup kita akan lebih ceria berbanding dengan orang yang lebih suka menyendiri. Pernah suatu masa saya menelefon seorang ahli keluarga bertanya kabar, dia kata badan kurang sihat sikit. Saya pun kata nak singgah kejap tengok dia. Bila sampai di rumah kakak sepupu tu , ceria bukan main dia , kata dia dengar adik beradik nak mai, demam pun hilang. Saya terkejut dan tak sangka rupa-rupanya kakak sepupu gembira saya datang menjenguknya ( atau ada orang menziarah dia ).

Dalam hidup kita sangat memerlukan sahabat, kadang kala sahabat boleh jadi lebih erat macam keluarga sendiri. Dalam hidup ini kita perlukan tempat untuk mencurah perasaan, masalah dan tempat meminta nasihat dan kita boleh terima nasihat dia. Kita amanah dengan dia, dia amanah dengan kita. Kalau kita dapat sahabat yang sebegini, saya rasa itulah anugerah Tuhan yang paling berharga. JAGALAH PERSAHABATAN ITU SAMPAI KE AKHIR HAYAT ! tak jaga persahabatan kalu......... BIG MISTAKE maa!

Pernah seseorang memberitahu saya, sudah sekian lama dia berkawan dengan seseorang tu, bila dia menceritakan keluh kesah hatinya terus terang kawan tu kata ......saya tak nak dengar masalah awak... pening kepala saya. Sedih bukan main dia dan dengan berlinang air mata dia kata.......saya bukan nak suruh awak selesai masalah, tapi nak mintak awak dengar aje rintihan hati saya, lagi pulak saya tak ada tempat lain nak mengadu hal.



Monday, March 7, 2011

Masih Menyimpan Dendam........

Di akhir tahun 60an dan tahun 70an dulu timbul isu baru dalam kehidupan orang Malaysia iaitu masuk meminang adik tapi kawin dengan kakak. Masa itu ekonomi Malaysia mula berkembang pesat dan ramai orang muda berada di perantauan , jadi ramai jugalah yang berkahwin dengan orang yang bukan dari negeri asal mereka.

Saya dengar banyak kisah pemuda yang kecewa kerana telah tertipu, iaitu meminang adik tapi bila kawin diberi kakak. Orang Melayu dulu begitu tidak membenarkan adik perempuan berkahwin dulu dari kakaknya. Mereka takut nanti kakaknya tak dapat peluang untuk berkahwin. Jadi, dengan nekadnya pihak keluarga perempuan menukarkan adik dengan kakaknya semasa akad nikah. Bila dah last minute , pihak lelaki terperangkap dan kerana tak mahu memalukan keluarga terpaksa mengalah.

Ada juga ibubapa yang menganiaya anak-anak perempuannya, dengan mebuat syarat kalau nakkan adik, tunggu hingga kakak kawin dulu.

Ada seseorang yang meminang adik dapat kakak ni tetap marah dan menaruh dendam pada mak mertuanya, walau pun mak mertuanya telah meninggal dunia. Tapi tak dapat dinafikan ada juga yang hidup bahagia bersama isteri yang bukan pilihan itu. Semua tu terletak atas diri seseorang, mungkin bila dah kahwin dengan kakak didapati kakak lebih cantik atau lebih baik atau lebih sesuai dengannya. Pendek kata pilihan di tangan mereka - sama ada nak membina istana atau nak meruntuhkannya.

Sekarang ni semua mendapat peluang pendidikan dan peluang pekerjaan pula terbuka luas, jadi ibubapa dah tak risau lagi anak perempuan tak bertemu jodoh. Masyarakat pun boleh menerima bahawa siapa sampai jodoh dia kawin dulu!

Friday, March 4, 2011

Encik Suami Yang Mithali

Seorang jiran bertandang ke rumah kawannya dan mendapati kawannya tu telah membina tandas tambahan di luar rumah. Katanya kalau ada tetamu datang bolehlah guna tandas luar , taklah kacau tandas dalam rumah. Yang sipolan tu pulak berkenan benar dengan konsep tandas di luar rumah kawannya . Bila dia balik ke rumah dia pun berkobar-kobar menceritakan pada jiran sebelahnya tentang tandas luar rumah - which she thought it was such a brilliant idea. Alasannya kalau sedare mare datang dari kampung, suruh aje guna tandas luar tuh!

Jiran dia pun seram sejuklah bila mendengar idea tu, maklumlah tempat yang dia nak buat tandas tu betul-betul berhadapan dengan pintu dapurnya. Habislah sekali ni, bukak pintu terus nampak jamban orang! Puas jugak dia memikirkan cara nak menyelesaikan masalah tu. Mujurlah pada suatu hari jirannya menyampaikan berita bahawa suaminya tak bagi buat jamban kat luar rumah, kata suaminya......orang-orang kampung yang datang tu bukan sembarang orang, semuanya sedare mare kite jugak, biarlah dia guna tandas yang ada !

Hai, begitulah suami mithali, kalau cik puan dia nak buat perkara yang tak manis, tak elok, tak berperi kemaknusiaan , ditegahnya!

Ada pulak hamba Allah yang seorang ni, bila suami jirannya ( selama 40 tahun ) meninggal, dia tak nak pergi mengunjung, katanya dia sedang berpantang tak boleh tengok mayat. Sedara maranya yang meninggal dia tak pergi tengok! Terkilan jugak jirannya, dalam masa dia kesedihan, kawan yang paling rapat tak nampak muka !

Kalau suami dia tu ada sedikit mithali , boleh aje nasihatkan madame tu..... Cik Kiah oii, pantang ape bendanye awak ni, saya nampak awak sihat aje, makan lalu, pergi kedai boleh, bukak pantang tu kejap, pergi sua muka kat kawan awak tu, lepas tu pantanglah balik!

Mana boleh macam tu, main langgar-langgar pantang

Aih, kalau saya yang mati, takkan mayat saya terkujur dalam rumah, awak pegi tunggu kat luar rumah?!

Wednesday, March 2, 2011

Belajar Tasauf Jadi Gila?

Masa tahun 80an dulu kami ada berguru belajar kitab solat - Muniatu Musolli - Tok Imam yang mengajar kami tu ada juga menyelit-nyelitkan tentang tasauf dalam syarahnya. Sebagai anak murid yang separuh empuk macam kami, bila tok guru sebut fasal tasauf, kami pun teruja bukan main, lalu ........

Tok Imam , boleh tak kami belajar tasauf?

Tok Imam tersengih aje, kata dia belajarlah feqah dulu baru belajar tasauf.

Dengan blurnya kami tanya .....kenapa Tok Imam?

......sebab kalau pi belajaq tasauf tak ada asas feqah boleh jadi gila ( not the gila crazy Tanjung Rambutan one! ). Serupa jugak kalau belajaq feqah tak belajar tasauf, jadi loklaq ( buat amalan jadi kasar dan ringkas ikut yang asas aje! )

Semasa salah seorang dari kami pi ke Pekan Rabu beli dua jenis kitab yang dicadangkan oleh tok guru ( belajar selang minggu tiap-tiap satu kitab, sebab kitab nipis dan tak bagi anak murid boring ) , penjual kitab tu pesan padanya, akak, kalau nak baca kitab ni kena ada guru. Wakil kami pun memberi tahu yang kami dah ada tok guru yang nak mengajar - Arwah Tok Imam Haji Said salah seorang imam masjid Zahir Alor Setar ( walau pun dah pencen masa tu tapi masih dilanjutkan khidmatnya ). Bila dia dengar nama tok Imam Haji Said, dia pun lega.

Sekarang barulah saya faham, bahawa pemuda yang menjual kitab itu ialah seorang yang sangat amanah dengan penjualan kitab-kitab. Dia takut kami belajar sesama sendiri, maklumlah belajar tanpa guru, assyaitonlah jadi mudirnya! Lagi pulak kitab tu ditulis dengan tulisan jawi lama.

Ada beberapa cerita kelakar fasal kitab jawi klasik ni...... contohnya, ejaan jawi fa alif nun ha , atau dalam bahasa Arab dia jadi fainnahu ramai juga yang ingat ianya fanah atau panah,
- ba wa mim - sebutannya bumi ada yang membunyikannya - bom. Atau pandai-pandai buat tafsiran sendiri ayat ..... bagi orang yang taqwa, takpayahlah baginya sembahyang- maka mak andeh pun dengan bestnya tak sembahayang sebab ikut kitab kata tak payah sembahyang tu!

Tapi alhamdulillah sekarang sudah ada banyak kitab-kitab klasik yang ditulis dengan tulisan rumi dan dialih kepada bahasa standard. Tidak sukar nak mendapat ilmu, sebab ilmu telah berkembang dengan meluasnya - antara hendak dengan tak hendak atau pun antara rajin dengan malas sahaja !

Fikir Sejenak...

  Bagaimana kalau tiba-tiba terjadi ....Iza zulzilatil ardhu zilzalaha...ketika kita berada di tingkat 44? Pernah tak kita terfikir? Dulu sa...