Showing posts with label Spiritual Journey. Show all posts
Showing posts with label Spiritual Journey. Show all posts

Thursday, January 23, 2020

Haramain Revisited...2


Pemandangan yang begitu klasik dalam Masjid Quba'  macam sebuah lukisan...yang menyebabkan saya buat posting ni ( gambar ehsan dari Mutawwif kami Ustaz Ridzwan  bin Sudin )


 Ini kawasan solat lelaki  , kawasan solat wanita terletak di bahagian belakang..



Ini adalah pemandangan Jabal Ainain, dimana Rasul SAW menempatkan pasukan pemanahnya semasa perang Uhud..
Dan pasukan pemanah ini menjadi kucar kacir apabila Khalid alWalid mengumpan harta benda di bawah Bukit..mereka meninggalkan posisi mereka sebagai pemanah di atas bukit itu menyangkakan perang sudah tamat dan tentera Quraish sudah berundur....membawa pada kekalahan tentera Uhud

Apa yang berlaku seterusnya telah terpahat di lipatan sejarah...


Lepas ziarah medan perang Kami menuju ke Dataran Uhud. Banyak terdapat barang-barang jualan di situ. We can get good kurma ajwa with good price.


Jangan lupa dengan rempah ratus, inai, segala jenis kekacang , minyak zaitun, safron dan berbagai barangan lain termasuk sejadah, kopiah, kain serban dan seumpamanya boleh buat buah tangan untuk ahli keluarga di kampung.....

.....dengan sebanyak-banyak doa semoga Allah menjemput lagi kami menjadi tetamuNya di Haramain....aamin Ya Rabb..


Thursday, October 17, 2019

Haramain Revisited....1


Apabila berbincang dengan rakan sebaya ( 6 series midway to 7 series), melakukan ibadat Umrah bukanlah calang-calang ibadat yang hendak dilakukan.


Dataran luar Masjid Nabawi di Madinah


Tenaga berkurangan,sakit kaki, sakit lutut menjadi penghalang untuk bergerak aktif, pergi balik ke masjid (Nabawi dan AlHaram ) is an effort.


Melakukan tawaf masih boleh boleh bertahan, sebab kita boleh bergerak ikut pace sendiri, lagi pulak dengan memakai setokin , kita boleh slide atas lantai marble , tanpa membebankan lutut atau urat peha.

The rooftop of Al Haram

Ibadat Saie pula memerlukan tenaga yang lebih untuk berulang alik sebanyak 7 kali, sepanjang 2.9 km. This ibadah is not for the wobbly legs and week knees ...Alhamdulillah kini telah ada satu lagi ruangan Tawaf dan Saie ditingkat dua di Majidil Haram ...ia memberi peluang kepada jemaah2 yang sudah berumur atau yang kurang upaya..untuk menjalani ibadat Tawaf dan Saie dengan menggunakan scooter yang boleh dipandu sendiri. 
Sewa sebuah scooter sebanyak 50 riyal perhead.


Di sinilah tempat untuk membayar dam kambing atau kita boleh berinfaq dengan menyembelih kambing secara bersendirian atau berkongsi untuk memberi makan fakir miskin di Mekah


To many of us, to perform Hajj and Umrah we must clad in white or at least your telekong must be in white. I have this blue grey telekong which I often wear in the mosque. It was hadiah from my jemaah sometimes ago. Many  address me as ibu'.
Demo ingat ambo oghe sebeghe...







Sunday, May 25, 2014

Apa Ada Di Atas Langit






The Milky Way can be seen as a very large streak or arc across the night sky if the visibility conditions are good enough. This panoramic photo was taken at Death Valley. Wiki Search

Percaya tak, ada orang yang tak tengok langit,
 tak tengok awan,
 tak tengok bulan waktu malam
atau tak pernah tengok bintang berkelip-kelipan di langit.....
tak sedar pada pertukaran hari siang dan malam
cahaya matahari bertukar-tukar
dah pagi matahari mula cerah, dah tengahari matahari tegak atas kepala , dah petang matahari condong dan kemerah - merahan, dah malam.....matahari tenggelam dan hilang...

Mungkin mereka kata , sebab apa nak tengok? bukan tak biasa tengok, apa yang pelik? semua tu dah memang ada sejak kita celik mata........

Cubalah tengok.........

Kadang-kadang langit cerah, kadang-kadang gelap, hitam..
Tengoklah awan yang berarak , ada macam-macam bentuk, sekejap gitu sekejap gini,
Ada masa langsung takde awan, langit biru je
Ada masa langit putih.....
Ada malam penuh bintang, ada malam bintang hilang entah ke mana..ada malam yang suram
Ada masa bulan sabit , ada masa bulan penuh
 Pernah tengok bulan kesiangan? atau matahari petang begitu besar dan merah?


Kalau kita rajin menengok alam semula jadi, kadang-kadang kita tak sedar banyak persoalan yang terbenam jauh di sudut hati akan terjawab........Mungkin kita lebih mengenali AlKhaliq dengan lebih dekat...






Tuesday, April 22, 2014

Satu Pertiga Malam







google search




Selama ni tak berapa faham  tentang 1/3 malam , bila dan cara mana nak mengiranya . Main agak je kira-kira pukul 3 pagi hingga masuk waktu Subuh.

Tok Guru kata 1/3 malam bermula selepas waktu Isya dan selepas seseorang itu menunaikan solat Isya' dan ia tidur. Jadi pengiraannya ialah 1/3 malam bermula dari situ. Sekiranya ia tidur pada pukul 10, dia ada 8 jam untuk sampai waktu Subuh ( waktu Subuh  masuk kira-kira pukul 5.50-6.00 pagi )  -anggarannya lebih kurang :

Pukul 10.00 - 2.00  -   separuh malam , 2.00 - 6.00 - separuh akhir malam

Atau anggarannya;
Pukul 10.00 -12.50   - 1/3 malam
Pukul  12.50 - 3.50   -  2/3malam
Pukul  3.50 - 5.50     -  3/3 malam

Jadi lain orang lain 1/2 malam atau 1/3 malam mereka .
Wallahua'lam.

Kalau ada sesiapa yang ingin menambah ,memberi penerangan yang lebih jelas/ lebih baik/ betulkan statement di atas , dipersilakan....dan didahului dengan ucapan terima kasih!





Saturday, April 12, 2014

Kisah Tudung Pintu





                Pemandangan dalam  Masjidil Haram di Makkah AlMukarramah



Ingatlah peristiwa Siti Sarah berlari-lari anak berulang-alik antara Bukit Safa hingga ke Bukit Marwah mencari air untuk anakandanya Ismail yang masih bayi yang sedang menangis kehausan.


Kisah Nabi Ibrahim a.s. menziarah anakanda beliau iaitu Nabi Ismail a.s., kebetulan pada masa itu Nabi Ismail tiada di rumah. Apabila baginda bertanya khabar pada menantu baginda ( yang tidak mengenalinya ) tiada lain yang diceritakan melain keluh kesahnya , menceritakan  hidup dalam kesukaran dan suami kerap bepergian ( keluar berdakwah ). Ketika hendak pulang ke Palestine, baginda tinggalkan pesan untuk anakandanya supaya menukar tudung pintu rumahnya. Setelah pesanan itu dikhabarkan pada suaminya - isteri itu pun diceraikanya.

Setelah berziarah  kali ke dua , baginda meninggalkan pesan pada menantunya suruh khabarkan pada suaminya iaitu tudung pintu rumahnya tidak perlu ditukar. Rupanya menantu ini tidak sibuk mengadu kesusahan hidup tetapi lebih mementingkan lelaki tua yang datang dari jauh berziarah ke rumahnya. Sudah tentu menantu ( walau pun tak kenal bapa mertuanya ) lebih dulu memuliakan tetamu, bertanya kabar dari mana, mengambil berat tentang jerih payah datang dari jauh untuk berziarah. Walaupun pada kali ini hampa untuk bertemu anakandanya, tapi baginda puas hati , menantu barunya mempunyai ciri-ciri yang perlu ada pada bakal ibu pewaris anbia'.

Dengan ini ia akan dapat mengasuh anak-anaknya dengan cara yang selayaknya - sebagaimana Siti Sarah yang cekal dan berani ketika ditinggalkan bersendirian memelihara anak kecil di tengah-tengah padang pasir yang kemudiannya dinamakan Makkah........

Wallahua'lam






 

Tuesday, May 12, 2009

Haramain Revisited Part 2


Pemandangan yang paling menyntuh hatiku dalam Masjidil Haram (gambar diambil ketika hampir solat Jumaat)
Di hari yang kelima kami di bawa sekali lagi menziarah ke luar Kota Madinah iaitu ke Masjid Quba. Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina di Madinah atas dasar taqwa iaitu dibina pada awal penghijrahan Rasul saw. Di Madinah Islam berkembang dengan pesat walau pun mendapat penentangan bukan saja dari Kafir Makkah ,malahan baginda terpaksa berdepan dengan musuh dalam selimut, iaitu golongan munafik dan suku kaum Yahudi. Rasulullah s.a.w mendirikan negara Islam di Madinah , walau pun sentiasa diancam dan kerap berperang dengan kuffar Quraisy dari Makkah dan sekutu-sekutunya.

Selain masjid Quba ,kami di bawa menziarah masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan Maqam Penghulu Shuhada. Sungguh tergamam kami apabila mutawif menyatakan pada kami bahawa Jabal Uhud akan berada di dalam syurga sebagai saksi bagi para syuhada yang gugur dalam peperangan Uhud. Tersendu aku seketika apabila berada di perkarangan maqam Penghulu Syuhada dan terbayang di mata ketika berakhirya Perang Uhud Rasul s.a.w lantas mencari-cari bapa saudara kesayanganya Saidina Hamzah. Bayangkan, kekasih Allah menitiskan air mata kepiluan apabila menjumpai mayat Saidina Hamzah yang hampir tidak dikenalinya, telah wafat ditikam dari belakang dan dadanya dikoyak oleh Hindun kerana membalas dendam di atas kematian Abu Jahal ( dalam Perang Badar ). Kami juga dibawa ke medan Peperangan Khandak kawasan di mana parit telah digali di luar Madinah sebagai satu strategi untuk mengalahkan tentera kafir Mekah yang jauh lebih ramai dari tentera Islam Madinah.

Selepas itu kami dibawa pula ke ladang kurma , di sana kami disambut dengan minuman shai dan dibenarkan menjamah pelbagai jenis kurma yang ada dijual di situ. Selepas itu kami memilih dan membeli kurma yang berbagai jenis dengan dilayani oleh pembantu-pembantu dari Indonesia yang begitu sopan . Aku dan Syarifah berkongsi beli satu kotak ( seberat lapan kilo )kurma ajwa untuk dibawa pulang. Akhir sekali kami dibawa ke Pasar Kurma di Kota Madinah. Di pasar Kurma Madinah suasana agak sibuk dan kami terpaksa mengalah dengan jemaah negara lain yang lebih besar kumpulannya.

Pada hari yang keenam rombongan kami meninggalkan Madinah untuk meneruskan perjalanan ke Makkah. Tiba di Bir Ali (tempat miqat untuk haji dan umrah )kami menunaikan sermbahyang sunat ihram, dan memasang niat untuk melakukan ibadat umrah apabila sampai ke Makkah nanti.

Setelah tiba di Makkah kami berihat sebentar dan menjamu juadah yang disediakan di dewan makan di tempat penginapan . Setelah itu kami pun bersiap sedia ke Masjid al Haram bagi menyempurnakan tawaf umrah serta saie dengan diketuai oleh mutawif yang mengiringi kami dari Madinah lagi. Bagi mereka yang sudah biasa melakukan ibadat haji atau umrah bolehlah mengerjakan tawaf dan saie sendiri-sendiri. Bagi yang memerlukan bimbingan, boleh meminta khidmat mutawif.

Pemandangan di Jabal Nur














Haramain Revisited Part 3


Keesokan harinya iaitu hari ke 7 ,tepat pukul 7 pagi kami dibawa melawat kawasan sekitar kota Makkah. Tempat-tempat yang diziarahi yang termasuk dalam program lawatan ialah Jabal Thur, Jabal Nur, Arafah, Muzdalifah, Mina dan Masjid Ja'ranah. Jabal Thur adalah tempat Rasulullah beruzlah atau bersendirian sebelum baginda dilantik menjadi Rasul. Di sana baginda mendapat wahyu pertama yang dibawa oleh Malaikat Jibrail , inilah permulaan Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul untuk menyebarkan Islam di Makkah. Mulai detik inilah baginda mendapat penentangan yang hebat dari penduduk Makkah.


Pemandangan di Jabal Rahmah

Peristiwa pahit telah dilalui Rasulullah s.a.w. satu demi satu akibat penolakan dan penentangan kaum Quraisy Mekah. Penentangan ini sampai ke kemuncaknya apabila mereka membuat perancangan jahat untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Menziarahi Jabal Nur menyedarkan kami betapa getirnya baginda menghadapi ujian dari kaumnya yang telah menganiayai dan menindas penduduk-penduduk Makkah yang telah memeluk Islam. Akhirnya baginda diwahyukan supaya berhijrah ke Madinah. Melihat ketinggian Jabal Nur itu kami berasa insaf sesungguhnya Rasulullah s.a.w. , iaitu Rasul Akhir Zaman terpaksa merentasi Jabal Nur bersama Saidina Abu Bakar supaya tidak dapat dikesani oleh orang-orang yang sedang memburu mereka. Sebagaimana rasul-rasul yang terdahulu, baginda begitu sabar menerima ujian yang hebat. Bagi diriku belum pun panjat Jabal Nur itu ,lutut dah naik lemah. Yang kuatnya ialah bersantai-santai sambil membeli celak mata , inai dan tasbih yang banyak dijual di kaki bukit ( padahal baru saja menderu air mata turun di Maqam Penghulu Syuhada! )


Kami juga dibawa menziarah ke Padang Arafah untuk melihat tempat para hujjaj berkumpul untuk wukuf pada musim haji. Mudzalifah tempat bermalam dan mengutip batu untuk melontar ditiga tempat iaitu Jamratul Aqabah ,Wusta dan Ula sebagai memenuhi antara rukun-rukun haji. Sudah tentu kesemua tempat ini tinggal kosong dan sunyi pada hari-hari biasa padahal di musim haji ianya padat dengan ratusan ribu malah hingga mencapai lebih jutaan jemaah yang mengerjakan haji pada setiap tahun.

Selepas itu kami dibawa ke masjid Ja'ranah dan di sana kami bersembahyang sunat ihram serta memasang niat umrah. Sekembalinya kami ke Tanah Haram Makkah terus kami ke Masjid Al Haram untuk tawaf dan Saie umrah yang diakhiri dengan bertahalul untuk membebaskan kami dari ihram dan segala larangannya. Tawaf dan saie tidak semestinya dilakukan dengan segera, ia boleh ditangguh pada sebelah malamnya kalau mahu.

Di hari yang ke 8 dan ke 9 merupakan acara bebas bagi kami. Bagi sesiapa yang hendak mengulangi ibadat umrah bolehlah keluar dari Tanah Haram Makkah pergi semula ke Ja'ranah atau Tanaim untuk bermiqat ( berniat umrah dan berihram )dan kembali semula ke Mekah menyempurnakan tawaf dan saie umrah seta bertahalul setelah selesai melaksanakan kedua-duanya. Banyak lagi tempat miqat yang boleh kita pergi tetapi Ja'ranah dan Tanaim paling dekat dan merupakan tempat miqat bagi orang-orang Makkah yang hendak mengerjakan haji atau umrah. Aku dan Syarifah seperti jemaah yang lain-lain pergi ke Tanaim dengan menaiki teksi ( perkhidmatan bas juga ada ).

Pemandangan di tempat Rasulullah berhenti di Taif yang telah dijadikan masjid sebagai peringatan

Pada hari ke 10, kami dibawa menziarah Taif setelah mendapat kebenaran dari pihak berkuasa Taif. Orang luar atau orang bukan Arab tidak dibenarkan melawat Taif tanpa kebenaran. Tidak hairanlah bila hampir sampai ke bandar Taif, kami dikehendaki berhenti di check point. Di Taif kami dibawa makan tengahari. Selepas itu barulah kami dibawa menziarah ke-tempat-tempat yang bersejarah seperti kawasan kebun anggur di mana Rasulullah singgah apabila baginda Salallahu 'alaihi wasallam pergi berdakwah ke Taif. Malangnya kedatangan baginda tidak diterima oleh penduduk di situ. Sebuah masjid telah dibina untuk memperingati kedatangan Rasullullah s.a.w yang telah disambut dengan cara yang paling tidak sopan. Mutawif telah menunjukkan kami kebun anggur tempat Rasul s.a.w beristirihat setelah baginda kepenatan dan kecewa dengan sikap dan penolakan penduduk Taif.


Program lawatan di sekitar Kota Makkah diteruskan pada hari yang ke 11 apabila kami dibawa ke Muzium Haramain, Ladang Unta dan Masjid Hudaibiyah. Di Muzium Haramain kami dapat menghayati semua aspek mengenai pembinaan Kaabah dan pelbagai perkara yang berkaitan dengan assesori Kaabah seperti kelambu Kaabah, pintu lama Kaabah ,tiang lama masjid Al Haram ( dari kayu ) ,al Quran naskah lama yang bertulis tangan dan lain-lain. Di ladang unta kami melihat unta yang gemuk-gemuk ,sihat dan meminum susu unta. Ramai yang tak berani mencuba, tetapi akhirnya akur bahawa susu unta adalah lazat dan tidak mempunyai bau yang hamis. Ramai yang beli dan ingin membawa pulang ke tanah air untuk diberi pada anak cucu sebagai penawar pelbagai penyakit.

Tempat terakhir kami ziarahi ialah Masjid Hudaibiyah. Mutawif telah menyingkap kembali sirah Rasulullah s.a.w. dan Hudaibiyah adalah tempat baginda dan sahabat-sahabat bermiqat untuk menunaikan umrah di Makkah. Ketika itu Baginda sangat rindu pada Kaabah, ahli keluarga, sahabat-sahabat dan tanah kelahirannya , Makkah.Baginda membawa sekitar 12 ribu sahabat-sahabat yang baru memeluk Islam untuk meneguhkan iman mereka dengan membawa kambing ternakan untuk di sembelih dan dihadiahkan pada orang Makkah. Malangnya kedatangan baginda disalah tafsir dan fitnah disebar mengatakan baginda dan rombongan datang hendak menyerang Mekah, oleh itu mereka tidak dibenarkan menghampiri kota Mekah kecuali dengan membuat perjanjian.

Baginda Rasulullah dan rombongan tidak dapat menunaikan umrah kerana tidak dapat masuk Kota Makkah, lalu baginda dan sahabat-sahabat bertahlul dan menyembelih binatang ternakan yang dibawa sebagai dam dan berpatah balik ke Madinah dengan penuh kehampaan. Peristiwa ini ada hikmahnya iaitu ia membawa kepada Perjanjian Hudaibiyah .Penduduk Makkah terpaksa akur dengan kehebatan angkatan Islam yang diketuai Rasulullah s.a.w masuk ke Makkah untuk menunaikan haji ditahun berikutnya. Akhirnya penduduk Makkah menerima Islam dengan secara sukarela dan Mekah jatuh ke tangan Islam tanpa pertumpahan darah.

Di Masjid Hudaibiyah kami bersembahyang sunat ihram ,memasang niat untuk mengerjakan umrah. Hudaibiyah adalah juga tempat miqat haji dan umrah . Kami mengambil kesempatan mengerjakan umrah yang terakhir ini kerana pada keesokan harinya iaitu hari ke 12 adalah hari terakhir kami di Makkah. Rasakan baru semalam kami tiba di Makkah, belum puas lagi bersembahyang di Masjid al Haram, dan belum puas bertawaf mengelilingi Kaabah , baru saja dapat kekusyukan beribadat dan mentarbiah diri istiqamah berjemaah pada setiap waktu sembahyang ‚sudah pula hendak meninggalkannya.

Begitu berat hati pada hari terakhir kami di Makkah ,melakukan tawaf wada' dan mengucapkan selamat tinggal kepada Kaabah dan Kota Makkah. Kami berdoa dengan penuh harapan agar dijemput lagi menziarahi Haramain iaitu dua tanah suci Makkah dan Madinah ini. Doa juga dipanjat buat anak cucu serta seluruh keturunan kami agar dapat melakukan ibadat haji dan umrah serta ziarah seberapa kali yang boleh. Aku mengambil masa yang paling lama di Hijir Ismail ,berdoa sebanyak mungkin ,mohon keampunan untuk diri sendiri, suami dan lain-lain yang aku kasihi dari ahli keluargaku hingga kaum muslimin dan muslimat amnya. Syarifah pula sempat mencium Hajar Aswad buat kali terakhir sebelum kami keluar dari Kota Makkah.


Pada pukul 3 petang hari ke 12 itu rombongan kami bertolak ke Jeddah. Masing-masing kami banyak yang mendiamkan diri di dalam perjalanan, kerana walaupun badan berada di atas bas tetapi hati masih tersangkut di Makkah. Kami bermalam di Jeddah pada malam itu dan keesokannya iaitu yang ke 13 kami bertolak dari Lapangan Terbang KAAIA, Jeddah pada pukul 11.25 malam . Pesawat yang kami naiki mendarat di KLIA pada pukul 1 petang keesokan harinya iaitu pada hari yang ke 14. Begitulah berakhirnya pakej umrah dan ziarah 14 hari 12 malam yang kami lalui.







Sesungguhnya seseorang akan mengalami keajaiban yang berbeza setiap kali menziarah Kota Makkah dan Kota Madinah. Setiap kali ada saja amalan yang dirasakan belum cukup sempurna dilakukan, maka dalam hati akan berkobar-kobar untuk kembali lagi mengunjungi Kaabah! Membetulkan amalan, menambah apa yang kurang dan panjangkan lagi doa ke hadrat Ilahi. MasyaAllah !

Monday, May 11, 2009

HARAMAIN REVISITED

Mengunjungi Tanah Suci Makkah al Mukarramah dan Madinah Munawarah telah mengubat rindu dan nostalgia terhadap Dua Tanah Haram atau Haramain yang telah sekian lama tidak dikunjungi. Perasaan gentar timbul di hati sejurus sebelum berangkat, takut tak dapat melakukan ibadat umrah dengan sempurna, takut juga jika amalan tak diterima dan pelbagai lagi andaian-andaian lain yang tak berasas. Tapi segala hasutan dan bisikan itu segera ditepis apabila tersedar bahawa kita telah dijemput menjadi tetamu Allah dan setiap tetamu akan dilayan mengikut niat masing-masing.

Syarifah mempelawaku untuk mengunjungi Haramain menunaikan ibadat umrah, hanya kami berdua sahaja. Setelah mendapat restu dari suami masing-masing , pada hari yang ditetapkan kami berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 3 petang ( waktu Malaysia ) dan tiba di Jeddah pada pukul 6.45 petang ( waktu Arab Saudi ) . Belum pun hilang penat duduk dalam kapal terbang selama lapan jam , kami terus dibawa berangkat dengan bas menuju Kota Suci Madinah .Perjalanan ke Kota Madinah memakan masa lebih 5 jam , berhenti rehat sebentar untuk makan tengah malam di suatu kawasan rihat di tepi jalan. Kami tiba di Madinah pada pukul 1 pagi . Di Madinah kami diberi menginap di Hotel Movenpick yang terletak berhadapan dengan Masjid Nabawi. Letih badan tidak terkata, kaki terasa bengkak kerana tergantung lebih 12 jam.

Syarifah mengejutku dari tidur pada pukul 4 pagi ,kami segera bersiap dan terus ke Masjid Nabawi. Kami sempat bersembahyang tahajjud sehingga hampir masuk waktu subuh. Selepas bersarapan pagi di hotel ,mutawif menyarankan kami pergi menziarah ke Raudhah . Setibanya kami di sana kami dapati Raudhah sudah sesak dengan jemaah-jemaah lain, paling ketara ialah jemaah dari Turki dan Iran. Syarifah begitu cekap menarik tanganku mencelah-celah jemaah lain yang begitu ramai masuk ke kawasan Raudhah.

Pandangan di luar Masjid Nabawi berlatarbelakangkan hotel-hotel penginapan jemaah di Madinah


Setelah mendapat tempat, masing-masing kami terus bersembahyang sunat serta menziarah maqam Rasulullah, maqam Saidina Abu Bakar dan maqam Saidina Umar. Kami mengambil peluang bersembahyang sunat sebanyak yang termampu serta berdoa ke hadrat Ilahi dengan berungguh-sungguh dengan harapan segala dosa terampun dan segala hajat ditunaikan. Almaklum Raudhah adalah merupakan salah satu taman dari taman-taman syurga. Tidak lupa juga di antara kami selepas itu pergi menziarah tanah perkuburan Al Baqi’, menghadiahkan Fatihah serta berdoa buat para syuhada dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang bersemadi di permaqaman itu. Ia mengingatkan kami bahawa kami juga akan menghakhiri perjalanan kami di dunia ini apabila tiba masanya nanti.

Oleh kerana pakej yang kami ambil ini merupakan pakej umrah dan ziarah , jadi pada hari yang ketiga kami dibawa melawat kawasan luar Madinah. Kami dibawa berangkat ke perkampungan Al Ula di luar Kota Madinah seawal pukul 7 pagi . Setibanya kami di sana pada pukul 12 tengahari kami di bawa terus ke tempat penginapan di Hotel Madain Saleh. Setelah makan tengahari dan menunaikan sembahyang qasar dan jamak di bilik hotel kami dibawa berangkat ke kawasan peninggalan kaum Tsamud iaitu umat Nabi Salleh di Madain Salih. Mutawif menyarankan apabila tiba di kawasan itu supaya kami membaca surah Fatihah, ayat Kursi dan 3 Qul sebagai pendinding diri, maklumlah pergi ke tempat yang telah dilaknat Allah ke atas kaum Tsamud sebagaimana yang tercatat pada beberapa surah dalam al Quran .Penduduk Madain Salih telah ditimpa azab yang berupa satu pekikan yang menyebabkan mereka mati bergelimpangan dengan serta merta. Azab ini diturunkan akibat dari kederhakaan dan kesombongan kaum Tsamud yang kufur, engkar serta menentang Nabi Salih yang telah diutus Allah kepada kaumnya itu.

Pemandangan bukit-bukit di sekitar Al-Ula dalam perjalanan ke Madain Saleh


Setelah petang kami pulang ke hotel dengan perasaan gerun terhadap azab Allah yang menimpa ke atas penduduk yang pada satu masa dulu sangat gagah,kaya dan bertamaddun tapi telah dimusnahkan dengan sekelip mata. Hanya yang tinggal ialah bukit-bukit yang menjadi tempat tinggal mereka masih berdiri gagah walau pun sudah berusia lebih 2000 tahun. Maha Kuasa Allah menunjukkan kebesaranNya bagi manusia supaya mengambil iktibar darinya. Rombongan kami bermalam di Al Ula dan pada petang itu kami sempat juga kami menziarah di sekitar bandar . Kami bertolak balik ke Madinah pada keesokan harinya pada pukul 8 pagi dan tiba di Madinah pada pukul 1.30 tengahari .

Naik Kereta Sewa...

  Ada kala dapat kereta sewa yang mini...kereta sempit tapi cukup sejuk, cukup udara... Sekarang ni takde kereta pun takpe atau ada kereta t...