Wednesday, January 10, 2024

Masa Berlalu Meninggalkan Kita

 Kita akan rasa terkesan kalau orang yang dikenali tiba- tiba meninggal dunia. Lalu kita akan mendoakan dia semoga mendapat keampunan Allah.

Seorang kawan memberitahu bahawa tukang rumah yang buat renovation rumah kami telah meninggal dunia dan telah dikebumikan pagi tadi. Kawan saya masih berhubungan dengan arwah kerana dia kerap buat penambah baikan di rumahnya dari semasa ke semasa sejak 20 tahun yang lalu.

Kedua kami mengingati arwah sebagai seorang yang amanah menjalankan kerja dan hasil kerjanya sangat baik. Semoga arwah ditempatkan bersama- sama orang yang soleh....aamiin...

Sebelum ini , jiran saya selama 25 telah meninggal dunia  dua minggu lepas. Arwah seorang yang pemurah dan pandai masak. Sebelum suami arwah meninggal dunia kira- kira dalam sepuluh tahun yang lalu arwah sentiasa memasak untuk suaminya dan kerap juga menghantar masakannya buat kami sekeluarga - semua makanannya sedap , hinggakan cucoq kodok dia tiada tandingannya.

Walau pun berjiran tapi tak selalu bersua muka. Kalau kebetulan kami berada di laman rumah kami pun sembang menyembang. Setelah arwah kurang sihat jarang sekali dia keluar rumah, kadang- kadang bertalifon dan kadang-kadang pula saya menziarah dia. Antara kami berbeza umur hampir sepuluh tahun.

Selama ini setiap malam nampak dapur rumah dia cerah, setelah kematiannya dapur rumahnya tidak menyala lagi. 

Anak yang menemaninya selami ini telah balik ke rumah sendiri...

Saya terasa  begitu sayu dan mengingatkan diri sendiri bahawa semua benda tidak kekal di dunia ini. 

Dulu balik kampung begitu meriah ada ibu ayah dan sanak saudara kecik besar. Setelah bertahun- tahun lamanya ibubapa meninggal dunia -  sanak saudara ramai yang dah tua, anak- anak buah pun dah berkeluarga sendiri. Keadaan pun sudah banyak berubah.

Sekali sekala balik kampung hanya tinggal kenangan lama yang tersemat di hati...


No comments:

Adat Berjual Beli

  Pengalaman manis saya dan keluarga duduk di Kota Baru selama lima tahun, lebih 30 tahun dulu tetap tersemat di hati... Paling best bila pe...