Monday, May 11, 2009

HARAMAIN REVISITED

Mengunjungi Tanah Suci Makkah al Mukarramah dan Madinah Munawarah telah mengubat rindu dan nostalgia terhadap Dua Tanah Haram atau Haramain yang telah sekian lama tidak dikunjungi. Perasaan gentar timbul di hati sejurus sebelum berangkat, takut tak dapat melakukan ibadat umrah dengan sempurna, takut juga jika amalan tak diterima dan pelbagai lagi andaian-andaian lain yang tak berasas. Tapi segala hasutan dan bisikan itu segera ditepis apabila tersedar bahawa kita telah dijemput menjadi tetamu Allah dan setiap tetamu akan dilayan mengikut niat masing-masing.

Syarifah mempelawaku untuk mengunjungi Haramain menunaikan ibadat umrah, hanya kami berdua sahaja. Setelah mendapat restu dari suami masing-masing , pada hari yang ditetapkan kami berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 3 petang ( waktu Malaysia ) dan tiba di Jeddah pada pukul 6.45 petang ( waktu Arab Saudi ) . Belum pun hilang penat duduk dalam kapal terbang selama lapan jam , kami terus dibawa berangkat dengan bas menuju Kota Suci Madinah .Perjalanan ke Kota Madinah memakan masa lebih 5 jam , berhenti rehat sebentar untuk makan tengah malam di suatu kawasan rihat di tepi jalan. Kami tiba di Madinah pada pukul 1 pagi . Di Madinah kami diberi menginap di Hotel Movenpick yang terletak berhadapan dengan Masjid Nabawi. Letih badan tidak terkata, kaki terasa bengkak kerana tergantung lebih 12 jam.

Syarifah mengejutku dari tidur pada pukul 4 pagi ,kami segera bersiap dan terus ke Masjid Nabawi. Kami sempat bersembahyang tahajjud sehingga hampir masuk waktu subuh. Selepas bersarapan pagi di hotel ,mutawif menyarankan kami pergi menziarah ke Raudhah . Setibanya kami di sana kami dapati Raudhah sudah sesak dengan jemaah-jemaah lain, paling ketara ialah jemaah dari Turki dan Iran. Syarifah begitu cekap menarik tanganku mencelah-celah jemaah lain yang begitu ramai masuk ke kawasan Raudhah.

Pandangan di luar Masjid Nabawi berlatarbelakangkan hotel-hotel penginapan jemaah di Madinah


Setelah mendapat tempat, masing-masing kami terus bersembahyang sunat serta menziarah maqam Rasulullah, maqam Saidina Abu Bakar dan maqam Saidina Umar. Kami mengambil peluang bersembahyang sunat sebanyak yang termampu serta berdoa ke hadrat Ilahi dengan berungguh-sungguh dengan harapan segala dosa terampun dan segala hajat ditunaikan. Almaklum Raudhah adalah merupakan salah satu taman dari taman-taman syurga. Tidak lupa juga di antara kami selepas itu pergi menziarah tanah perkuburan Al Baqi’, menghadiahkan Fatihah serta berdoa buat para syuhada dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang bersemadi di permaqaman itu. Ia mengingatkan kami bahawa kami juga akan menghakhiri perjalanan kami di dunia ini apabila tiba masanya nanti.

Oleh kerana pakej yang kami ambil ini merupakan pakej umrah dan ziarah , jadi pada hari yang ketiga kami dibawa melawat kawasan luar Madinah. Kami dibawa berangkat ke perkampungan Al Ula di luar Kota Madinah seawal pukul 7 pagi . Setibanya kami di sana pada pukul 12 tengahari kami di bawa terus ke tempat penginapan di Hotel Madain Saleh. Setelah makan tengahari dan menunaikan sembahyang qasar dan jamak di bilik hotel kami dibawa berangkat ke kawasan peninggalan kaum Tsamud iaitu umat Nabi Salleh di Madain Salih. Mutawif menyarankan apabila tiba di kawasan itu supaya kami membaca surah Fatihah, ayat Kursi dan 3 Qul sebagai pendinding diri, maklumlah pergi ke tempat yang telah dilaknat Allah ke atas kaum Tsamud sebagaimana yang tercatat pada beberapa surah dalam al Quran .Penduduk Madain Salih telah ditimpa azab yang berupa satu pekikan yang menyebabkan mereka mati bergelimpangan dengan serta merta. Azab ini diturunkan akibat dari kederhakaan dan kesombongan kaum Tsamud yang kufur, engkar serta menentang Nabi Salih yang telah diutus Allah kepada kaumnya itu.

Pemandangan bukit-bukit di sekitar Al-Ula dalam perjalanan ke Madain Saleh


Setelah petang kami pulang ke hotel dengan perasaan gerun terhadap azab Allah yang menimpa ke atas penduduk yang pada satu masa dulu sangat gagah,kaya dan bertamaddun tapi telah dimusnahkan dengan sekelip mata. Hanya yang tinggal ialah bukit-bukit yang menjadi tempat tinggal mereka masih berdiri gagah walau pun sudah berusia lebih 2000 tahun. Maha Kuasa Allah menunjukkan kebesaranNya bagi manusia supaya mengambil iktibar darinya. Rombongan kami bermalam di Al Ula dan pada petang itu kami sempat juga kami menziarah di sekitar bandar . Kami bertolak balik ke Madinah pada keesokan harinya pada pukul 8 pagi dan tiba di Madinah pada pukul 1.30 tengahari .

No comments:

Adat Berjual Beli

  Pengalaman manis saya dan keluarga duduk di Kota Baru selama lima tahun, lebih 30 tahun dulu tetap tersemat di hati... Paling best bila pe...