Tuesday, May 12, 2009

Haramain Revisited Part 2


Pemandangan yang paling menyntuh hatiku dalam Masjidil Haram (gambar diambil ketika hampir solat Jumaat)
Di hari yang kelima kami di bawa sekali lagi menziarah ke luar Kota Madinah iaitu ke Masjid Quba. Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina di Madinah atas dasar taqwa iaitu dibina pada awal penghijrahan Rasul saw. Di Madinah Islam berkembang dengan pesat walau pun mendapat penentangan bukan saja dari Kafir Makkah ,malahan baginda terpaksa berdepan dengan musuh dalam selimut, iaitu golongan munafik dan suku kaum Yahudi. Rasulullah s.a.w mendirikan negara Islam di Madinah , walau pun sentiasa diancam dan kerap berperang dengan kuffar Quraisy dari Makkah dan sekutu-sekutunya.

Selain masjid Quba ,kami di bawa menziarah masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan Maqam Penghulu Shuhada. Sungguh tergamam kami apabila mutawif menyatakan pada kami bahawa Jabal Uhud akan berada di dalam syurga sebagai saksi bagi para syuhada yang gugur dalam peperangan Uhud. Tersendu aku seketika apabila berada di perkarangan maqam Penghulu Syuhada dan terbayang di mata ketika berakhirya Perang Uhud Rasul s.a.w lantas mencari-cari bapa saudara kesayanganya Saidina Hamzah. Bayangkan, kekasih Allah menitiskan air mata kepiluan apabila menjumpai mayat Saidina Hamzah yang hampir tidak dikenalinya, telah wafat ditikam dari belakang dan dadanya dikoyak oleh Hindun kerana membalas dendam di atas kematian Abu Jahal ( dalam Perang Badar ). Kami juga dibawa ke medan Peperangan Khandak kawasan di mana parit telah digali di luar Madinah sebagai satu strategi untuk mengalahkan tentera kafir Mekah yang jauh lebih ramai dari tentera Islam Madinah.

Selepas itu kami dibawa pula ke ladang kurma , di sana kami disambut dengan minuman shai dan dibenarkan menjamah pelbagai jenis kurma yang ada dijual di situ. Selepas itu kami memilih dan membeli kurma yang berbagai jenis dengan dilayani oleh pembantu-pembantu dari Indonesia yang begitu sopan . Aku dan Syarifah berkongsi beli satu kotak ( seberat lapan kilo )kurma ajwa untuk dibawa pulang. Akhir sekali kami dibawa ke Pasar Kurma di Kota Madinah. Di pasar Kurma Madinah suasana agak sibuk dan kami terpaksa mengalah dengan jemaah negara lain yang lebih besar kumpulannya.

Pada hari yang keenam rombongan kami meninggalkan Madinah untuk meneruskan perjalanan ke Makkah. Tiba di Bir Ali (tempat miqat untuk haji dan umrah )kami menunaikan sermbahyang sunat ihram, dan memasang niat untuk melakukan ibadat umrah apabila sampai ke Makkah nanti.

Setelah tiba di Makkah kami berihat sebentar dan menjamu juadah yang disediakan di dewan makan di tempat penginapan . Setelah itu kami pun bersiap sedia ke Masjid al Haram bagi menyempurnakan tawaf umrah serta saie dengan diketuai oleh mutawif yang mengiringi kami dari Madinah lagi. Bagi mereka yang sudah biasa melakukan ibadat haji atau umrah bolehlah mengerjakan tawaf dan saie sendiri-sendiri. Bagi yang memerlukan bimbingan, boleh meminta khidmat mutawif.

Pemandangan di Jabal Nur














Haramain Revisited Part 3


Keesokan harinya iaitu hari ke 7 ,tepat pukul 7 pagi kami dibawa melawat kawasan sekitar kota Makkah. Tempat-tempat yang diziarahi yang termasuk dalam program lawatan ialah Jabal Thur, Jabal Nur, Arafah, Muzdalifah, Mina dan Masjid Ja'ranah. Jabal Thur adalah tempat Rasulullah beruzlah atau bersendirian sebelum baginda dilantik menjadi Rasul. Di sana baginda mendapat wahyu pertama yang dibawa oleh Malaikat Jibrail , inilah permulaan Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul untuk menyebarkan Islam di Makkah. Mulai detik inilah baginda mendapat penentangan yang hebat dari penduduk Makkah.


Pemandangan di Jabal Rahmah

Peristiwa pahit telah dilalui Rasulullah s.a.w. satu demi satu akibat penolakan dan penentangan kaum Quraisy Mekah. Penentangan ini sampai ke kemuncaknya apabila mereka membuat perancangan jahat untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Menziarahi Jabal Nur menyedarkan kami betapa getirnya baginda menghadapi ujian dari kaumnya yang telah menganiayai dan menindas penduduk-penduduk Makkah yang telah memeluk Islam. Akhirnya baginda diwahyukan supaya berhijrah ke Madinah. Melihat ketinggian Jabal Nur itu kami berasa insaf sesungguhnya Rasulullah s.a.w. , iaitu Rasul Akhir Zaman terpaksa merentasi Jabal Nur bersama Saidina Abu Bakar supaya tidak dapat dikesani oleh orang-orang yang sedang memburu mereka. Sebagaimana rasul-rasul yang terdahulu, baginda begitu sabar menerima ujian yang hebat. Bagi diriku belum pun panjat Jabal Nur itu ,lutut dah naik lemah. Yang kuatnya ialah bersantai-santai sambil membeli celak mata , inai dan tasbih yang banyak dijual di kaki bukit ( padahal baru saja menderu air mata turun di Maqam Penghulu Syuhada! )


Kami juga dibawa menziarah ke Padang Arafah untuk melihat tempat para hujjaj berkumpul untuk wukuf pada musim haji. Mudzalifah tempat bermalam dan mengutip batu untuk melontar ditiga tempat iaitu Jamratul Aqabah ,Wusta dan Ula sebagai memenuhi antara rukun-rukun haji. Sudah tentu kesemua tempat ini tinggal kosong dan sunyi pada hari-hari biasa padahal di musim haji ianya padat dengan ratusan ribu malah hingga mencapai lebih jutaan jemaah yang mengerjakan haji pada setiap tahun.

Selepas itu kami dibawa ke masjid Ja'ranah dan di sana kami bersembahyang sunat ihram serta memasang niat umrah. Sekembalinya kami ke Tanah Haram Makkah terus kami ke Masjid Al Haram untuk tawaf dan Saie umrah yang diakhiri dengan bertahalul untuk membebaskan kami dari ihram dan segala larangannya. Tawaf dan saie tidak semestinya dilakukan dengan segera, ia boleh ditangguh pada sebelah malamnya kalau mahu.

Di hari yang ke 8 dan ke 9 merupakan acara bebas bagi kami. Bagi sesiapa yang hendak mengulangi ibadat umrah bolehlah keluar dari Tanah Haram Makkah pergi semula ke Ja'ranah atau Tanaim untuk bermiqat ( berniat umrah dan berihram )dan kembali semula ke Mekah menyempurnakan tawaf dan saie umrah seta bertahalul setelah selesai melaksanakan kedua-duanya. Banyak lagi tempat miqat yang boleh kita pergi tetapi Ja'ranah dan Tanaim paling dekat dan merupakan tempat miqat bagi orang-orang Makkah yang hendak mengerjakan haji atau umrah. Aku dan Syarifah seperti jemaah yang lain-lain pergi ke Tanaim dengan menaiki teksi ( perkhidmatan bas juga ada ).

Pemandangan di tempat Rasulullah berhenti di Taif yang telah dijadikan masjid sebagai peringatan

Pada hari ke 10, kami dibawa menziarah Taif setelah mendapat kebenaran dari pihak berkuasa Taif. Orang luar atau orang bukan Arab tidak dibenarkan melawat Taif tanpa kebenaran. Tidak hairanlah bila hampir sampai ke bandar Taif, kami dikehendaki berhenti di check point. Di Taif kami dibawa makan tengahari. Selepas itu barulah kami dibawa menziarah ke-tempat-tempat yang bersejarah seperti kawasan kebun anggur di mana Rasulullah singgah apabila baginda Salallahu 'alaihi wasallam pergi berdakwah ke Taif. Malangnya kedatangan baginda tidak diterima oleh penduduk di situ. Sebuah masjid telah dibina untuk memperingati kedatangan Rasullullah s.a.w yang telah disambut dengan cara yang paling tidak sopan. Mutawif telah menunjukkan kami kebun anggur tempat Rasul s.a.w beristirihat setelah baginda kepenatan dan kecewa dengan sikap dan penolakan penduduk Taif.


Program lawatan di sekitar Kota Makkah diteruskan pada hari yang ke 11 apabila kami dibawa ke Muzium Haramain, Ladang Unta dan Masjid Hudaibiyah. Di Muzium Haramain kami dapat menghayati semua aspek mengenai pembinaan Kaabah dan pelbagai perkara yang berkaitan dengan assesori Kaabah seperti kelambu Kaabah, pintu lama Kaabah ,tiang lama masjid Al Haram ( dari kayu ) ,al Quran naskah lama yang bertulis tangan dan lain-lain. Di ladang unta kami melihat unta yang gemuk-gemuk ,sihat dan meminum susu unta. Ramai yang tak berani mencuba, tetapi akhirnya akur bahawa susu unta adalah lazat dan tidak mempunyai bau yang hamis. Ramai yang beli dan ingin membawa pulang ke tanah air untuk diberi pada anak cucu sebagai penawar pelbagai penyakit.

Tempat terakhir kami ziarahi ialah Masjid Hudaibiyah. Mutawif telah menyingkap kembali sirah Rasulullah s.a.w. dan Hudaibiyah adalah tempat baginda dan sahabat-sahabat bermiqat untuk menunaikan umrah di Makkah. Ketika itu Baginda sangat rindu pada Kaabah, ahli keluarga, sahabat-sahabat dan tanah kelahirannya , Makkah.Baginda membawa sekitar 12 ribu sahabat-sahabat yang baru memeluk Islam untuk meneguhkan iman mereka dengan membawa kambing ternakan untuk di sembelih dan dihadiahkan pada orang Makkah. Malangnya kedatangan baginda disalah tafsir dan fitnah disebar mengatakan baginda dan rombongan datang hendak menyerang Mekah, oleh itu mereka tidak dibenarkan menghampiri kota Mekah kecuali dengan membuat perjanjian.

Baginda Rasulullah dan rombongan tidak dapat menunaikan umrah kerana tidak dapat masuk Kota Makkah, lalu baginda dan sahabat-sahabat bertahlul dan menyembelih binatang ternakan yang dibawa sebagai dam dan berpatah balik ke Madinah dengan penuh kehampaan. Peristiwa ini ada hikmahnya iaitu ia membawa kepada Perjanjian Hudaibiyah .Penduduk Makkah terpaksa akur dengan kehebatan angkatan Islam yang diketuai Rasulullah s.a.w masuk ke Makkah untuk menunaikan haji ditahun berikutnya. Akhirnya penduduk Makkah menerima Islam dengan secara sukarela dan Mekah jatuh ke tangan Islam tanpa pertumpahan darah.

Di Masjid Hudaibiyah kami bersembahyang sunat ihram ,memasang niat untuk mengerjakan umrah. Hudaibiyah adalah juga tempat miqat haji dan umrah . Kami mengambil kesempatan mengerjakan umrah yang terakhir ini kerana pada keesokan harinya iaitu hari ke 12 adalah hari terakhir kami di Makkah. Rasakan baru semalam kami tiba di Makkah, belum puas lagi bersembahyang di Masjid al Haram, dan belum puas bertawaf mengelilingi Kaabah , baru saja dapat kekusyukan beribadat dan mentarbiah diri istiqamah berjemaah pada setiap waktu sembahyang ‚sudah pula hendak meninggalkannya.

Begitu berat hati pada hari terakhir kami di Makkah ,melakukan tawaf wada' dan mengucapkan selamat tinggal kepada Kaabah dan Kota Makkah. Kami berdoa dengan penuh harapan agar dijemput lagi menziarahi Haramain iaitu dua tanah suci Makkah dan Madinah ini. Doa juga dipanjat buat anak cucu serta seluruh keturunan kami agar dapat melakukan ibadat haji dan umrah serta ziarah seberapa kali yang boleh. Aku mengambil masa yang paling lama di Hijir Ismail ,berdoa sebanyak mungkin ,mohon keampunan untuk diri sendiri, suami dan lain-lain yang aku kasihi dari ahli keluargaku hingga kaum muslimin dan muslimat amnya. Syarifah pula sempat mencium Hajar Aswad buat kali terakhir sebelum kami keluar dari Kota Makkah.


Pada pukul 3 petang hari ke 12 itu rombongan kami bertolak ke Jeddah. Masing-masing kami banyak yang mendiamkan diri di dalam perjalanan, kerana walaupun badan berada di atas bas tetapi hati masih tersangkut di Makkah. Kami bermalam di Jeddah pada malam itu dan keesokannya iaitu yang ke 13 kami bertolak dari Lapangan Terbang KAAIA, Jeddah pada pukul 11.25 malam . Pesawat yang kami naiki mendarat di KLIA pada pukul 1 petang keesokan harinya iaitu pada hari yang ke 14. Begitulah berakhirnya pakej umrah dan ziarah 14 hari 12 malam yang kami lalui.







Sesungguhnya seseorang akan mengalami keajaiban yang berbeza setiap kali menziarah Kota Makkah dan Kota Madinah. Setiap kali ada saja amalan yang dirasakan belum cukup sempurna dilakukan, maka dalam hati akan berkobar-kobar untuk kembali lagi mengunjungi Kaabah! Membetulkan amalan, menambah apa yang kurang dan panjangkan lagi doa ke hadrat Ilahi. MasyaAllah !

No comments:

Adat Berjual Beli

  Pengalaman manis saya dan keluarga duduk di Kota Baru selama lima tahun, lebih 30 tahun dulu tetap tersemat di hati... Paling best bila pe...