Sunday, December 27, 2020

Bunga Orkid Liar

 


Dapat hadiah dari Rohana sepasu kecik bunga orkid liar ni....

Lama kelamaan pindahkan dia pada batang kayu yang dibuat dari batu - dah lebih 15 tahun dok kat situ dah berkembang serta berbunga..Kita ni pun bukan kisah sangat kat dia..pandai- pandailah ekau bawak diri..

Oleh kerana dah hampir setahun in and out of MCOs, akhirnya rajin jugaklah menziarah pokok orkid ni..





Menyesal jugak tak pernah ambik tahu kehidupan orkid hutan ni...pada halnya punyalah comel dan manisnya dia...hidup sendirian di situ selama hari ni...

Rugi kalau tak tahu menikmati keindahan alam di sekeliling rumah kita sendiri...


Monday, November 23, 2020

Norma Baru

 Sejak dunia diserang Virus Covid19 banyak berlaku perubahan cara hidup manusia. Manakala ramai yang takut dijangkiti, ramai pulak yang tak percaya virus ini boleh menjangkiti sesiapa saja apabila seseorang terdedah kepada pembawa virus itu...

PKP  atau MCO banyak mendapat tentangan dari sebahagian orang ramai, ada yang kata ia menyekat hak asasi manusia...

Pergerakan orang ramai dihadkan - orang ramai kena duduk di rumah je....untuk memutuskan rantaian Covic19.

Macam mana tu?

Boleh save banyak duit sebab tak boleh nak pegi shopping..

Tapi duit takdak nak shopping sebab ramai yang kena berhenti kerja?

Kena buat sesuatu untuk menjana pendapatan...

Kena fikir, perah otak, buat rujukan, bincang tentang apa yang harus dibuat atau kerja apa yang sanggup dibuat.

Ada pegawai yang pergi kerja menebar roti canai kat kedai mamak. Ada big boss guna kereta mewah dia jadi pemandu grab. Ada orang dapat punca rezeki baru, jadi supplier daun kesom untuk dieksport...dan macam- macam lagi pekerjaan baru yang kita tak sangka...

As for me, masa masak mi rebus, rasa macam nak jual mi rebus. Bila masak laksa asam , wuih! rasa macam nak bukak  laksa corner....bila masak ayam percik rasa macam nak buat ayam percik frozen....dan macam-macam lagi...

Pada hakikatnya, hari ni makan cucoq udang je for lunch



......and for dinner, leftover from yesterday

makan roti canai segera  dengan dalca ...
Esok pulak baru masak nasi.....




Monday, October 19, 2020

Terkejut Badak Weh!

 

Pagi tadi  F datang hantar barang- barang dapur yang saya pesan, katanya dia beli bahan- bahan basah dulu sebab nak cepat. Petang ni dia baru nak pegi beli barang- barang kering...

Saya nak pegi test covic ni, 2 hari pegi Johor buat keja atas kapal..F beritahu sambil start moto dan terus pergi..

Saya tergamam tak terkata apa...hey...nanti dulu! Test Covic?

Lepas tu saya pun mesej dia...

- Takpelah tak payah beli yang lain-lain tu, lepas dua minggu you datang balik...

Dia tak jawab, mungkin masih atas motosikal lagi...

Kita tengah panic the manic, tengah menggelabah badak - saya wassap dia lagi...

- Ada orang kena covic  atas kapal tu?

No answer meh, so called him bertalu-talu...tak jawab jugak..

Saya pun terus cuci tangan dengan sabun, mandi air panas tahap gaban, sabun seluruh badan banyak- banyak. Semua pakaian rendam dengan sabun penuh satu baldi...

Ya Allah baru subuh tadi aku mohon padaMu supaya dijauhkan aku dan ahli keluargaku dan seluruh rakyat Malaysia dari serangan dan jangkitan Covic-19....

Dalam hati penuh harapan Allah dah kabulkan doaku yang bertalu-talu tu...

Selepas tu F called..

Makcik ...saya belum pegi lagi ke Johor , dua hari lagi baru nak pegi..

Ye ke..makcik dah naik gerun tadi ingat you baru dua hari balik dari Johor....

Mintak maaf buat makcik risau..saya belum lagi pegi

..kapal tu MISC makcik, SOP dia tinggi, saya nak pegi buat keje ni kena buat test covic dan sebagainya dulu, kena ada sijil kesihatan dulu. Saya kena renew lesen berenang saya, kalau tidak tak lulus kerja atas kapal..

Fuh..leganya.......................

Me husben kata, we have problem..dia kurang dengar dan saya pulak orang cakap lain saya saya dengar lain..

Bahaya jugak tu....





Thursday, October 8, 2020

Senduduk Lagi...

   

 
 



Pokok senduduk hampir pupus, balik kampung pun susah nak jumpa pokok ni...

Pokok senduduk yang saya bawak dari Rompin lama dulu masih segar hidup di depan dapur rumah. 

Pagi- pagi lagi sudah bising bunyi kicauan burung yang hinggap untuk menghisap madu  pada bunga senduduk...

Waktu petang pula ada dua ekor tupai akan datang makan buah senduduk...



Sekarang ni banyak ada anak pokok senduduk yang tumbuh liar ...memang liar sikit pokok ni. Kalau nak tanam kena tunggu dia beranak dulu. 


Monday, September 28, 2020

Emas Tulin Atau Costume Jewellery?

 


 Masa sekolah menengah dulu sangat suka pakai manik dan costume jewelleries. Mak kurang setuju, katanya kalau nak pakai barang perhiasan baik pakai emas.



Masa kecik tak suka pakai emas, bila raya mak pakaikan gelang dan rantai emas, rasa rimas! Sabar kejap pagi raya tu, bila tengahari sikit terus lucut gelang rantai bagi balik pada mak.

Masa sekolah rendah kena tindik telinga, lepas tu pakai subang emas. Tahun 1960an dulu kalau kat kampung boleh je pakai subang emas, cikgu tak marah..kat sekolah ramai yang pakai gelang..

Alkisahnya cuping telinga saya yang dah bertindik tu lama kelamaan berkudis dan berair - akhirnya terpaksa tanggal subang. 

Ada kawan- kawan saya yang TERhilangkan barang- barang emas yang mereka pakai.... tak tahu cicir di mana...tapi emak-emak tak pernah serik , bagi anak pakai barang emas terutamanya di hari raya..

Itu cerita generasi 50-60 tahun yang lepas...

Sekarang ni orang pilih yang cantik dan batu permata yang bewarna warni, tidak semestinya emas sahaja...


 


Sunday, September 20, 2020

Favourite Corner


 


Gambar bunga ni diambil pada masa yang hampir sama, yang sebelah kiri matahari jatuh, yang sebelah kanan matahari naik...
warna bunga nampak berbeza ..

Thursday, September 10, 2020

Masakan Kampung

 

 Suka tak makan tempoyak?

Makan tengahari lauk ikan patin bakar dengan tempoyak..


Ikan patin dipanggang atas kuali hingga masak 


...kemudian disalut dengan sambal tempoyak. Oleh kerana takde daun pisang, boleh guna aluminium foil dan dialas dengan daun mengkudu ( sebab pokok mengkudu ada kat belakang rumah )

bungkus kemas dan bakar atas kuali serbaguna...


jangan takut , yang hitam tu daun mengkudu..


Tuesday, September 1, 2020

Balik Kampung Bawak Bekal

 

Nak balik kampung sekali ni nak bawak buah tangan - Ayam percik..

Senang bawak sebab tak berkuah banyak. Makan dengan nasi panas- panas cukup sedap. Tapi kalau makan dengan nasi kerabu lagi sedap. Kalau nak buat nasi kerabu panjang pulak ceritanya...

Takpe sampai kat Rompin nanti boleh makan nasi kerabu kat kedai Mek Yah. Nasi kerabu dia ada daging bakar...

Pagi-pagi lagi dah mula siapkan awas- awas kuah ayam percik dan mula membakar ayam..


Kuah dibiarkan lama sikit atas dapur bagi pekat...ambil separuh kuah disimpan dalam mangkuk dan tinggalkan separuh lagi untuk disiram atas ayam yang dibakar

bakar ayam hingga masak di atas kuali


....lepas tu bakar sekejap dalam oven - biar dia garing sikit - crispy outside and tender inside...hehe..

Boleh dihidang atau dipack bawak balik kampung..









Sunday, August 23, 2020

Sembang Warga Emas

Seorang sahabat datang ke rumah hantar betik pada saya. Oleh kerana dia tidak sibuk hari ni, kami dapat bersembang panjang...
Sembang macam- macam tapi akhirnya cerita  keadaan diri sendiri....

Doktor kata lutut I dah teruk, tak  boleh buat apa dah. I buat degil...
Doktor tunggu I buat keputusan.
 
Masa kita tengah sihat ni boleh lagi nak buat pembedahan...nanti kalau kita dah uzur doktor pulak tak nak buat...

Tu lah my sister in law ( a doctor ) advised me to do it. Dia kata boleh lah kita habiskan sisa- sisa hidup yang ada tanpa kesakitan.

Sahabat saya serabut kepala bila ada ustaz  youtube mengata kat orang yang solat duduk atas kerusi..
Jalan boleh, tapi bila solat duduk atas kerusi...

Kami kerap juga solat berjemaah berdua, she insisted tak nak duduk atas kerusi, punyalah siksanya nak sujud dan duduk antara dua sujud.
Duduk pun tak sempurna dan dalam kesakitan...

Kalau dah teruk duduk je atas kerusi....
Tu lah kita ni jangan dok berguru dengan youtube. 




Monday, August 10, 2020

Belajar Online

 Tidak mudah belajar atau mengajar online...

Bayangkan murid sekolah tadika, cikgu dia ajar online, manalah budak umur 5 atau 6 tahun tu boleh ikut melainkan ibu atau bapa kena ada kat sebelah sepenuh masa.

Ibu atau bapa pulak kena kerja  online jugak, jadi anak yang tadika ni macamana? 

Kalau anak dah besar kurang masalah.  Mereka boleh menerima arahan guru dan boleh buat kerja sendiri.

Ada jugak makbapak yang keletihan kerja online. Kalau masuk ofis ada timeline, tapi bila kerja online boss boleh terjah je bila- bila masa. Pendek kata waktu kerja dah tak kira masa. It could be all day + at night.

...atau you dok tengah relax minum teh makan goreng pisang  pada petang Sabtu, tiba- tiba sms boss masuk...

SMS masuk boleh je buat tak tahu...dok main rinnnggg,rinnnggg... takkanlah tak angkat kut.....you want to die ka??




Tuesday, July 7, 2020

Itukah Kesudahannya?


Saya dapat berita seorang kenalan lama hendak berpindah masuk pondok, katanya nak pegi mendalami ilmu agama...

Saya begitu sedih bila menerima berita ini. Saya tertanya- tanya betulkah itu sebab utama dia nak masuk pondok?

Lantas saya bertanya dengannya - berapa lama nak duduk di pondok tu? 
Dia kata as long as it takes.
Macam mana dengan makan minum dan belanja untuk diri..
Dia kata ada pencen..

Baru saya teringat arwah suami nya yang telah meninggal hampir 20 tahun dulu seorang penjawat awam. Walaupun pendapatannya tidak begitu besar tapi beliau telah meninggalkan sebuah rumah yang sederhana dan sebuah kereta..
Di samping itu dia juga bekerja sambilan untuk mendapat side  income semasa anak- anaknya sedang membesar dan masih belajar...

Saya selalu nasihatkan sahabat  yang 15 tahun lebih muda dari saya itu - kalau ada calon yang sesuai , kahwinlah sebab dia masih muda dan perlu ada seseorang untuk menemani/menjaga dia.
Dia kata dah ada orang yang melamar tapi anak-anak pulak tak bagi dia kawin.

Akhirnya semua anak dah berkahwin dia pulak jadi part time maid jaga cucu.......

Wednesday, July 1, 2020

Musim Bunga Sepanjang Tahun....


.....di Malaysia..

Saya sangat bertuah kerana bunga kertas jiran saya tumbuh dengan meriahnya mengadap ke rumah saya.
Bunga tumbuh segar bila cukup cahaya matahari ...




Bunga saya pulak kenit- kenit je..di tanam di tepi pagar...betul- betul di bawah line bunga kertas jiran..

 


Bunga orkid liar my favorite ever....


Jiran saya kata cikgu enjoy tengok bunga saya, saya enjoy tengok bunga cikgu...
win- win situation meh! Tapi of course lah bunga saya sejemput je as compared to hers...

Saturday, June 13, 2020

Balik Kampung Di Musim Covid!!



PKPP dah bermula, punyalah banyak kereta atas jalan ke arah pantai timur....macam empang pecah..

Yang kita ni pun sibuk jugak nak balik kampung. Ibubapa dah
takde , tapi dek kerana ada masalah nak diselesaikan kena balik jugak..

Nasib baik bertolak awal, jalan masih lengang, sampai ke Kuala Rompin awal  1 jam. 
Rasa takut jugak nak balik ni, maklumlah masalah Covid belum selesai - rasa semacam je ... maklumlah dah lama berkurung kat rumah....



...bila sampai di Lanjut Beach Resort disambut oleh petugas yang mengambil suhu badan dan meminta kita mencatat nama, nombor telefon dan  alamat dalam buku. Kemudian kita kena cuci tangan dengan sanitizer yang disediakan..

Di ruang legar pula semua kerusi dan sofa  bertanda X berselang seli.
Wah..lega rasanya...kita tak perlu was-was lagi tentang penjarakan sosial!



Pergi breakfast kat favourite roti canai corner ( ada kuah dal, kari daging, kari kambing, kari ayam dan kari kepala ikan ) ,
ada nasi dagang dibungkus dalam daun simpul dan segala mak nenek kuih muih pagi..

Disekeliling kedai dililit dengan tali merah, semua masuk pintu depan - kena ikut SOP baru boleh masuk kedai seorang demi  seorang dengan jarak 1 meter yang telah ditanda atas lantai..

Makan semeja 2 orang - kalau datang rama- ramai kena pecah kumpulan, jarak 1 meter - bila sembang punyalah bising sebab bila duduk jarak jauh suara kena kuat. Riuh bukan main..

Klinik Komuniti Rompin berada di tengah bandar..



Subhanallah...segala usaha telah dibuat...disemua tempat awam...Semoga  jangkitan
Covid-19 berjaya dikawal...aamiin....



Monday, June 8, 2020

Cabaran Hidup Sepanjang Zaman


Makan secara sederhana saja...



Asam pedas ikan tenggiri dimasak dengan terung

Di masa negara dan dunia dilanda pandemik Covid 19 ni .....makan nasi satu lauk pun boleh....ada ikan ada sayur..cukup!

Kalau nak macam- macam lauk kena kerap pegi pasar, bahaya tuh!
Kita mendedahkan diri kita pada virus yang sangat mudah berjangkit dan saangaaat bahaya.

Mak selalu cerita dulu Tanah Melayu ( Sememanjung ) diperintah oleh Jepun pada tahun 1945 - semua rakyat dalam kesusahan, makanan sangat berkurangan. Makanan asas seperti beras, gula, tepung dicatu..
Ramai yang terdedah pada penyakit kerana tak cukup makan dan tak cukup zat makanan.
Mana takutkan askar Jepun lagi yang masyhur dengan ancaman
 ' potong kepara'..

Kita ditahun 2020 ni kena PKP dah menggelabah badak...pada hal takde kurang apa pun, cuma dikurangkan pergerakan saja..

Tapi lama kelamaan rakyat susah jugak sebab ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan..


Sunday, May 17, 2020

Potluck! Yang Cacamerba....


Kalau ada majlis makan- makan sesama keluarga atau sahabat- sahabat atau nak menziarah rumah sedara mara...sangat elok masing-masing bawa makanan...bagi tuan rumah happy sikit..

Sungguh cacamerba! Nasi putih dan lauk pauk - gulai nenas ikan kering, sambal tumis udang, ayam goreng berempah,  sambal belacan, mihun goreng ,quinoa dan salad...
takpe ramai je yang tukang makan..

BBQ ayam, kambing, udang, sotong dan lain - lain lagi yang matching dan tak matching..
Makan apa yang suka je..

Kek Harijadi bidan terjun! Tapi tak kisah semua enjoy the gathering.. 

One of those breakfast leftovers from Hari Raya ...

Makan cara cacamerba ni selalunya ia akan jadi terlalu banyak. Kalau tak habis boleh tapau bawak balik...
Kalau banyak lebih hari esok boleh bawak pegi ofis...boleh rasa sikit sorang..

Ada orang kata kena bincang dulu sapa yang nak bawak apa...
tapi tu skema sangat..biarlah sapa nak bawak apa...tapi yang berkaitan dengan ocassion...dan lepas tu boleh tukar- tukar menu...



Tuesday, May 12, 2020

Apabila Dunia Dilanda Musibah


Makan ringkas-ringkas je..ketika negara dilanda musibah..

Masa Covid-19 menyerang negara China, kita rasa kita tak terlibat jadi tak kisahlah. Virus tu ada kat Wuhan takkan nak terbang kat Malaysia kut...

Pada bulan Febuari saya terserempak dengan seorang kawan yang dah begitu lama tak jumpa .
Setelah bersembang panjang lebar saya dapat tahu dia baru balik dari Singapura...
Saya dalam kerisauan sebab masa tu Covid- 19 sudah pun berada di Singapura....

Apabila Kerajaan Malaysia mengisytiharkan PKP 1 mulai
 18 - 31 Mac 2020  saya begitu risau kerana  virus Covid19 akan singgah pada sesiapa saja yang ada ' close contact ' dengan orang yang berisiko tinggi..
Menggelabah badaklah kita ni ...

Alkisahnya masa PKP 1 punyalah berada dalam ketakutan...
sampaikan ayam tak berani nak beli sebab masa tu ada kabar angin mengatakan ladang- ladang ayam dah dijangkiti virus...
( penyebar berita palsu ni patut kena campak dalam perigi buta! )

Jadi masa PKP peringkat  pertama dan kedua ni kami hidup dalam keadaan yang sungguh sederhana, jarang- jarang masak nasi sebab ia perlukan lauk pauk . Jadi untuk tidak kerap keluar  beli barang dapur kami berdua makan ringkas- rinkas je - mihun, mi,  kuetiau dan  roti bergilir- gilir setiap hari dan
sekali sekala masak nasi lemak yang hanya perlu sambal dan timun ...

PKP 3 keadaan dah kembali normal sebab sudah ada orang yang  memberi khidmat membeli barang- barang dapur.
Ayam pun rupanya selamat dimakan. 
Jadi bolehlah masak
seperti hari- hari biasa....

Apabila sesebuah negara dilanda krisis janganlah ada mulut- mulut yang celupar dan tangan- tangan yang tak berinsuran dan tidak bertanggung jawab mengeluarkan  perbagai cerita palsu yang direka atau yang didengar melalui kabar- kabar angin. 

Pandemic ini sudah cukup berat untuk dihadapi ditambah pulak dengan cerita- cerita palsu...ini akan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat awam adanya..

...masa mula- mula PKP diperkenalkan..makan paling ringkas..mihun sup for breakfast, lunch and dinner...
 

 

Sunday, April 26, 2020

Ada Hikmah Disebalik Musibah



Imam-imam solat Tarawih yang baru dilantik dalam sesebuah keluarga tidak kurang hebatnya berbanding dengan imam-imam surau dalam taman..


Bila Neni kirim gambar ni, saya sungguh teruja! Wah! Mat jadi imam solat Tarawih dengan bergaya sekali....
Mak ai! AlBaqarah tu!
Takpe kalau makmum tak larat berdiri, boleh solat sambil duduk....
Kalau penat boleh pergi moreh je kat dapur tuh!

Inilah salah satu hikmah di sebalik PKP! Kan?

Kadang- kadang sesuatu musibah itu ada hikmah di sebaliknya - Allah Maha Mengetahui sedangkan manusia tidak mengetahuinya..


Wednesday, April 22, 2020

COVID-19 Membongkar Segala Rahsia..


Kita kena tengok penyakit hawar yang melanda seluruh dunia ini  tentu ada hikmah disebaliknya...

Orang akan kata hikmah  apanya kalau ramai orang terkorban?

Pada awalnya memang ramai orang  tak faham bahawa virus corona yang 19 ni very deadly and it can infect anybody at anytime at close proximity - dia boleh terbang ke sana ke mari dengan ganasnya hinggap pada manusia dan menyerang saluran pernafasan dan saluran darah....
Kalau dia hinggap kat pokok atau bangunan tak jadi apa.  Mungkin ia boleh mati sebab melanggar batang kayu dan batu yang keras tu..haha!

Dengan kehadiran virus ini ramai orang kehilangan pekerjaan, peniaga dan pengusaha hilang punca pendapatan. Kalau kerajaan tidak membantu, mungkin ramai yang tak dapat makan...

Masa ni lah kita boleh nampak betapa susahnya golongan yang susah tu! Waktu tak ada Covid19 dulu ada golongan yang sangat- sangat memerlukan bantuan,  sedangkan bantuan tak  sampai pada mereka...

Masa ni lah nak tengok budi bicara majikan , adakah mereka bersimpati terhadap pekerja- pekerja yang kena cuti atau dibuang kerja terus. Ada yang bertimbang rasa akan memberi sekurang- kurangnya separuh gaji buat sementara..

Ada juga keluhan sesetengah ahli keluarga yang hampir tak dapat menampung makan minum  ahli keluarga. Bayangkan anak enam orang, dua perempuan dan empat lelaki yang terkurung dalam rumah sepanjang masa selama hampir sebulan atau mungkin akan berlarutan...ibu mengeluh beras dah habis 25 kg selama pkp ni...

Berkurung semua anak beranak atau cucu cicit sekali bersama- sama dalam masa berminggu- minggu atau berbulan- bulan -  dok berkuap dalam rumah lama kelamaan seperti meniup belon yang mungkin akan meletup dan pecah..

Di sinilah ujian sebenar....
Bahaya corona boleh disekat kalau kita #stay at home#...
Tapi bahaya ketidaksabaran boleh membawa bencana...

Wallahua'lam.



Friday, April 3, 2020

Tabik Ketua Pengarah Kesihatan...


....Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan semua kakitangan hospital di barisan hadapan..

Negara kita diserang covid19 sejak Januari tahun ini. Ia telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia, apatah lagi bila angka kematian telah meningkat dan bilangan positif covic sudah menjadi ribuan orang.

Ramai jugak yang tak ambil kisah, walaupun sudah ter'ekspos' dengan virus corona tapi mereka anggap remeh. Pada hal virus itu sungguh merbahaya dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang terdedah padanya. Bayangkan seseorang yang positif covid bebas bergerak dalam masyarakat....mereka seolah-olah mencampakkan diri orang lain ke dalam kebinasaan..

Setiap pukul 5 petang diadakan siaran langsung di tv yang dikendalikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, KKM.  Beliau memberi taklimat dengan detail dan penuh komitmen. Pendek kata beliau menguasai facts and figures dengan yakin dan dengan pengetahuan yang mendalam...
( walaupun ada kalanya beliau dalam keletihan ).

Bayangkan betapa pegawai - pegawai perubatan ( dan pekerja- pekerja am  ) bertungkus  lumus bertugas di barisan hadapan mengendalikan pesakit-pesakit yang ramai yang memerlukan perhatian dengan sepenuhnya sedangkan mereka sendiri mungkin terdedah  dengan wabak itu.
Keadaan menjadi seperti berperang  dengan musuh yang tak nampak, sudah tentu sukar hendak dibendung!

واذا قضىت امرن ان تقول له كن فىكون





Monday, March 16, 2020

Memperkenalkan...Bunga Telang


...yang berwarna biru. Mudah ditanam dan ia jenis pokok yang menjalar.
Ia menjadi bahan asas untuk membirukan nasi kerabu...

Rupa-rupanya bunga telang ini banyak khasiatnya bagi manusia...malah banyak penyelidikan telah dibuat mendapati bunga bunga telang ini antaranya boleh mencuci darah, menyihatkan tubuh, mengawet muda dan lain- lain......selain dari lembu dan kambing yang suka memakannya ( semasa saya tengah memetik bunga telang tiba-tiba ada orang menegur...dia kata kat kampung dia lembu dan kambing suka makan bunga telang! )

( Auk jaklah akak oiii..mun kitak makan nasi kerabu pun dari air bunga telang juak...)


Jadi kalau kita adventurous sikit boleh juga buat teh bunga telang. Paling senang ambik beberapa kuntum bunga letak dalam cawan dan tuang air panas ( bila nak minum tapis, saya suka minum dengan bunganya sekali )

Kalau rajin lagi keringkan bunga telang dan simpan untuk  digunakan bila perlu..

Boleh tanam dalam pasu depan pintu dapur je...asalkan ada tempat yang dia boleh melilit.


Wednesday, March 4, 2020

Mendapat Khidmat Pembantu Rumah


Kalau seseorang sangat memerlukan khidmat pembantu rumah,  kenalah jaga pembantu supaya dia dapat berkhidmat lama.
Selalu terjadi bila dapat pembantu yang baik majikan pulak yang tak perihatin. Kadang kala majikan punyalah baik, bertimbang rasa pembantu pulak macam pu#k%.., curi tulang, pengotor atau panjang tangan...

Tapi apa- apa pun orang yang memerlukan khidmat pembantu kenalah jaga perasaan mereka sedikit sebanyak...

Ada majikan selalu check makanan,  buah-buahan dalam fridge, biskut, Milo, susu dan lain-lain - lepas tu buat bising, sapa dok mentekedarah biskut import yang dia beli habis setengah bungkus ...atau mana pegi buah epal yang lima dah tinggal empat...

Atau...tuan rumah dok asyik hilang barang...kejap hilang kasut yang dia baru beli, esok pulak hilang purse, lusa hilang baju dalam saiz 40, sedangkan Bibik pakai saiz 28 je.....
Tapi semua yang hilang jumpa semua pulak...letak tempat lain cari kat lain - sampai kecut hati pembantu rumah dibuatnya...

Tapi yang paling menggerunkan saya ialah bila dengar cerita  bahawa ada kes penganiayaan kanak- kanak ialah kerana sakit hati pada ibubapa yang tak bertimbang rasa membebankan segala kerja ke atas pembantu...

Ye ke? Atau pembantu tu yang otak dia dah putus wayar.....kalau dia normal takkan sanggup menganiaya kanak-kanak..

'Ala kully hal..majikan kenalah sentiasa berwaspada....kalau pembantu bagus, jagalah elok-elok. Kalau nampak pembantu lain macam...kenalah buat sesuatu supaya tak mendapat bencana adanya...


Sunday, February 9, 2020

Selamat Datang Ke Kelab ...


..60an +++...

Masa dulu - dulu dok gelak kat mak-mak menakan, bila nak berjalan jauh bawak ubat sebeban. Pendek kata ada handbag kedua bagi segala ubatan dan vitamin serta lain-lain. Minyak angin untuk lenguh-lenguh  kaki dan sakit urat, koyok untuk tampal pada bahu bila stress, minyak cap kapak untuk pening...
Pendek kata semua penyakit ada ubatnya. Dalam beg tangan kedua tu macam mini farmasi..

Yours truly ni pun dah mula menambah food supplement...
Masa umur 50an doktor bagi vitamin B Complex, tak pernah nak makan..rasa macam tak perlu je...jadi tak payahlah makan vitamin tuh!

Bila dah masuk 60an ++ , tiba-tiba ditimpa sakit urat ( sciatica nerve pain ) mulalah menggelabah badak..Doktor tak bagi makan pain killer sebab ia tidak boleh menyembuhkan penyakit.

Jadi doktor beri Vitamin B Complex yang mengandungi B1, B6 dan B12.

Barulah sedar betapa perlunya pil oren yang hospital kerajaan bagi zaman berzaman tu besar faedahnya..

Bila sakit urat bertambah meruncing pegi buat fisio. Tak cukup fisio kat hospital ambik pulak fisioterapist persendirian berselang seli sebab sakit susah baik, berjalan pun senget sebelah.

Fisioterapist pertama cadangkan ambik Calcium Magnesium dan D Plus untuk memulihkan urat yang lemah.
Fisioterapist kedua cadangkan ambik pil Glucosamine sebab bila buat eksersais lutut berbunyi berletup letap...menunjukkan tulang rawan di lutut dah menipis...



Akhir kalam...beg tangan kita ni pun semakin berat sebab tambah 3 jenis ubat/food supplement yang baru mendatang.
Tu tak masuk lagi vitamin C larut dalam air, tak bagi kerap kena selsema....

Huarrrrgg....

Thursday, January 23, 2020

Haramain Revisited...2


Pemandangan yang begitu klasik dalam Masjid Quba'  macam sebuah lukisan...yang menyebabkan saya buat posting ni ( gambar ehsan dari Mutawwif kami Ustaz Ridzwan  bin Sudin )


 Ini kawasan solat lelaki  , kawasan solat wanita terletak di bahagian belakang..



Ini adalah pemandangan Jabal Ainain, dimana Rasul SAW menempatkan pasukan pemanahnya semasa perang Uhud..
Dan pasukan pemanah ini menjadi kucar kacir apabila Khalid alWalid mengumpan harta benda di bawah Bukit..mereka meninggalkan posisi mereka sebagai pemanah di atas bukit itu menyangkakan perang sudah tamat dan tentera Quraish sudah berundur....membawa pada kekalahan tentera Uhud

Apa yang berlaku seterusnya telah terpahat di lipatan sejarah...


Lepas ziarah medan perang Kami menuju ke Dataran Uhud. Banyak terdapat barang-barang jualan di situ. We can get good kurma ajwa with good price.


Jangan lupa dengan rempah ratus, inai, segala jenis kekacang , minyak zaitun, safron dan berbagai barangan lain termasuk sejadah, kopiah, kain serban dan seumpamanya boleh buat buah tangan untuk ahli keluarga di kampung.....

.....dengan sebanyak-banyak doa semoga Allah menjemput lagi kami menjadi tetamuNya di Haramain....aamin Ya Rabb..


Sunday, January 12, 2020

Riuh Sekampung!!!



Mungkin TM dah upgrade modem yang lebih lawa dari ni!

Bangun pagi nampak modem merah menyala! Eh, Telekom Malaysia tambah speed internet ke? Bila buka TV gambar tak naik...Apa dah jadi?

Pagi tu riuh rendah orang  kampung Jalan Delima....berwassap..

Woi..rumah hangpa ada internet ka?

Takde..

Rumah aku pun takdak...

Habis mati kutu... And that was on Sunday! Nasib baik ada kenduri hari tu kalau tak..pakat dok nganga seharian..

Dengar cerita kabel internet kena curi! ( Ye ke? )

Alamak! Dah lama tak dengar orang curi kabel! Dulu orang curi kabel sebab nak ambik dawai tembaga nak jual. Tapi sekarang ni dah pakai fiber optic pun kena sapu jugak..

Nasib baik petang tu jugak pihak TM berjaya menyelesaikan masalah internet terputus..semua orang kembali bertenang di hujung minggu..



Thursday, January 2, 2020

Ada Yang Mengambil Kesempatan!.....


Pada hujung minggu lepas saya pergi ke Sogo mengambil kesempatan membeli seterika baju yang tengah sale. Seperti biasa semua barang dalam Sogo mengadakan jualan murah akhir tahun...malah setiap masa pun ada sale..

Saya risau jugak pegi ke Sogo di hujung minggu, takut kalau-kalau ada kumpulan- kumpulan tertentu buat demonstrasi....nanti jem teruk kawasan situ...

Di kawasan depan Sogo pulak seperti biasa ramai orang menjual berbagai barang- barang secara kecil-kecilan seperti permainan kanak-kanak dan lain- lain untuk menambah pendapatan di hujung minggu..

Ada beberapa orang anak muda menjual sesuatu... Tertulis pada kadbod - bayar seberapa sambil menderma.,
Eh mintak derma ke? Kemudian baru ternampak air kotak macam tersorok sikit.
Sekali pandang macam mintak derma derma je...bukan nak jual air......

Jangan sebegitu mudah nak dapatkan duit....Kalau nak berniaga tunjuklah produk yang nak dijual dan harganya sekali! Lebih bermakna lagi dari menjual barang sambil menderma...
Bukan semua orang nak menderma semata- mata ada orang mintak derma! Kena tunjuk sebab musabab nak kutip derma...













Wa Izaa Maridhtu Fahua Yashfin

Banyak cabaran sebelum menjalani pembedahan kepala lutut..ramai yang kata kenapa saya tergesa- gesa nak buat op lutut. Ramai yang boleh bert...