Monday, June 8, 2009

Kampung bandar,kampung kampung.

Setelah berpuluh tahun balik kampung ie Kedah - Pahang, Pahang - Kedah, Kelantan - Kedah, Kelantan - Pahang, KL - Kedah, KL -Pahang, pemandangan sepanjang jalan masih diingati. Bagi saya jalan yang paling menarik ialah antara jalan Kuantan ke KT melalui tepi laut.Pemandangan laut ,pasir memutih dan daun kelapa melambai-lambai sungguh menenangkan hati, jalan yang jauh terasa pendek.Begitu juga jalan lama balik ke Kedah,walaupun jauh tetapi pemandangan sepanjang jalan,terutama kawasan kampung negeri Perak begitu menarik hati.Jalan KL ke Rompin, Pahang melalui Seremban, Kuala Pilah , dihiasi dengan rumah-rumah Negeri Sembilan yang dikelilingi pokok-pokok rambutan berbuah merah dan kuning.diikuti jalan ke Muazam Shah yang dipenuhi pokok kelapa sawit ( kawasan Jengka )yang menghijau seolah-olah tiada penghujungnya menyejukkan mata memandang.Bila tiba di Rompin nampak pula laut.

Sepanjang-panjang jalan dapat dilihat kampung-kampung Melayu yang kebanyakan tidak berubah sejak berpuluh-puluh tahun dahulu. Adakalanya sesebuah kampung itu terdiri dari rumah-rumah kampung ada sekolah,ada kelinik kerajaan yang kecil dan kedai sebuah dua. Setelah sekian lama,ada terdapat perubahan pada rumah-rumah tersebut,iaitu sesetengah rumah berubah dari rumah kayu kecil menjadi rumah yang besar,cantik samada separuh batu separuh kayu atau rumah batu sepenuhnya, kereta penuh laman. Ada juga kampung yang terdiri dari rumah sahaja,tak nampak kemudahan-kemudahan yang lain.

Kadang-kadang saya terfikir, bagi mereka yang tinggal di situ alangkah susahnya mereka, seperti untuk mendapat barang-barang keperluan rumah,tiada klinik kerajaan atau swasta, balai polis ,bank,pasar dan lain-lain jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan dengan masyarakat spt pejabat Tanah,urusan buat kad pengenalan,Tabung Haji dan lain-lain.Mereka terpaksa keluar dari kampung dan pergi ke bandar terdekat yang kadang-kadang jauh juga bagi mereka yang tidak berkenderaan sendiri.Harapkan pengangkutan awam , berlengas juga ketiak menunggunya.Contoh, orang Leban Condong dan kampung-kampung lain yang berhampiran dengannya nak pergi ke Pekan jauh,nak ke Rompin juga jauh.

Bila difikir-fikirkan kampung-kampung yang semata-mata kampung ,apakah kenikmatan yang mereka dapat dari pembangunan negara. Yang jelas hanyalah peluang pendidikan dan kita dapat lihat buktinya sekolah-sekolah di setiap kampung nampak besar dan hebat.
Ramai dari anak-anak kampung berpeluang melanjutkan pelajaran tinggi di dalam dan luar negeri.Lain-lain kemajuan tidak nampak bagi orang yang seperti saya yang hanya lalu lalang di sepanjang jalan dari Pekan ke Rompin atau Muazam Shah ke Rompin setiap kali balik kampung.Anak-anak yang berjaya tinggal di bandar,ibubapa di kampung berada di persekitaran lama ( macam sebelum merdeka ).

Mungkin saya lebih bernasib baik, kampung saya telah dinaikkan taraf perbandaran ( hanya sedar bila kena bayar cukai tanah 5 kali ganda ).Saya dapat melihat kampung saya membangun, mulai tahun 60an ada Rompin Mining Co di Bukit Ibam, dengan itu ada bank beroperasi di Rompin ( Malayan Banking ), ada kelinik kerajaan, pejabat Daerah, pejabat tanah,pejabat kadi, jabatan mergastua, jabatan laut,jabatan perikanan, jabatan perhutanan ,balai polis dan pejabat pos.Ada rumah kedai dua deret ( kedai papan dua tingkat ) terdiri dari pasar, restoran Cina dan restoran Mamak, kedai kain,tailor, kedai emas ,kedai runcit,dan gerai -gerai menjual makan pagi dan kueh mueh untuk makan petang. Ada panggung wayang, ada bangsawan bergerak, joget ala BB Park ( pakai tiket ),sarkas -- kesemua ini datang silih berganti ( masa ini banyak ayam orang kampung kena curi ).Ada kedai yang sentiasa tertutup,tempat main pakau atau ceki atau majong.

Apabila masuk tahun 70an pembangunan bertambah, rumah kedai baru mula naik,stesen bas ,stesen teksi, pasar baru, mahkamah,dan lain-lain.Tahun 80an kian maju,90an bertambah baik tahun 2000 bertambah besar dan sekarang sudah naik taraf perbandaran (bandar kecil ). Alhamdulillah keadaan bandar bersih dan terjaga,urusan pejabat tanah efisyen ( melalui pengalaman setelah ibubapa meninggal dunia ) kelinik kerajaan sudah ada beberapa doktor yang tetap.( cuma tiada hospital,semua kes besar dihantar ke Kuantan--- alangkah siksanya kalau ada keluarga yang sakit tenat sudah tentu melibatkan kewangan yang banyak ).

Kadang kala ada rasa nak ucapkan terima kasih,tapi pada siapa? Majlis Perbandaran Rompin kerana kebersihan, kepada Pegawai Daerah kerana urusan tanah efisyen? atau wakil rakyat? Atau kerajaan? siapa itu kerajaan? Tunjuklah muka, saya ingin mengenalinya,nak ucapkan syabas, keep up with the good work!

No comments:

Adat Berjual Beli

  Pengalaman manis saya dan keluarga duduk di Kota Baru selama lima tahun, lebih 30 tahun dulu tetap tersemat di hati... Paling best bila pe...