Apabila letak gambar rumah pesaka dalam blog sendiri, terkenang juga banyak cerita tentang rumah pesaka , ada suka , ada duka. Kadang-kadang harta peninggalan orang tua menjadi rebutan sehingga menyebabkan permusuhan dan putus silaturahim di kalangan adik beradik. Malanglah bagi ibubapa yang meninggalkan harta bila harta itu menjadi fitnah. Saman menyaman berlaku dan bila dah masuk mahkamah, segala cerita terbongkar. Kadang-kadang ia boleh mengaibkan bagi orang yang hidup dan orang yang telah mati...
Seorang yang saya kenali mengalami masalah tanah pusaka kepunyaan ibunya. Ayahnya mendirikan rumah gadang di atas tanah ibunya dan di situlah mereka membesarkan anak-anak yang ramai tu. Bila semua dah dewasa masing-masing berpindah ke rumah sendiri. Masalah timbul bila ibunya meninggal dunia, bapanya tinggal bersendirian di situ beberapa lama hinggalah beberapa orang anak-anaknya dah tak tertahan lagi minta ayahnya bagi-bagikan tanah pusaka tu. Oleh kerana tanah tu sebidang aje, macam mana nak bagi pada anak 7 orang? Melainkan dijual tanah tu! Masalah lain pula timbul, ayah nak duduk di mana? kalau dah dijual tanah, rumah nak dipindahkan ke mana?
Oleh kerana anak-anak tak nak bertolak ansur, ayah pun merajuk dan apabila jatuh sakit anak perempuan ambil bela. Akhirnya begitu, begini, ke situ ke sini, jadilah kes mahkamah yakni anak-anak vs ayah!
Peristiwa lain yang juga agak menyayat hati ialah seorang isteri yang kematian suami meninggalkan rumah yang harga berjuta. Anak-anak memujuk ibu supaya menjualkan rumah tu, bagi bahagian pusaka masing-masing, dan berjanji mereka akan memelihara ibu bersama-sama ( bergilir-gilir ? ). Ibu pun akur, kena ikut hukum pembahagian harta pusaka betul-betul. Tapi setelah tidak lama duduk rumah anak, beliau mengambil keputusan untuk tinggal bersendirian, lalu beliau membeli sebuah kondo harga sederhana dan tinggal bersama maidnya !
Memang betul harta pusaka kena dibagi-bagikan pada waris-waris yang berhak, tapi dalam masalah ayah yang berumur 80 tahun tadi, kalau anak boleh sabar sekejap lagi baik. Tapi mungkin ada di antara waris ( anak-anak ) dia yang terdesak nak pakai duit, jadilah seperti yang telah terjadi.......
No comments:
Post a Comment