Monday, June 6, 2011

Hikayat Merong Maha Manusia..........2

Arakian maka istana negara Merong Maha Manusia pun dihias dengan lampu-lampu yang lip-lap lip-lap dan disepanjang jalan menuju istana dihiasi pula dengan panji-panji yang bergambar - raja dan permaisuri ( yang dilukis oleh pelukis yang mahir hinggakan wajah permaisuri nampak 30 tahun lebih muda dari usianya ).

Maka dayang-dayang istana toksah kiralah, masing-masing mula pasang badan, maklumlah tak lama lagi ramai panglima yang gagah berani akan masuk gelanggang. Mak Inang ( ketua dayang ) sudah bersiap sedia naik bukit, menyeberang sungai nak cari bunga sakti 7 setangkai nak buat penyeri untuk permaisuri yang dah pun lama hilang seri dimakan usia adenye.

Sebermulanya, Tuanku pulak buat rileks aje, almaklumlah baginda raja yang berdaulat yang memerintah negara , yang bersemayam di atas peterana diraja dengan dihadiri oleh segala pembesar-pembesar negara. Walau pun lubang hidung macam serombong kapal pun tak kisah , masih macho dan menjadi impian semua gadis seantero Melayusia untuk menjadi dayang istana, atau lain-lain yang seumpama dengannya .

Alkisahnya pulak pembesar-pembesar istana menjadi gelabah kerana ramai sangat rupanya pahlawan-pahlawan muda, kalau menang akan mengambil alih tempat pembesar-pembesar yang ada. Pembesar-pembesar yang duduk di anjung seri istana tu sampai macam nak tumbuh akar, ada yang dah tua tak larat nak bawak air secerek, ada yang dah pekak badak, mata pun dah ceme masih lagi nak mengekalkan jawatan yang mereka pegang. Maka mereka pun mulalah mengerah segala kuncunya di setiap daerah supaya mencantas mana-mana pahlawan yang nampak gaya macam boleh mengancam kedudukan pembesar-pembesar istana tuh!

2 comments:

fantaghiro said...

"jalan menuju istana dihiasi pula dengan panji-panji yang bergambar - raja dan permaisuri ( yang dilukis oleh pelukis yang mahir hinggakan wajah permaisuri nampak 30 tahun lebih muda dari usianya "


adoi la haiiii...tak henti henti gelak bila baca neh!!

Kerabu Jantung said...

Kalau lukis memang boleh dimudakan sesiapa saja. Kalau kamera trick mungkin tak semudah tu!

Adat Berjual Beli

  Pengalaman manis saya dan keluarga duduk di Kota Baru selama lima tahun, lebih 30 tahun dulu tetap tersemat di hati... Paling best bila pe...